Inisiatif

Peristiwa
23/1/24

Bersama Datuk Seri Panglima Hj Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah

Alhamdulillah pagi ini saya telah melakukan pertemuan rasmi bersama Datuk Seri Panglima Hj Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah, di Kota Kinabalu.

Saya telah disambut oleh Datuk Seri Panglima Hj Safar Untong, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah. Saya bersama delegasi Kerajaan Negeri Selangor terdiri dari Dato’ Setia Haji Haris bin Kasim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Salim bin Soib, Penasihat Undang-undang Negeri, dan Dato’ Dr. Ahmad Fadzli bin Ahmad Tajuddin, Pegawai Kewangan Negeri dalam pertemuan ini.

Pelbagai perkara telah kami bincangkan yang berkait dengan keterjaminan makanan dan potensi permulaan kerjasama antara Selangor dan Sabah khususnya dalam tanaman bijiran jagung serta ternakan seperti lembu agar kita dapat bersama-sama mengurangkan kebergantungan terhadap barang makanan import.

Ini juga mampu memberikan dampak positif terhadap harga barang makanan mentah.

Tambahan kepada itu, kami juga berdiskusi berkaitan kaedah mengukuhkan ekosistem pelancongan yang mampan serta mempunyai fungsi teknologi digital dan pada masa yang sama memelihara keunikan daerah-daerah tempatan dalam mempromosikan barangan yang dihasilkan oleh komuniti.

Saya melihat Sabah sebagai antara negeri yang terkehadapan terutamanya dalam penghasilan produk tempatan seperti kraftangan yang berkualiti tinggi dan berhasrat mengadakan kerjasama dalam bidang ini.

Pertemuan saya dengan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji adalah sebahagian penting daripada Pemukiman Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor di Kota Kinabalu, dan hari ini, Ahli MMKN turut mengadakan pertemuan bilateral dengan rakan sejawat yang terdiri daripada Menteri-menteri Kabinet Negeri Sabah.

#KitaSelangor

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.