Inisiatif

Terkini
12/4/21
Selangor

Berita Harian: 40,000 pokok didaftarkan Jabatan Perhutanan Selangor

Berita terbit di bharian.com.my pada 11 April 2021.

SHAH ALAM: Kira-kira 40,000 pokok sudah didaftarkan oleh Jabatan Perhutanan Selangor sebagai usaha penghijauan negara melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025.

Pengarahnya, Datuk Ahmad Fadzil Abd Majid, berkata disebabkan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), program itu tidak dapat dijalankan secara besar-besaran.

"Sebelum ini, program hanya diadakan membabitkan jabatan dan tidak bersama komuniti kerana kita tidak boleh panggil ramai orang.

"Sekiranya PKP ditamatkan, kita boleh adakan program ini secara besar-besaran dan angka pendaftaran pokok juga pasti akan meningkat," katanya pada program penanaman pokok 'A Tree For Life-Planting The Future Forests' di Elmina Rainforest Knowledge Centre (ERKC) di sini, hari ini.

Majlis yang turut dihadiri penyelaras program, Ahmad Faudzi Mohd Nazam itu dianjurkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) U16 Denai Alam dan komuniti Elmina.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadzil berkata, tempoh kempen selama lima tahun juga adalah tidak lama untuk menanam sejumlah 100 juta pokok.

"Bagi komuniti yang tinggal di rumah berstrata, tetapi berminat untuk bersama-sama mengambil bahagian dalam kempen ini, Jabatan Perhutanan negeri mempunyai lokasi khusus untuk aktiviti penanaman pokok iaitu di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan.

"Kira-kira 500 hektar tanah disediakan untuk aktiviti menanam pokok di situ dan sehingga kini kita baru menggunakan sekitar 10 hingga 20 hektar daripada keseluruhan kawasan yang diperuntukkan," katanya.

Sementara itu, Ahmad Faudzi berkata, pihaknya merancang untuk menanam sekurang-kurangnya 100 pokok bersempena kempen berkenaan.

"Bagaimanapun, pada program hari ini (semalam) kita hanya menanam 20 pokok kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

"Selepas ini, kita akan mengadakan perbincangan dengan syarikat Sime Darby untuk mengadakan program bersama pada setiap tiga bulan dan menanam 50 hingga 100 pokok pada setiap program," katanya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.