Berita Harian: Sultan Selangor berkenan tukar nama Jalan Universiti kepada Jalan Prof Diraja Ungku Aziz
SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin ldris Shah berkenan menamakan semula Jalan Universiti di Petaling Jaya, dengan nama Jalan Prof Diraja Ungku Aziz.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office hari ini, pertukaran nama jalan berkenaan akan dilaksanakan pada kadar segera.
"Baginda berkenan untuk mengabadikan nama tokoh tersohor tanah air itu pada jalan berkenaan bagi mengenang jasa dan bakti Allahyarham Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid semasa hayatnya dalam bidang pendidikan dan ekonomi Melayu.
"Baginda juga berkenan menerima menghadap anak Allahyarham, iaitu Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz bagi menyampaikan hasrat baginda sekaligus memutuskan pertukaran nama jalan berkenaan," katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, pemilihan Jalan Universiti untuk dinamakan semula kepada Jalan Prof Diraja Ungku Aziz bertepatan kerana berdekatan pintu masuk ke Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti MAHSA.
Allahyarham pernah bertugas sebagai pensyarah di Universiti Malaya (Singapura) dari tahun 1952-1961, sebelum dilantik pula ke jawatan profesor dan seterusnya Dekan, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya (Kuala Lumpur) dari tahun 1962-1965.
Jalan Universiti sepanjang 3.2 kilometer jalan utama yang menghubungkan Petaling Jaya ke Kuala Lumpur dan dibina pada tahun 1960.
Ia adalah jalan dua hala pertama di Malaysia dan menghubungkan ke jalan-jalan utama lain seperti Lebuh Raya Persekutuan, Jalan Prof Khoo Kay Kim, Jalan Dato' Abu Bakar 16/1 dan Jalan Harapan.
Ungku Aziz meninggal dunia di Hospital Prince Court, Kuala Lumpur pada 15 Disember lalu.