Inisiatif

Terkini
9/10/23
Selangor
Isu
Bantuan

Berita Harian: Premis di Selangor ada bekalan beras tempatan, import

PUTRAJAYA: Semua premis pemborong beras di sekitar Selangor yang diperiksa dalam Operasi Bersepadu Beras Putih Tempatan (BPT) semalam didapati mempunyai bekalan BPT dan beras putih import (BPI).

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan semua premis yang diperiksa mempunyai lesen masih sah tempoh dan simpanan beras tidak melebihi had muatan yang dilesenkan.

Operasi berkenaan diketuai Timbalan Menterinya, Chan Foong Hin serta membabitkan kerjasama penguatkuasaan rentas agensi termasuk penguat kuasa Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) meliputi pengambilan sampel beras dan pengiraan stok fizikal beras dalam simpanan gudang.

"Semua sampel yang diambil adalah mengikut prosedur penguatkuasaan yang ditetapkan dan akan diserahkan kepada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk tujuan analisis bagi mengesan pertukaran kampit beras atau aktiviti mencampurkan BPT dan BPI," menurut kenyataan itu.

Analisis kimia ke atas sampel stok beras di setiap premis dalam rantaian industri bekalan barangan itu bagi mengenal pasti ketulenan jenis beras yang dijual di pasaran, sekali gus meneliti kemungkinan berlaku aspek manipulasi bekalan barangan berkenaan.

KPKM juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati menukar kampit atau mencampur BPT dan BPI atau menyembunyikan bekalan BPT, dan akan meneruskan kerjasama penguatkuasaan rentas kementerian dan agensi melalui Operasi Bersepadu BPT, menurut kenyataan itu.

Kementerian itu semalam membuat operasi bersepadu terhadap pemborong beras sekitar Selangor dan mengambil sampel untuk analisis bagi memastikan tiada kegiatan pertukaran kampit atau mencampurkan BPT dan BPI.

Operasi tersebut membabitkan 42 anggota penguat kuasa dan PDRM meliputi pengambilan sampel beras dan pengiraan stok fizikal beras dalam simpanan gudang.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Mohd Akmal Saleh sebelum ini mendedahkan mengenai pengkhianatan dilakukan kartel beras dengan mendakwa beras tempatan sudah bertukar menjadi beras hancur.

Beliau menjelaskan, disebabkan beras hancur boleh dijual dengan bukan harga kawalan, maka kartel beras menjual beras standard pada harga beras hancur.

"Jika harga beras tempatan ditetapkan pada RM2.60 per kilogram tetapi kartel ini menjual dengan harga RM3.40 per kilogram apabila menukarkan bil jualan mengikut harga beras hancur.

"Inilah antara pengkhianat yang menekan rakyat di bawah," katanya pada hantaran dalam Facebook Isnin, lalu. – BERNAMA

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.