Media

Peristiwa
22/8/23
Selangor

Berita Harian: Sultan Selangor tegur pemimpin biadap ketika berkempen, dipercayai merujuk Sanusi

KLANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini menegur tindakan segelintir pihak dan individu tertentu termasuk pemimpin politik yang menggunakan kata-kata kesat dan biadap ketika berkempen dengan mengheret institusi raja dalam ceramah mereka.

Baginda bertitah, keadaan yang berlaku itu menggambarkan terhakisnya rasa hormat segelintir ahli dan pemimpin politik terhadap institusi raja dan kesultanan Melayu yang menjadi payung kepada umat Islam, orang Melayu dan bangsa lain.

"Beta ingin menyentuh mengenai insiden membabitkan penggunaan kata-kata kesat dan biadap yang dilemparkan oleh segolongan kelompok masyarakat, ahli politik, tidak ketinggalan segelintir pemimpin parti politik ketika berkempen dengan mengheret institusi raja ke dalam ceramah mereka.

"Sikap biadap mereka ini melangkaui batas dan nilai keperibadian orang Islam dan Melayu yang sering dipelihara.

"Ingatlah jangan kerana kita menyangka kita cukup popular dalam kalangan rakyat sehingga bertindak memperlekehkan sesiapa yang tidak sehaluan dengan fahaman politik masing-masing, malah sanggup pula hadir ke Selangor dengan melemparkan cacian melampaui batas.

"Ke mana hilangnya budi bahasa? Ini bukan budaya kita khususnya orang Melayu untuk menghina sesiapa pun khususnya di khalayak ramai. Peliharalah adab dan susila kita, apatah lagi apabila kita bertandang ke negeri atau rumah orang," titah baginda

Baginda bertitah selepas menyempurnakan Istiadat Angkat Sumpah Jawatan & Ikrar Aku Janji serta Pengurusan Surat Cara Pelantikan EXCO Kerajaan Negeri di Istana Alam Shah, di sini, petang tadi.

Kenyataan Sultan Selangor ini dipercayai merujuk kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor, yang dihadapkan di dua Mahkamah Sesyen Selayang di Kuala Lumpur pada 18 Julai lalu, atas dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik.

Muhammad Sanusi didakwa melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja.

Bagaimanapun, Sanusi mengaku tidak bersalah.

Sementara itu, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga menggesa semua pihak menghentikan budaya caci-mencaci yang boleh menjejaskan keharmonian dalam masyarakat, sebaliknya menumpukan perhatian ke arah memajukan kehidupan rakyat dan memakmurkan negara.

"Beta juga mengambil kesempatan di sini menyeru semua orang Melayu Islam di Selangor ini sentiasa mengelakkan perbalahan dan persengketaan sesama sendiri yang boleh membawa kepada perpecahan masyarakat Melayu Islam dan membawa imej buruk kepada kesucian agama Islam.

"Beta perhatikan, politik sudah banyak memecah-belahkan perpaduan kita sesama umat Islam dengan amalan fahaman politik sempit.

"Cukuplah apa yang telah berlaku. Kita perlu maju ke hadapan dan membawa perubahan kepada cara kita berpolitik dan berfikir," titah baginda.

Titah baginda, pilihan raya sudah selesai dan semua pihak perlu bersama-sama mengeratkan semula hubungan tanpa mengira agama, kaum dan fahaman politik.

"Kita perlu kembali bersatu padu membangunkan semula negara dan negeri Selangor khususnya.

"Hormatilah antara satu sama lain dengan tidak membesarkan perkara yang menyentuh sensitiviti sesuatu agama, kaum, bangsa atau keturunan yang boleh menggugat keharmonian.

"Gunakanlah platform media sosial dan semua aplikasi teknologi moden yang ada sekarang ini untuk perkara positif yang boleh menyumbang kepada perpaduan masyarakat, bukannya untuk menyebarkan fitnah dan kebencian yang boleh menyebabkan perpecahan masyarakat," titah baginda.

Baginda mengakhiri titahnya dengan mendoakan seluruh rakyat dijauhi sebarang musibah dan rakyat berbilang kaum hidup harmoni serta aman damai.

"Beta berharap Selangor akan terus maju dan kerajaannya konsisten dalam menangani masalah rakyat serta melaksanakan segala aspirasi rakyat," katanya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.