Media

Terkini
16/2/24
Selangor
Isu

Berita Harian: Sultan Selangor tegur ahli politik ambil kesempatan main isu agama

KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan semua ahli politik supaya tidak mengambil kesempatan mempolitikkan setiap isu melibatkan agama Islam sehingga ia menjadi modal persengketaan politik yang tidak berkesudahan.

Selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), baginda menegaskan, agama adalah isu yang boleh menjadi sensitif kepada umat Islam, sekali gus perlu mengelak daripada tuduh-menuduh antara satu sama lain atas isu agama yang pada asasnya boleh diselesaikan secara bersama.

Turut menjelaskan bahawa teguran baginda tidak dimaksudkan kepada mana-mana pihak, Sultan Selangor bertitah, umat Islam sedia maklum bahawa isu-isu agama sering dipolitikkan sejak beberapa dekad yang lalu, malah semakin serius sejak kebelakangan ini.

"Akibatnya berlaku permusuhan, salah faham serta kekeliruan dalam kalangan umat Islam. Cukup-cukuplah kita bersengketa atas sebab agama. Telah tiba masanya umat Islam semua bersatu demi kekuatan umat Islam," titah baginda dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat MKI kali Ke-71, hari ini,

Terdahulu, Sultan Selangor disembah maklum bahawa Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam yang ditubuhkan atas titah baginda pada mesyuarat MKI ke-70 pada 28 Ogos 2023, sedang meneliti persoalan yang berbangkit.

Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Sultan Sharafuddin bertitah, baginda maklum pelbagai pihak, terutama ahli-ahli politik, pengamal undang-undang, ahli akademik dan rakyat biasa telah membuat pelbagai ulasan dan tafsiran terhadap keputusan kes Mahkamah Persekutuan itu.

"Terdapat ulasan yang memberi penjelasan sebenar tentang kesan kepada keputusan kes tersebut. Namun demikian terdapat juga ulasan berdasarkan kepada polemik kepentingan pihak-pihak tertentu sehingga menimbulkan pelbagai kekeliruan kepada umat Islam di negara ini.

"Malah ada yang telah menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut sebagai detik Black Friday kepada undang-undang jenayah syariah Islam di negara ini. Beta tidak berhasrat untuk turut sama terlibat dalam polemik tersebut," titah baginda.

Sultan Selangor juga meminta semua pihak, terutama umat Islam agar bertenang dan tidak menimbulkan sebarang kekecohan sementara menantikan cadangan dari Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam berkait isu berkenaan.

"Apabila umat Islam kuat dan bersatu-padu, masyarakat bukan Islam akan menghormati umat Islam. Di samping itu pentadbiran agama Islam di negara ini perlulah bebas daripada pengaruh politik kepartian dan amalan mempolitikkan setiap urusan agama," titah baginda lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, baginda berharap amalan melantik menteri agama dari kalangan bukan ahli politik yang dilaksanakan sekarang dapat diteruskan demi memastikan isu-isu berkaitan hal ehwal agama Islam tidak dijadikan sebagai bahan politik.

"Tumpuan sepenuhnya dapat diberikan oleh menteri agama dalam menyelesaikan pelbagai isu yang melibatkan umat Islam. Beta menyarankan juga kelayakan akademik berasaskan ijazah pendidikan Islam perlu dijadikan sebagai kriteria utama dalam melantik seorang menteri agama," titah baginda.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.