Inisiatif

Terkini
6/9/22
Selangor
Isu

Berita Harian: Kerajaan Selangor berisiko disaman isu Hutan Simpan Bukit Cherakah

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor berdepan risiko disaman sekiranya tidak meneruskan siar warta status Hutan Simpan Bukit Cherakah yang dinyahwartakan sebelum ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata kerajaan negeri meneruskan siar warta untuk penyahwartaan Hutan Simpan Bukit Cherakah, 5 Mei lalu, bagi melengkapkan proses penyahwartaan yang terhenti sekitar 2006.

"Sekiranya tidak meneruskan pemasyhuran atau siar warta itu, kerajaan negeri akan berdepan (tindakan) saman (oleh syarikat yang mempunyai kepentingan di tanah berkenaan).

"Ini kerana syarikat terbabit akan kehilangan peluang perniagaan yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum ini (kerajaan Selangor sebelum PH)," katanya kepada pemberita pada Program Sinergi Pendidikan Yayasan Selangor 2022, di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar tempatan hari ini bahawa Hutan Simpan Bukit Cherakah sudah 22 kali dinyahwartakan sejak 1924.

Menjelaskan lanjut, Amirudin berkata, anak syarikat negeri yang mempunyai kepentingan di hutan itu bagaimanapun akan diminta tidak meneruskan pelaksanaan projek pembangunan bawah mereka di situ, kecuali yang membabitkan kepentingan awam.

"Kita sedang mengarahkan (anak syarikat negeri terbabit) untuk memulangkan balik atau tidak meneruskan projek, kecuali untuk kemudahan awam seperti pembinaan jalan atau tanah kubur.

"Namun jika membabitkan syarikat swasta yang mempunyai potensi mengambil tindakan mahkamah terhadap kerajaan negeri, apa upaya kita sebab ia adalah keputusan kerajaan negeri sebelum ini. Kita tidak ada ruang, kecuali bersedia untuk membayar ganti rugi," katanya.

Dalam perkembangan lain, Amirudin turut mengulas cadangan jajaran baharu projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) yang didakwa bakal dibina dengan menjejaskan kira-kira 90 rumah penduduk di Taman Kencana, Ampang, tanpa pengetahuan kerajaan negeri.

"Perkara itu perlu dimeterai dengan kerajaan negeri, dan kerajaan Selangor akan memastikan jajarannya terlebih dahulu kerana ia membabitkan pengambilan tanah.

"Saya pasti perkara itu akan dibawa ke Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) untuk kita melihat jajarannya, selain kesan dan masalah berkaitan," katanya.


Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.