Media

Terkini
9/8/21
Isu
Selangor
Air

Berita Harian: LUAS bertindak segera aduan pencemaran Sungai Langat

SHAH ALAM: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah mengambil tindakan segera berhubung aduan pencemaran di Sungai Langat membabitkan sebuah premis kilang kertas kitar semula pada 26 April lalu.


Menurut LUAS dalam satu kenyataan, hari ini, hasil siasatan serta pensampelan dilakukan bagaimanapun mendapati kualiti air kolam takungan di lokasi berkenaan berada dalam keadaan baik dan tiada pencemaran ditemui.


"Berdasarkan rekod, Indeks Kualiti Air (IKA) di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Labohan Dagang di hulu premis itu juga berada dalam keadaan baik, iaitu Kelas II (April 2021), dan tiada gangguan terhadap abstraksi muka sauk bekalan air.


"Hasil siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor juga mendapati pelepasan efluen dari premis terbabit tidak memasuki kolam takungan.


"Pemeriksaan lanjut dijalankan JAS Selangor pada 22 Jun lalu mendapati pelepasan efluen perindustrian premis itu mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 selaras Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang ditetapkan," katanya.

Malah, LUAS memaklumkan, JAS Selangor telah melakukan sekurang-kurang tiga kali pemeriksaan terhadap premis terbabit bagi memastikan pematuhan peraturan ditetapkan.


"Berdasarkan rekod JAS Selangor, IKA Sungai Langat yang terkini pada Julai lalu menunjukkan peningkatan kepada 81 berbanding 72 pada 2020.

"Hasil siasatan dan penemuan ini telah dibincangkan bersama JAS Selangor, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) serta wakil daripada Gabungan Lestari Alam Kuala Langat (GLAM).


"Kualiti sumber air dan aktiviti persekitaran di Lembangan Sungai Langat yang berpotensi menyebabkan pencemaran serta menjejaskan muka sauk bekalan air, akan dipantau dari semasa ke semasa oleh LUAS, JAS Selangor dan pihak berkuasa terbabit," katanya.


Mengulas lanjut, menurut kenyataan itu, LUAS juga mengambil maklum beberapa penemuan dan aktiviti lain di lokasi sekitar serta kawasan berkaitan yang diadu dan dibangkitkan, sekali gus berpotensi menjadi faktor penyumbang kepada pencemaran serta penurunan kualiti air Sungai Langat.


Justeru, katanya, LUAS akan meneliti perkara itu dengan lebih lanjut dan bertindak bersama pihak berkaitan untuk memastikan pemeliharaan sumber air serta alam sekitar yang kondusif.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.