Media

Peristiwa
6/9/21
Isu
Air
Selangor

Berita Harian: Kilang makanan disyaki punca pencemaran di Sungai Semenyih

PUTRAJAYA: Sebuah kilang berasaskan makanan dikenakan tindakan henti tugas kerana disyaki menjadi punca pencemaran di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih pada 31 Ogos dan Jumaat lalu.

Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam kenyataan berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor sudah membuka kertas siasatan terhadap pemilik kilang berkenaan kerana disyaki menyebabkan LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas.

Katanya, tindakan itu susulan pencemaran sebatian penyebab bau (OCS) yang dikesan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) pada tahap 2 ton di muka sauk Jenderam Hilir pada jam 5.15 petang semalam.

"Siasatan JAS Selangor pada Khamis dan Jumaat lalu mendapati kilang berkenaan beroperasi dan beberapa sampel pelepasan efluen perindustrian dan sampel air sungai di muka sauk sudah diambil serta dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisis komposisi kimia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Air Selangor memaklumkan LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas pada 31 Ogos dan Jumaat lalu berikutan pencemaran bau sehingga menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di 463 kawasan dan lima wilayah.

Ia merangkumi Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54), Sepang (194), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (20).

Kenyataan itu turut memaklumkan, siasatan diteruskan tengah malam kelmarin yang mana pengawasan kualiti udara dijalankan di takat pelepasan akhir kilang (sebelum ke longkang awam) berjaya mencerap beberapa bahan.

Antaranya ialah Sebatian Organik Meruap (VOC) dalam udara yang berbau serta mempunyai persamaan dengan bahan VOC yang dikesan dalam sampel air berbau ketika kejadian henti tugas LRA Sungai Semenyih pada 31 Ogos lalu.

"Berdasarkan petunjuk terbaru berkenaan, JAS melaksanakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) terhadap kilang di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 bagi menghentikan pencemaran serta-merta.

"Proses pengeluaran kilang dihentikan sehingga siasatan lanjut selesai dijalankan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 25 (1), Akta Kualiti Alam Sekeliling,1974 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

"Kesalahan terhadap pencemaran perairan daratan yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman berdasarkan Seksyen 25(3) Akta yang sama iaitu denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum 5 tahun atau kedua-duanya bagi setiap parameter," katanya.

Katanya, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) juga sudah mengambil bukti termasuk sampel efluen dan membuka kertas siasatan kes terbabit di bawah Seksyen 121(1)(C) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) iaitu kesalahan pencemaran terhadap sumber air.

Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman berdasarkan Seksyen 121 (2)(B) iaitu penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM500,000.00 atau kedua-duanya sekali.


Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.