Suara

Terkini
28/10/21
Selangor
Bantuan
Pakej Kita Selangor 2.0

Berita Harian: Selangor lancar rumah mampu milik bulan depan

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan membangunkan projek rumah mampu milik, Rumah Idaman di Saujana Putra, Shah Alam 2, Cybersouth, Puchong dan Alam Perdana di sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata Rumah Idaman itu dibina khas untuk rakyat yang bekerja dan menetap di Selangor dan pertama kali memiliki rumah.

"Projek rumah berkeluasan 1,000 kaki persegi dengan dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air dan dua parkir kereta berharga RM250,000 ini akan bermula November depan.

"Kerajaan negeri sudah mengenal pasti cara mengukuhkan ekonomi ketika pandemik sambil memberi peluang kepada rakyat Selangor memiliki rumah yang mereka idamkan.

"Dengan kerjasama MGB Berhad dan LBS Group, sebanyak enam projek Rumah Idaman di beberapa lokasi strategik dan pesat membangun akan dibina di Saujana Putra, Shah Alam 2, Cybersouth, Puchong dan Alam Perdana.

"Tidak kira di mana lokasi Rumah Idaman itu, kerajaan negeri akan memastikan ia mudah di akses melalui lebuh raya utama, selain dilengkapi pelbagai kemudahan berdekatan seperti hospital, sekolah, universiti dan kemudahan pengangkutan awam," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Pengumuman Khas Rumah Idaman secara maya menerusi Facebook rasmi miliknya dan fb.com/officialplatselangor, hari ini.

Amirudin berkata, Rumah Idaman menawarkan nilai berpatutan bagi pemilik rumah pertama dengan saiz yang luas, harga mampu milik, kelengkapan disediakan dan reka bentuk praktikal.

"Setiap unit Rumah Idaman akan dilengkapi kemudahan yang anda perlukan seperti televisyen, peti sejuk, sebuah televisyen bersama kabinet , kabinet dapur, penyaman udara, pemanas air serta almari pakaian.

"Antara enam projek baharu itu, Idaman BSP di Bandar Saujana Putra dijangka akan dilancarkan pada November depan dan akan siap untuk diserahkan kepada pembeli pada penghujung tahun 2024," katanya.

Beliau berkata, melalui sistem binaan berindustri, Rumah Idaman mampu dimiliki kerana ia dapat mengurangkan kebergantungan terhadap buruh asing.

"Ia juga mengoptimumkan kos dan paling penting meningkatkan kualiti rumah mampu milik supaya ia dapat didiami dengan selesa.

"Mereka yang berhasrat untuk memiliki Rumah Idaman boleh mendapatkan maklumat terkini di laman sesawang rasmi www.platselangor.com," katanya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.