Apa Itu 'R Naught'? Penerangan oleh Datuk Dr. Noor Hisham, Pengarah Kesihatan KKM
Assalamualakum dan salam sejahtera,
Berikut dikongsi penerangan oleh Pengarah Kesihatan KKM mengenai 'R naught' dan bagaimana ia boleh menyebabkan penularan wabak Covid-19 di kalangan masyarakat Malaysia.
Semoga bermanfaat.
#SelangorGempurCovid19
Dari FB KKM:
Jika anda pernah mengikuti perkembangan #covid19malaysia, anda pasti pernah mendengar Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menyebut 'R naught'.
Kalau ada yang kurang jelas, R0 (R naught) adalah merujuk kepada kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak di dalam masyarakat. Ia merujuk kepada keberjangkitan, iaitu secara puratanya berapa ramai orang yang boleh dijangkiti oleh virus yang dibawa oleh kes dalam wabak tersebut.
Misalnya, jika nilai R adalah 4, ini bermakna bahawa setiap seorang kes positif jangkitan virus boleh menyebarkan penyakit ini kepada 4 orang yang lain.
Apabila wabak merebak, nilai R pada sela masa t1, t2, t3 (dan seterusnya) boleh menurun sekiranya langkah-langkah pencegahan yang tepat dijalankan secara berterusan di dalam masyarakat. Begitu juga, nilai ini boleh menaik semula sekiranya masyarakat alpa dan langkah pencegahan tidak diendahkan.
Menurunkan nilai R ke kurang daripada 1 secara berterusan, akan membantu mengakhiri sesuatu wabak.