Astro Awani: ‘Kirim salam kepada yang enggan’, PM Anwar seru rakyat Malaysia kibar Jalur Gemilang
CYBERJAYA: Dahulu, rakyat melakukan pengorbanan yang cukup besar untuk mengecapi kemerdekaan, termasuk golongan wanita yang sanggup menyerahkan barang kemas demi membolehkan pemimpin terbang ke London bagi urusan perjanjian kemerdekaan pada tahun 50-an.
Menjelang bulan kebangsaan tahun ini, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan hanya mengharapkan setiap lapisan masyarakat, baik daripada sektor awam mahupun swasta, bersama-sama semarakkan jiwa Merdeka dengan mengibarkan bendera kebanggaan Malaysia, Jalur Gemilang.
Sesuai dengan tema tahun ini, iaitu Malaysia Madani - Jiwa Merdeka, Perdana Menteri berkata, kibaran Jalur Gemilang itu boleh dilihat sebagai cerminan jati diri dan kemegahan setiap rakyat Malaysia dengan negara ini.
"Mulai hari ini, komuniti Madani, setiap jabatan, setiap rakyat, kedai dan warung, kaya dan miskin, kota dan desa, kita pastikan tunjuk kamu itu bersama jiwa Merdeka, hebatkan Malaysia. Dan saya percaya kita bagi mesej dengan jelas.
“Apa yang sukarnya? Orang dulu korban segala-galanya, (termasuk) golongan ibu di kampung, keluarkan rantai dan perhiasan mereka, jadi tabung untuk perjuangan. Dan pada 1955, tabung untuk penerbangan pemimpin ke London, dan pulang. Kerana kos terlalu tinggi… itu pengorbanan mereka.
“Saya minta kibarkan Jalur Gemilang, boleh? Kita kena pastikan, dan kalau orang yang enggan, kirim salam kepada mereka. Ini bukan isu kaum, bukan isu parti, bukan isu kedudukan, atau pekerjaan. Ini soal jati diri, soal maruah, soal harga diri,” katanya lagi.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024, di Cyberjaya pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru penyertaan pengibaran Jalur Gemilang oleh sektor swasta, yang pada pandangan beliau ada segelintir yang memandang remeh hal tersebut.
“Kerana seringkali sektor swasta ini sumbangan besar, tak boleh kita perkecilkan, tetapi kadang-kadang mereka anggap hal ini agak remeh. Kerja mereka berniaga, dan catat keuntungan. Saya nak bagi tahu mereka, kalau negeri tak aman, meniaga tak untung.
“Kalau tak ada pengorbanan polis, tentera, pasukan keselamatan di perbatasan, tidak ada pelaburan baharu. Jadi tunjukkan dukungan kamu, termasuk swasta, dan kedai swasta, bersama dengan rakyat dan negara kibarkan Jalur Gemilang. Tak mahu ada sikap tolak ansur.
“Harap mesej ini sampai kepada mereka, akan disiarkan berulangan di televisyen dan media sosial. Kerana dalam hal ini kita perlu bersatu.
"Saya tak mahu guna platform untuk singgung apa-apa yang berbeda pendapat, tapi perlu ada satu pendirian, satu sikap, dan satu matlamat untuk angkat martabat negara Malaysia, menjadi negara gemilang di rantau ini,” katanya lagi.