Berita Harian: Takungan di 7 empangan Selangor 100 peratus - Menteri Besar
SHAH ALAM: Takungan air di semua tujuh empangan di Selangor dilapor berada pada kapasiti penuh setakat semalam.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tujuh empangan yang terletak di lima daerah di Selangor ini berfungsi sebagai takungan sumber bekalan air mentah negeri ini.
"Tujuh empangan itu adalah Empangan Sungai Selangor dan Empangan Sungai Tinggi (Hulu Selangor), Empangan Tasik Subang (Petaling), Empangan Sungai Langat dan Empangan Semenyih (Hulu Langat), Kolam Off River Storage Labu (Sepang), Empangan Klang Gates dan Empangan Batu (Gombak).
"Sehingga semalam, keseluruhan takungan bagi tujuh empangan ini berada pada kapasiti penuh 100 peratus.
"Berdasarkan trend penggunaan air di negeri secara keseluruhan, kapasiti air mentah mampu bertahan selama tempoh empat bulan tanpa hujan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, katanya, terdapat 98 kolam dikenal pasti Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sebagai sumber air alternatif dan simpanan sumber air dalam kolam ini adalah 34 juta meter padu.