Inisiatif

COVID-19
22/6/21
Isu
Selangor
Negara

Berita Harian: ProtectHealth, SELGATE bantu percepat PICK

Berita terbit di bharian.com.my pada 20 Jun 2021.

KUALA LUMPUR: ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) akan menjalin kerjasama strategik dengan SELGATE Healthcare Sdn Bhd (SELGATE) bagi merancakkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Kerjasama itu antara lain akan memberi tumpuan kepada vaksinasi membabitkan sektor ekonomi kritikal di Selangor.

Menerusinya, sebanyak 16 klinik milik SELGATE dan lebih 1,200 klinik panel SELGATE akan terbabit dalam PICK bermula Rabu ini.

Dalam satu kenyataan bersama, ProtectHealth yang juga anak syarikat milik penuh Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, SELGATE adalah anak syarikat kerajaan Selangor yang diberi mandat melaksanakan Program Vaksinasi COVID-19 Selangor (SCVP) sebagai langkah sokongan kepada PICK.


"ProtectHealth akan menyediakan latihan kepada semua klinik di bawah SELGATE bermula 23 Jun ini, membabitkan dasar PICK, model vaksinasi, keperluan teknologi maklumat (IT) dan sistem.

Selain itu, pengurusan rantai sejuk vaksin, pengendalian suntikan vaksin, pengurusan kesan sampingan vaksin dan pemantauan pengurusan vaksinasi.

"Sinergi positif ini dilihat akan membantu usaha kerajaan ke arah mencapai imuniti kelompok dengan pembukaan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV)," katanya.

Kenyataan itu menyebut, SELGATE akan memulakan program SCVP menggunakan vaksin yang dibeli terus daripada Pharmaniaga Berhad.

"Melalui perolehan vaksin ini, SELGATE akan memberi fokus kepada sektor ekonomi kritikal di Selangor, terutama yang perlu terus beroperasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menjadi tulang belakang ekonomi negara dalam tempoh pandemik ini.

"Data penerima vaksin akan diselaraskan dengan MySejahtera untuk memastikan tiada yang tertinggal daripada vaksinasi dan pelaporan data adalah lengkap dan tepat di peringkat kebangsaan," katanya.

Katanya, sinergi itu akan membantu usaha kerajaan kerana Selangor terus mencatat kes harian COVID-19 tertinggi berbanding negeri lain sejak beberapa bulan lalu.

"Justeru, pertambahan PPV secara bersasar di negeri ini dilihat sebagai strategi serampang dua mata dalam mengurangkan kes positif COVID-19, selain membantu mencapai imuniti kelompok secara keseluruhan," katanya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.