Media

COVID-19
23/9/20
Isu
Selangor
Bantuan
STFC19

Berita Harian : Norma baharu lindungi warga emas

Artikel terbit di bhonline.com.my pada 20 September 2020

SHAH ALAM: Warga emas adalah antara golongan berisiko tinggi untuk dijangkiti dan berdepan komplikasi termasuk kematian akibat jangkitan COVID-19 kerana faktor umur, lebih-lebih lagi jika menghidap penyakit kronik.

Justeru, penjagaan warga emas sama ada di rumah atau pusat penjagaan perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk mengekang penularan wabak seterusnya memberi risiko kepada penghuni lain.

Pusat jagaan warga emas, Bait Al-Mawaddah yang ditubuhkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Jalan Kebun, Seksyen 30 dekat sini, memastikan setiap SOP dipatuhi semua pihak terutamanya kakitangannya.

Ketua Bait Al-Mawaddah, Siti Norkhayati Rabani, berkata pematuhan SOP ditekankan kepada petugas kerana mereka yang sering keluar dan masuk manakala penghuni hanya tinggal di pusat dan keluar untuk janji temu hospital sahaja.

Ketua Bait Al-Mawaddah, Siti Norkhayati Rabani.

Ketua Bait Al-Mawaddah, Siti Norkhayati Rabani.

"Semua kakitangan perlu membuat saringan suhu, mandi dan menukar pakaian mereka sebelum mereka masuk bekerja kerana kita tidak mahu memberi risiko kepada penghuni.

"Hanya kakitangan yang menguruskan penghuni datang bekerja manakala bahagian pentadbiran diminta bekerja dari rumah," katanya.

Beliau berkata, janji temu hospital juga ditunda kecuali yang penting dan setiap penghuni yang memasuki wad akan dikuarantin selama dua minggu apabila balik ke rumah penjagaan.

Katanya, penghuni rumah berkenaan faham dengan SOP dan amalan norma baharu yang dimaklumkan kepada mereka termasuk keperluan kuarantin sekiranya mereka dimasukkan ke wad.

"Kita tidak membenarkan penghuni keluar atau menerima pelawat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) manakala dalam tempoh PKP Pemulihan (PKPP), pelawat hanya dibenarkan berada di luar rumah jagaan," katanya.

Penghuni, Raiha Atan, 75, berkata beliau memahami SOP ditetapkan adalah untuk keselamatan mereka dan hanya tenang apabila dikuarantin selama 14 hari selepas keluar daripada hospital.

"Saya faham wabak itu berbahaya kepada saya serta penghuni lain. Justeru, saya tidak kisah untuk menjalani tempoh kuarantin berkenaan yang mana memberi saya banyak masa untuk berzikir dan membaca al-Quran," katanya.

Penghuni lain, Zakaria Kasim, 64, berkata beliau pada awalnya terkejut dan sedih apabila tidak dapat berjumpa ahli keluarga susulan PKP.

"Anak dan cucu datang dua minggu sekali dan apabila PKP dilaksanakan mereka tidak dapat datang dan pada awalnya saya agak sedih serta tertekan kerana rindukan mereka," katanya.

Pengurus Operasi Zara Aisyah Care Centre (ZACC), Rahayu Tamim, berkata SOP di situ diperketatkan selepas sebuah rumah penjagaan warga emas di negeri ini ditutup akibat COVID-19.

Penghuni di situ tidak dibenarkan keluar selagi PKPP belum tamat.

"Sekiranya keluarga masih mahu membawa penghuni pulang, penghuni dibenarkan kembali selepas tempoh 14 hari.

"Sebelum menghantar penghuni kembali ke pusat jagaan, kita minta keluarga membawa penghuni berkenaan untuk melakukan ujian saringan COVID-19 dan hanya boleh menghantar sehingga setakat pagar.

"Dalam tempoh PKPP, kita juga membenarkan ahli keluarga datang melawat di rumah jagaan iaitu maksimum dua orang pada satu masa dan tempat akan disediakan di luar rumah. Mereka hanya dibenarkan berjumpa selama 30 minit," katanya.


Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.