Astro Awani: Rancangan Selangor Pertama: Bukan mahu dabik dada, tunjuk hebat - Amirudin
SHAH ALAM: Rancangan Selangor Pertama (RS-1) bukan diwujudkan untuk kerajaan negeri mendabik dada atau seolah-olah mahu menunjukkan Selangor adalah negeri hebat berbanding negeri lain.
Sebaliknya, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, rancangan itu merupakan usaha kerajaan negeri untuk memastikan pembangunan direncana dengan lebih terperinci.
Menurutnya, RS-1 yang akan dibentangkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 25 Julai ini juga akan menyambung dan melengkapkan segala dasar di peringkat nasional termasuk Dasar Kemakmuran Bersama dan Rancangan Malaysia.
"Di peringkat negeri, kita mempunyai sub-sub bidang tertentu, kita mempunyai aset dan potensi tertentu dan potensi itulah yang digabungkan dan dibugarkan.
"Saya percaya, kita di Selangor merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai pelan sebegitu rupa - menggabungkan semua aspek, mencantumkan semua nilai, serta membentangkan, meneliti, menjalinkan semua rancangan, pelan jangka pendek, sederhana dan panjang yang ada dalam negeri dan negara kita.
"Ia termasuk menghubungkannya dengan pihak swasta untuk kemajuan dan kelestarian pembangunan negeri," katanya ketika berucap pada Majlis Simposium Pra-Pelancaran RS-1 2021-2025 di sini hari ini.
Tambah Amirudin, kerajaan negeri juga berhasrat menjadikan Selangor sebagai Negeri Pintar, Berdaya Huni dan Makmur menjelang 2025 menerusi inisiatif di bawah RS-1.
Menurutnya, empat tema diangkat sebagai panduan iaitu Ekonomi, Sosial, Kelestarian dan Tadbir Urus.
Tema Ekonomi, katanya, bermatlamat mengukuhkan lagi status Selangor sebagai nadi pertumbuhan ekonomi dan destinasi utama pelaburan berkualiti di Malaysia dan Asia.
Ia juga bagi mewujudkan peluang pelaburan berimpak tinggi melalui pendekatan mesra pelabur yang akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan, sekali gus meningkatkan dan merancakkan ekonomi pasca pandemik.
"Tema Sosial berhasrat menjadikan Selangor sebuah negeri yang ideal untuk diduduki dengan memberikan penekanan kepada kesejahteraan dan kebajikan rakyat secara seimbang dan terangkum.
"Tema ini akan memberi tumpuan kepada pembangunan sosial dengan menyediakan peluang untuk rakyat Selangor menjana pendapatan dengan menyediakan intervensi sosial bersasar kepada golongan miskin bandar dan luar bandar.
"Selain itu, kerajaan negeri juga berhasrat mendaya-upaya rakyat dengan perkembangan teknologi digital selaras dengan visi untuk menjadikan Selangor negeri pintar," ujarnya.
Tema Kelestarian pula, jelas Amirudin, memberi fokus kepada menjadikan Selangor peneraju pembangunan lestari dengan memelihara dan memulihara alam sekitar serta meletakkan perubahan iklim sebagai aspek penting pembangunan negeri.
"Tema Tadbir Urus berobjektifkan matlamat mentrasformasi perkhidmatan awam negeri menjadi sebuah organisasi moden, berwawasan dan berpaksikan rakyat dalam memudahcara pembangunan dan perniagaan.
"Di bawah tema ini, kerajaan negeri juga akan memberikan penekanan kepada tadbir urus SMART dan berpaksikan rakyat
"Ini bagi menjadikan perkhidmatan awam negeri lebih responsif, produktif dan tangkas dengan mengaplikasikan penggunaan teknologi digital dalam menyampaikan perkhidmatan," ujarnya.