Astro Awani: 'Lockdown' Selangor? 'Kami bersikap terbuka, tapi perlu langkah susulan berkesan' - MB
KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Selangor terbuka kepada sebarang ketetapan yang akan diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) susulan situasi semasa COVID-19 di negeri itu.
Bagaimanapun, Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata sebarang tindakan yang dilakukan perlu disusuli dengan langkah-langkah susulan yang berkesan.
"Ia seperti vaksinasi yang menyeluruh, proses ujian (swab) yang lebih besar dan pantas dan beberapa sokongan kepada masyarakat termasuk aktiviti pembelajaran dan bantuan kepada mereka yang memerlukan serta mengharapkan sokongan.
"Ini supaya kita boleh memutuskan satu kedudukan yang menang-menang kepada semua pihak, sama ada dari sudut kesihatan awam, kelangsungan kehidupan dan kedudukan ekonomi Selangor," katanya dalam sidang media khas pada Rabu.
Jelas beliau, pelan hala tuju keluar (exit plan) untuk memastikan kelancaran pelaksanaan PKP amat penting bagi memastikan apa yang dilaksanakan tidak sia-sia.
"Lockdown nampak seperti mudah, tetapi selepas dua minggu, rintihan akan menyeluruh. Kita pernah alaminya pada Mac hingga Julai tahun 2020, kita perlu belajar daripada pengalaman tersebut," katanya.
Amirudin turut mengharapkan supaya sebarang prosedur operasi standard (SOP) yang diumum dan dilaksanakan, tidak berubah-ubah yang akhirnya memberi kekeliruan kepada penguat kuasa serta masyarakat.