Kenyataan Media

Kenyataan Media Pakatan Harapan Selangor

KENYATAAN MEDIA PAKATAN HARAPAN SELANGOR

8 Ogos 2019

Pakatan Harapan Negeri Selangor mengulangi tekad dan keazaman untuk memastikan Negeri Selangor Darul Ehsan terus maju sebagai sebuah Negeri Pintar Terulung menjelang 2025 (Premier Smart State) selain dari mengutamakan agenda memberdayakan rakyat agar berkeupayaan mendepani segala cabaran yang mendatang terutamanya berkaitan dengan pembangunan sosio-ekonomi negeri ini.

Kami bertekad untuk meneruskan usaha menggarap dan melaksanakan polisi-polisi yang akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi negeri serta memastikan kebajikan rakyat terbela. Justeru amatlah mustahak kesentosaan, ketenteraman serta kestabilan negeri ini dipelihara demi aspirasi pembangunan ekonomi negeri dan juga kemaslahatan rakyat.

Oleh kerana itu, Pakatan Harapan Negeri Selangor menzahirkan sokongan padu dan sepenuh keyakinan terhadap YAB Tuan Haji Amirudin Shari sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor serta Pengerusi Pakatan Harapan Selangor. Sokongan dan keyakinan ini juga ditujukan pentadbiran yang diterajui beliau yang berkeupayaan memimpin Negeri Selangor ke satu aras kemajuan yang lebih tinggi sekaligus menjamin kemaslahatan rakyat negeri ini.

Pakatan Harapan Selangor turut menolak sekeras-kerasnya desas-desus yang ditimbulkan akhir-akhir ini terutamanya melibatkan usaha menggantikan Speaker Dewan Negeri Selangor, keretakan hubungan parti komponen dan juga usaha menggugat kepimpinan YAB Tuan Haji Amirudin Shari. Desas-desus ini mempunyai agenda jahat dari musuh politik bagi memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian dalam Pakatan Harapan Selangor. Kami sepakat bagi meneruskan gerak kerja dalam melaksanakan agenda untuk manfaat rakyat dan Negeri Selangor Darul Ehsan.

Dipersetujui Bersama,

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Selangor

8 OGOS 2019 – KENYATAAN MEDIA PAKATAN HARAPAN SELANGOR

Kenyataan Media berkenaan Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi

KENYATAAN MEDIA
25 Julai 2019
Selaras dengan tekad bagi memberdaya rakyat negeri Selangor menerusi agenda pendidikan yang holistik, Kerajaan Negeri Selangor telah membuka semula permohonan bagi Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT) atau lebih dikenali dengan Hadiah Masuk Universiti.
Mahasiswa yang telah mendaftar untuk sesi pengajian boleh memohon Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi berjumlah RM1,000 daripada Kerajaan Negeri Selangor bermula hari ini. Syarat kelayakan dari segi pendapatan minimum isi rumah juga telah *dinaikkan* daripada RM3,000 ke bawah kepada RM5,000 ke bawah.
Penambahbaikan program Hadiah Pengajian IPT ini berasaskan tekad Kerajaan Negeri Selangor agar lebih ramai pelajar dan keluarga yang akan menerima manfaat dari hasil Kerajaan Negeri.
Kerajaan Negeri Selangor sentiasa prihatin dengan masa depan anak-anak yang bakal melanjutkan pelajaran sekaligus menjadi pemimpin masa hadapan. Oleh itu program berasaskan agenda pendidikan seperti Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dan Hadiah Masuk Universiti, TVET dan Peduli Siswa akan terus ditambah baik demi manfaat rakyat negeri Saelangor.
Mahasiswa boleh memohon bagi menerima Hadiah Masuk Universiti ini di laman sesawang rasmi : hpipt.selangor.gov.my . Tarikh tutup permohonan ialah pada  27 Ogos 2019.
YAB Tuan Amirudin Shari
Dato’ Menteri Besar Selangor

Kenyataan Media YAB Dato’ Menteri Besar berkenaan Isu Papan Tanda di Selangor

Kenyataan Media

4hb Julai 2019

Pada 28 Mei 2019, Malaysia kehilangan seorang tokoh Sejarawan Negara, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim yang menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Pemergian mendiang telah meningalkan legasinya sebagai seorang nasionalis dan patriot khususnya penglibatan mendiang di dalam merangka Rukunegara, sebagai suatu usaha mengembalikan keharmonian negara pasca peristiwa 13 Mei 1969.

Sebagai seorang sarjana sejarah, sumbangan besar mendiang adalah di dalam pembentukan historiografi Malaysia pada abad 19. Karya-karya utama mendiang seperti The Western Malay States 1850-1873: The Effects of Commercial Development on Malay Politics telah menjadi kanon di dalam penulisan sejarah Malaysia.

Di samping tugasnya sebagai sarjana di Universiti Malaya, mendiang juga adalah seorang intelektual awam yang terlibat aktif memberikan pandangan tentang politik dan isu-isu berkaitan pembinaan negara bangsa dan juga bidang yang sangat diminatinya iaitu sukan bola sepak.

Justeru itu dengan ini saya ingin memaklumkan bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj telah memberi perkenan untuk menamakan semula Jalan Semangat di Petaling Jaya kepada Jalan Professor Khoo Kay Kim sebagai mengenang segala jasa dan bakti mendiang kepada negara.

Kerajaan Negeri juga menetapkan bahawa semua papan tanda jalan Negeri Selangor akan menggunakan Bahasa Melayu sahaja. Ini selaras dengan perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963 / 1967. Perihal ini turut mendapat perhatian DYMM Tuanku yang telah memberi titah dan nasihat agar Kerajaan Negeri Selangor memartabatkan Bahasa Melayu dengan menetapkan hanya Bahasa Melayu digunakan dalam papan tanda rasmi kerajaan negeri termasuk pihak berkuasa tempatan.

Pendirian kerajaan adalah selaras dengan komitmen Pakatan Harapan yang komited mempertahankan beberapa teras utama perlembagaan seperti kedudukan Raja-Raja Melayu, Hak Istimewa Orang Melayu, Islam sebagai Agama Rasmi Persekutuan dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

YAB TUAN AMIRUDIN SHARI
Dato’ Menteri Besar Selangor

Kenyataan Media YAB Dato’ MB Selangor

Kenyataan Media berkenaan Penularan Politik Jijik

KENYATAAN MEDIA

26hb Jun 2019

Penularan Politik Jijik Harus Dihentikan

Mutakhir ini, perkembangan politik nasional telah dijejaskan oleh mainan yang jelik dan keji. Penularan video palsu untuk memfitnah seorang Menteri Kanan telah memasuki suatu fasa yang melampau dan memualkan.

Ketika rakyat dan seluruh negara mengharapkan politik yang memberi harapan untuk perubahan dan pembangunan tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Kini, politik menjadi medan fitnah bukannya sebagai wasilah kepada kemaslahatan awam.

Semalam satu lagi video fitnah disebarkan dan turut dimuatnaik ke dalam laman pornografi. Amalan politik sebegini mencemarkan kesucian agama, tradisi dan budaya serta kemaslahatan rakyat khususnya umat Islam di negara ini.

Pertembungan politik seharusnya berlaku dengan sihat dan menawarkan ideaidea yang mengangkat martabat rakyat dan negara bukannya melalui cara desperado yang kotor. Komplot politik jahat yang mengheret rakyat ini seharusnya tidak berlaku lagi di era Malaysia Baharu.

Saya menggesa kepimpinan negara untuk mengambil tindakan yang tegas supaya dalang di sebalik penularan video ini dapat segera diheret ke muka pengadilan. Pihak berwajib juga perlu menyekat penularan video dan memberi amaran keras kepada pihak yang terus-menerus mensensasikan fitnah ini kepada khalayak awam.

Amirudin Shari
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Selangor

Penularan Politik Jijik Harus Dihentikan

Kenyataan Media berkenaan Majlis Penyerahan Loji Rawatan Air Labohan Dagang

Kenyataan Media

25hb Jun 2019

MAJLIS PENYERAHAN LOJI RAWATAN AIR LABOHAN DAGANG

Kerajaan Negeri Selangor, hari ini mengadakan majlis penyerahan Loji Rawatan Air (LRA) Labohan Dagang, bertempat di Loji Rawatan Air Labohan Dagang, Lot 8378, 42700 Kuala Langat, Banting.

Majlis ini disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor, Yang Amat Berhormat Tuan Amirudin Shari. Majlis menyaksikan penyerahan kunci LRA Labohan Dagang dari pihak kontraktor kepada pihak Kerajaan Negeri dan seterusnya kepada Pengurusan Air Selangor selaku syarikat operator air tunggal di Selangor.

LRA Labohan Dagang direkabentuk dan dimulakan pembinaannya pada bulan Julai 2017 untuk mengeluarkan air bersih sebanyak 200 Juta Liter Sehari (JLH). Pembinaan loji rawatan ini telah menelan kos sebanyak RM425 juta.

Idea Pembangunan Loji Rawatan Air Labohan Dagang dicetuskan selaras dengan kerangka pemodenan industri air di Negeri Selangor yang merupakan satu langkah strategik bagi menangani isu dan persoalan bekalan air yang semakin mencabar. Kalau dulu, empangan kita bina di hulu sungai, tetapi hari ini, dengan pembangunan pesat dan guna tanah yang semakin berleluasa untuk tujuan pembangunan, air di hulu sungai semakin berkurangan.

Loji Rawatan Air Labohan Dagang ini mengaplikasikan pengunaan teknologi hijau dengan kemudahan kaedah Pembangunan takungan air larian di hiliran sungai (Off River Storage (ORS)) yang menghubungkan aliran air loji dari Sungai Langat ke kolam pra-rawatan. Kaedah ini membantu loji terus beroperasi walaupaun berlakunya pencemaran di sungai utama menggunakan konsep pembangunan air dihiliran untuk dijadikan sumber air.

Pembangunan takungan air larian di hiliran sungai boleh memberi kesan kepada budaya rakyat dalam mengamalkan sikap tidak membazir kepada sumber air sedia ada dan pada masa yang sama memupuk semangat cintakan alam sekitar di mana rakyat akan menjadi lebih bertanggung jawab dalam menjaga kebersihan sungai-sungai yang merupakan sebahagian dari sumber air.

Kolam takungan utama yang berkeluasan 110 hektar (ha) ini berupaya menyediakan bekalan air mentah kepada loji air sehingga 75 hari dan dapat mengelakkan henti tugas di loji air sekiranya berlaku kemarau panjang atau pencemaran di Sg. Langat.

Pengoperasian LRA ini akan membolehkan sumber bekalan air bersih ke daerah Kuala Langat yang selama ini dibekalkan oleh LRA Semenyih, LRA Labu dan LRA Sg. Selangor diagihkan ke daerah-daerah lain dan secara langsung akan meningkatkan tahap bekalan air yang lebih baik untuk Negeri Selangor.

LRA yang serba canggih ini beroperasi sepenuhnya secara automatik dan dibina di atas tanah seluas 26 hektar yang merangkumi mukasauk, tangki-tangki pemperosesan air mentah, bangunan kimia, bangunan pentadbiran, bengkel, kolam air terawat, tangki air menara, rumah pam air terawat, bangunan elektrik, kemudahan rawatan enapcemar, Surau serta kuarters untuk kakitangan.

Pembinaan loji ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan negeri dalam memberikan perkhidmatan air terbaik kepada seluruh rakyat Selangor.

YAB TUAN AMIRUDIN SHARI
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Kenyataan Media – Penyerahan Loji Rawatan Air Labohan Dagang

Kenyataan Media berkenaan Fi dan Cukai Petak

Kenyataan Media

19hb Jun 2019

Selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor yang berkuatkuasa pada 1 Jun 2018, pengenaan fi dan kadar cukai petak bagi skim pembangunan berstrata secara berkomputer telah dilaksanakan di seluruh Negeri Selangor. Ini menjadikan Negeri Selangor selaku negeri pertama di Malaysia yang menjalankan kutipan cukai petak bermula 1 Jun 2018.

Pelaksanaan cukai petak bagi skim pembangunan berstrata bertujuan untuk membantu rakyat negeri Selangor menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi oleh pemilik hartanah berstatus strata dengan Perbadanan Pengurusan (MC) yang melibatkan urusan cukai. Ini lebih memudahkan pemilik petak untuk melakukan sebarang urusan jual beli bagi hartanah berskim strata, di samping mewujudkan akses langsung antara pemilik hartanah membayar cukai secara terus kepada Pejabat Tanah dan Daerah.

Bersempena bulan Syawal ini, Kerajaan Negeri Selangor melalui MMKN Bilangan 11 Tahun 2019 telah memutuskan untuk mengecualikan denda bayaran cukai petak yang akan dilaksanakan bagi tempoh tiga (3) bulan bermula dari 1 Jun 2019 lepas sehingga 31 Ogos 2019. Sehubungan dengan itu, rakyat Negeri Selangor terutamanya pemilik hakmilik strata digesa untuk merebut peluang ini sebelum 31 Ogos 2019 bagi menggelak dari dikenakan fi denda lewat.

Pengumuman ini adalah satu bentuk insentif dan hadiah hari raya kepada semua rakyat Negeri Selangor yang memiliki hakmilik strata, disamping menggalakkan pembayaran cukai petak demi kelangsungan pembangunan negeri yang holistik selaras dengan agenda Selangor Maju Bersama.

YAB TUAN AMIRUDIN SHARI
Dato’ Menteri Besar Selangor

Kenyataan Media – Fi & Cukai Petak

Kenyataan Media berkenaan Penangguhan Kemaskini Kasih Ibu Smart Selangor

KENYATAAN MEDIA
31hb Mei 2019
Penangguhan Kemaskini Kasih Ibu Smart Selangor
Pada 26 April 2019, Kerajaan Negeri Selangor telah mengumumkan langkah mengemas kini maklumat penerima Inisiatif Kasih Ibu Smart Selangor (KISS). Langkah ini adalah perlu bagi memastikan bantuan KISS diterima golongan yang benar-benar memerlukan. Langkah mengemas kini maklumat penerima ini juga adalah perlu setelah hampir dua tahun pelaksanaan KISS.
Proses mengemas kini maklumat penerima oleh pihak Selcare akan mengambil masa selama sebulan. Dalam tempoh pengemaskinian ini, penggunaan kad KISS akan dibekukan sementara bagi membantu pihak Selcare mengemas kini maklumat dengan lebih tepat.
Tarikh mengemas kini kad KISS yang telah dicadangkan akan bermula dari 1 Jun 2019 sehingga 1 Julai 2019. Walau bagaimanapun, sebagai sebuah negeri yg peduli rakyat dengan mengambil kira tarikh Hari Raya Aidilfitri yang dijangkakan pada 5 Jun 2019, Kerajaan Negeri bersetuju untuk menangguhkan tarikh mengemas kini kepada 15 Jun 2019 sehingga 15 Julai 2019. Ini bagi membolehkan para penerima bantuan KISS menggunakan kad KISS sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.
Setelah proses pengemaskinian ini selesai, penerima KISS yang tersenarai di dalam eKasih atau senarai penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) boleh terus menggunakan kad KISS dengan jumlah manfaat yang sama. Kerajaan Negeri Selangor telah membelanjakan RM 107 juta bagi manfaat KISS sejak pelaksanaannya pada tahun 2018 dan akan terus komited meneruskan inisiatif ini.
YAB Tuan Amirudin Shari
Dato’ Menteri Besar Selangor

Kenyataan Media Berkenaan Tanda Menghormati Kemangkatan KDYMM Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah AlMusta’in Billah

Merafak sembah takziah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan seluruh rakyat negeri Pahang atas kemangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj berkenan agar bendera Negeri Selangor dikibarkan separuh tiang bermula hari ini dan hari esok sebagai tanda menghormati kemangkatan KDYMM Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah AlMusta’in Billah.

Semoga roh Almarhum mendapat husnul khatimah, dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan di syurga penuh nikmat.

Al Fatihah

YAB Tuan Amirudin Shari Dato’ Menteri Besar Selangor

Kenyataan Media Rasmi – 22hb Mei 2019

Kenyataan Media berkenaan Penjajaran Program Inisiatif Peduli Rakyat

KENYATAAN MEDIA

26 APRIL 2019

PENJAJARAN PROGRAM INISIATIF PEDULI RAKYAT (IPR)

Pelaksanaan Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS)

Pemberian manfaat bagi program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) bagi tahun 2019 diteruskan kepada semua penerima sedia ada sehingga 31 Mei 2019.

Bermula 1 Julai 2019, pemberian manfaat KISS diteruskan dengan jumlah yang sama iaitu RM 200 sebulan kepada penerima sedia ada yang berdaftar, memenuhi kelayakan dan tersenarai dalam senarai penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) atau tersenarai dalam Sistem eKasih.

Langkah ini dilaksanakan bagi memastikan bahawa penerima manfaat KISS adalah terdiri daripada golongan yang benar-benar layak dan golongan yang sangat memerlukan berdasarkan proses pengesahan melalui semakan silang dengan senarai penerima BSH atau Sistem eKasih yang dilaksanakan dengan kerjasama Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Selain daripada itu, penerima KISS sedia ada yang belum mendaftarkan diri bagi BSH mahupun eKasih, adalah dinasihatkan untuk segera membuat pendaftaran bagi membolehkan manfaat KISS bagi tahun 2019 terus dinikmati. Pendaftaran boleh dilakukan dengan mengisi lengkap borang eKasih yang boleh didapati disemua Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) dim seluruh Selangor atau secara online di laman web Bantuan Sara Hidup (http://bsh.hasil.gov.my)

Pelaksanaan Skim Peduli Sihat (SPS)

Kerajaan Negeri akan membuat pengemaskinian bagi senarai penerima Skim Peduli Sihat (SPS) sedia ada melalui maklumat yang terdapat di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan sistem eKasih. Pengemaskinian ini akan mengambil tempoh sebulan bagi pihak pelaksana iaitu pihak Selgate untuk mengemaskini data penerima. Pengemaskinian ini merupakan kali pertama dilaksanakan selepas ianya dilancarkan pada tahun 2017. Setelah 2 tahun dilaksanakan, proses pengemaskinian ini adalah perlu bagi memastikan manfaat Kad Peduli Sihat dirasai oleh golongan yang benar-benar memerlukan. Keutamaan bagi penerima yang baru adalah kepada keluarga yang berpendapatan isi rumah RM2,000 ke bawah.

Proses pengemaskinian ini akan dilaksanakan selama sebulan bermula pada 1 Mei 2019. Dalam tempoh tersebut, semua operasi rawatan di panel klinik akan diberhentikan bagi membantu melancarkan urusan. Sehingga kini, sebanyak 390,524 kad Peduli Sihat telah dikeluarkan bagi memberi manfaat rawatan asas kepada rakyat Negeri Selangor.

Selain daripada itu, pemegang Kad Peduli Sihat sedia ada yang belum mendaftarkan diri bagi BSH mahupun eKasih, adalah dinasihatkan untuk segera membuat pendaftaran bagi membolehkan manfaat Skim Peduli Sihat bagi tahun 2019 terus dinikmati. Pendaftaran boleh dilakukan dengan mengisi lengkap borang eKasih yang boleh didapati disemua Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) diseluruh Selangor atau secara online di laman web Bantuan Sara Hidup (http://bsh.hasil.gov.my)

Pelaksanaan Program Skim Mesra Usia Emas (SMUE)

Sejajar dengan aspirasi Kerajaan Negeri Selangor untuk menjaga kebajikan golongan usia emas, Kerajaan Negeri Selangor berhasrat untuk memberikan baucer Jom Shopping bernilai RM 100.00 setiap tahun kepada warga emas.  Jumlah peruntukan untuk program Jom Shopping Warga Emas ini adalah RM20juta setahun.

Manfaat ini akan diberikan kepada warga emas yang berdaftar di bawah Skim Mesra Usia Emas sempena musim perayaan, bermula pada bulan Oktober tahun ini. Menerusi langkah ini, kerajaan negeri menjangkakan seramai 200 ribu lebih warga emas akan dapat menikmati manfaat ini semasa mereka hidup.

Ini adalah bertepatan dengan hasrat Kerajaan Negeri Selangor yang menghargai golongan warga emas dan mahu mereka menikmati hasil negeri semasa mereka masih hidup. Baucer Jom Shopping ini akan membantu golongan warga emas dalam membeli barang keperluan asas sebagai kelengkapan menjelang musim perayaan.

Sejajar dengan penjajaran semula yang dibuat ini, tiada lagi sebarang pembayaran wang khairat kematian kepada waris/ ahli keluarga bagi warga emas yang berdaftar yang meninggal dunia selepas 30 April 2019. Tempoh tuntutan khairat kematian hendaklah dibuat selewat-lewatnya sebelum 31 Mei 2019.

Sehingga kini, sebanyak RM 256 juta (seramai 103,320 orang warga emas yang meninggal dunia) telah dibelanjakan bagi membayar wang khairat kematian bernilai RM2,500 kepada waris-waris, sejak permulaan skim ini pada 1hb Oktober 2008.

Penutup

Dalam usaha memperkukuh kedudukan kewangan negeri, saya yakin bahawa seluruh warga Selangor dapat memahami asas-asas keputusan ini diambil meskipun ada beberapa implikasi yang terhasil dari ketetapan Kerajaan Negeri ini.

Langkah penjajaran Inisiatif Peduli Rakyat ini dilaksanakan demi memastikan kedudukan kewangan negeri yang stabil dan mapan , sekaligus natijahnya nanti akan memastikan bantuan-bantuan yang disalurkan oleh kerajaan kepada rakyat dapat diteruskan untuk suatu jangka masa yang panjang (sustainable). Selain itu beberapa proses pengemaskinian dilaksanakan kerana Kerajaan Negeri Selangor mahu memastikan manfaat-manfaat bantuan tersebut disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukannya.

Sudah pasti langkah penjajaran ini mengundang ketidakselesaan dan seterusnya mencetus perbandingan dengan kelompok lainnya. Di sinilah persefahaman semua pihak amat diharapkan dalam memahami tujuan dan matlamat sebenar Inisiatif Peduli Rakyat iaitu ke arah mensasar bantuan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Penjajaran Inisiatif ini juga sama sekali tidak bermakna kesejahteraan atau kepedulian ke atas kelompok lain dikesampingkan, tetapi penumpuan terhadap peningkatan tahap sistem penyampaian perkhidmatan; pembangunan dan pengurusan infrastruktur serta persekitaran hidup yang kondusif, adalah mauduk utama yang difokuskan Kerajaan Negeri Selangor demi kepentingan semua kelompok baik T20 dan M40.

Pendekatan holistik ini tuntas bertujuan untuk terus memacu pertumbuhan ekonomi Negeri agar prinsip ‘Selangor Maju Bersama’ yang menjadi tema pembangunan negeri akan berjaya direalisasikan.

Kenyataan Media Penjajaran IPR 26 April 2019

Peluang Kolaborasi Pihak Swasta Dalam Program Smart Selangor 2019

Kenyataan Media

21hb Mac 2019

PELUANG KOLABORASI PIHAK SWASTA DALAM PROGRAM SMART SELANGOR 2019

Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) adalah anak syarikat milikan penuh Kerajaan Negeri Selangor yang telah dimandatkan untuk menerajui pembangunan program Smart Selangor bagi pihak kerajaan negeri Selangor menjayakan visi untuk menjadikan Selangor sebagai the Premier Regional Smart State di rantau ASEAN menjelang tahun 2025. Program Smart Selangor bermatlamat menjadikan Selangor sebagai negeri serantau yang lebih produktif, lebih berdaya huni yang memastikan kemampanan dan pemuliharaan alam sekitar seiring dengan pembangunan yang dicapai.

Inisiatif-inisiatif Smart Selangor dapat dirangkumi menerusi 12 tunjang utama iaitu: Smart Governance, Smart Waste Management, Smart Traffic and Mobility, Smart Digital Infrastructure, Smart Healthcare, Smart Education, Smart Disaster Management, Smart Food & Agriculture, Smart Building & Energy, Smart Water Management, Smart Safety & Security dan Smart Social Support yang merangkumi program Inisiatif Peduli Rakyat Kerajaan Negeri.

Pada hari ini saya ingin memaklumkan bahawa pihak SSDU akan membuat pengumuman mengenai suatu proses Expression of Interest (EOI) yang akan dilaksanakan bagi mempelawa syarikat-syarikat pembekal teknoloji tempatan dan antarabangsa untuk turut serta berkolaborasi dalam pembangunan beberapa inisiatif asas Smart Selangor untuk tahun 2019. Ini adalah satu lagi contoh polisi dan pendekatan ‘business friendly’ oleh Kerajaan Negeri Selangor yang menjadi teras pentadbiran ini. Saya amat berharap agar agenda Smart Selangor ini akan dapat dilaksanakan dengan jayanya menerusi penglibatan lebih banyak syarikat-syarikat swasta di Malaysia.

YAB Tuan Amirudin Shari

Dato Menteri Besar Selangor

21 Mac 201

SSDU