Media

Terkini
25/3/21
Selangor

Berita Harian: Pemulihan Sungai Klang tidak terhenti, potensi pembangunan

KLANG: Program pembersihan Sungai Klang sepanjang 56 kilometer bermula dari hulu sungai di pusat beli-belah Mid Valley Megamall sehingga ke muara Sungai Klang di Pelabuhan Klang tidak akan terhenti.

Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), Syaiful Azmen Nordin, berkata Sungai Klang melalui kawasan kepadatan penduduk yang tinggi selain mempunyai potensi pembangunan baharu yang cukup besar untuk jangka panjang.

"Di muara sungai ini, potensi pelancongan memang besar dengan sungai yang cantik, lebar, asli, malah bot boleh melaluinya seperti 'river cruise', 'houseboat'... banyak aktiviti komersial dan perniagaan yang boleh dibuat sepanjang Sungai Klang ini.

"Pembangunan ini bukan sahaja tertumpu di Klang tetapi juga di Shah Alam, Subang Jaya dan Petaling Jaya kerana Sungai Klang melalui empat bandar utama serta kawasan penting sebab itu program pembersihan berterusan.

"Kadar kutipan sampah di sepanjang Sungai Klang hari ini juga menunjukkan jumlah penurunan yang banyak dari semasa ke semasa, ini membuktikan proses pembersihan sungai di tahap lebih baik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau dan menyelusuri sungai itu serta melawat Taman Awam Pangkalan Batu bersama Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari di sini semalam.

Taman Awam Pangkalan Batu adalah antara projek pemangkin di bawah Gerbang Maritim Selangor (SMG) seliaan LLSB.

Syaiful Azmen berkata, taman itu sudah menjalani kerja-kerja menaik taraf yang besar di bawah inisiatif SMG bagi mewujudkan ruang komunal yang lebih terbuka meliputi kawasan seluas 13,000 meter persegi.

"Ini termasuk sebuah taman permainan interaktif bertemakan lanun yang mampu merangsang imaginasi kanak-kanak, serta sebuah pusat Pendidikan Tanah Basah (Educational Wetland) yang khusus bagi menunjukkan bagaimana air sungai boleh dipulih secara semula jadi dan organik.

"Jeti Pangkalan Batu yang bersejarah juga dinaik taraf sepenuhnya dengan laluan terapung yang boleh berubah mengikut pasang surut Sungai Klang. Jeti ini akan menjadi stesen utama perkhidmatan Teksi Sungai SMG," katanya.

Perkhidmatan teksi sungai Inisiatif Gerbang Maritim Selangor (SMG) bakal beroperasi sekitar Jeti Taman Awam Pangkalan Batu, Klang yang dibuka secara rasmi semalam. - Foto NSTP/Faiz Anuar
Perkhidmatan teksi sungai Inisiatif Gerbang Maritim Selangor (SMG) bakal beroperasi sekitar Jeti Taman Awam Pangkalan Batu, Klang yang dibuka secara rasmi semalam. - Foto NSTP/Faiz Anuar

Beliau berkata, beberapa peluang pelancongan melalui projek SMG dengan pelancaran perkhidmatan Teksi Sungai SMG akan bermula tidak lama lagi, diikuti dengan pembukaan Mangrove Point iaitu taman alam semula jadi pertama di Malaysia yang mempromosikan pendekatan biofilik, pada hujung tahun ini.

"Kerja-kerja pembangunan dua projek pemangkin terakhir di bawah Fasa I SMG iaitu Bazar Besar dan Perkampungan Budaya, yang menjadi fokus asal inisiatif ini juga akan dimulakan.

"Tahun ini, SMG juga akan memperkenalkan ladang urban organik di tepian sungai iaitu sebuah projek rintis bagi membantu golongan B40 (fokus usahawan agro Selangor); beberapa projek ketersambungan dan konsep kehidupan lestari; serta aktiviti ekonomi berkelompok yang menangani masalah sampah sungai dan pencemaran air.

"Projek-projek ini akan meningkatkan lagi nilai Sungai Klang dan memajukan kedudukan maritim inisiatif SMG, yang sudah menarik minat kalangan pelabur," katanya.

Katanya, antara projek pembangunan lain yang akan diawalkan adalah perumahan mampu milik di sepanjang Sungai Klang.

"Kita hendak jadikan satu model, pembangunan yang berkonsepkan dan berorentasikan sungai... kalau dulu, sungai ini dijadikan 'backyard'... sekarang kita mahu jadikan 'river fronting development' di mana kita akan mulakan pembangunan kediaman pada tahun ini di Seksyen 24, Shah Alam," katanya.

Di samping mengejar agenda ekonomi, pihaknya tetap prihatin terhadap peranan mereka sebagai pelindung sungai dan akan memastikan kelestarian serta melindungi Sungai Klang.

"Kita sedang menangani punca sebenar isu pencemaran Sungai Klang akibat pengabaian berdekad lamanya, diburukkan lagi dengan pencemaran, pemendapan, salinisasi dan pembuangan sisa.

"Kita sedang menjayakan strategi pemulihan jangka panjang yang akan berjalan secara serentak dengan sebarang aktiviti pembangunan di masa hadapan," katanya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.