Media

COVID-19
11/12/20
Isu
Selangor
Negara

BH Online: 'Beta terkesan, simpati keadaan dihadapi rakyat' - Sultan Sharafuddin

Berita terbit di bharian.com.my pada 10 Disember 2020

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memutuskan tidak mengadakan sebarang istiadat sempena Hari Keputeraan Ke-75 esok, memandangkan negara berhadapan pandemik COVID-19.

Sultan Sharafuddin menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Selangor, bertitah Istiadat Penganugerahan dan Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor akan dilaksanakan pada tarikh akan ditetapkan bergantung keadaan semasa wabak COVID-19 ini.

"Alhamdulillah, beta bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan rahmat-Nya, beta dapat menyambut Ulang Tahun Hari Keputeraan beta yang ke-75 pada tahun ini.

"Seperti rakyat beta sedia maklum, sepanjang tahun ini kita diuji Allah SWT dengan pelbagai dugaan dan cabaran terutama sekali cabaran berdepan dengan wabak COVID-19 yang melanda dunia.


"Menambah ketakutan dan keresahan kita apabila musuh yang sedang hadapi ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar, malah mengakibatkan jangkitan ke seluruh dunia," titahnya hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah, sehingga hari ini lebih 67 juta orang dijangkiti dan kematian mencecah lebih 1.5 juta nyawa.

"Angka ini akan terus bertambah dari sehari ke sehari dan tentunya amat membimbangkan serta merisaukan kerana kita masih tidak pasti bilakah wabak ini akan berakhir.

"Gejala wabak COVID-19 ini banyak mengubah corak kehidupan seharian kita hingga memaksa kita untuk menerima hakikat menjalani kehidupan norma baharu dalam kehidupan," titahnya.

Baginda bertitah, wabak itu menyebabkan ekonomi terjejas teruk bukan sahaja kepada negara ini, malah seluruh dunia.

"Keadaan ekonomi negara terjejas teruk mengakibatkan ramai dalam kalangan rakyat beta terjejas pendapatan mereka, ada kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.

"Lantaran itu, sebahagian besar rakyat beta kini menghadapi masalah kesempitan hidup dan kesukaran untuk menampung kos sara hidup seharian.

"Beta amat terkesan dan simpati dengan keadaan kehidupan yang rakyat Beta hadapi buat masa ini," titahnya.

Sultan Sharafuddin bertitah, baginda sentiasa mengambil berat dan memantau masalah rakyat dengan sering mengingatkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan kerajaan negeri agar menyelami masalah rakyat serta mencari jalan bagi mengatasi masalah ekonomi dihadapi rakyat.

"Beta menyeru pemimpin politik turun bersama rakyat bagi mengenal pasti masalah rakyat dan berusaha keras ke arah membantu mengatasi masalah mereka terutama mereka terjejas teruk akibat wabak COVID-19 ini.

"Beta sebagai Sultan di negeri ini turut sama merasakan segala penderitaan rakyat dan sentiasa inginkan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat beta terpelihara," titahnya.

Sultan Sharafuddin mengharapkan rakyat terus bersabar dan tenang menghadapi dugaan dan sentiasa berdoa ke hadrat Allah SWT agar musibah menimpa segera diangkat dan dikembalikan semula kehidupan seperti sebelum ini.

"Beta mohon agar rakyat Beta beragama Islam sentiasa berdoa dan bersolat hajat, manakala bagi rakyat Beta bukan beragama Islam turut sama berdoa mengikut fahaman agama masing-masing," titahnya.

Baginda menzahirkan penghargaan kepada doktor, jururawat, kakitangan hospital dan barisan hadapan yang melaksanakan tugas tanpa mengenal penat lelah bagi merawat pesakit dijangkiti COVID-19 serta mencegah penularan wabak ini.

"Segala pengorbanan mereka amat beta hargai dan beta mendoakan agar Allah SWT sentiasa memelihara kesihatan petugas barisan hadapan agar tugas serta usaha mereka dapat diteruskan.

"Bagi menghargai jasa mereka berkorban ini, beta berkenan menganugerahkan bintang kebesaran dan pingat-pingat Negeri Selangor, semoga dengan penganugerahan ini dapat menaikkan semangat petugas hadapan meneruskan tugas dengan penuh dedikasi," titahnya.


Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.