Ucapan Majlis Sambutan 20 Tahun Invest Selangor

Senarai Salutasi (Salutasi ini tertakluk kepada pindaan)

Yang Berhormat Dato’ Teng Chang Khim Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Negeri Selangor;

Yang Berhormat Datuk Abdul Rashid bin Asari Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Negeri Selangor;

Yang Berbahagia Dato’ Hasan Azhari bin Haji Idris Ketua Pegawai Eksekutif, Invest Selangor Berhad;

Yang Berusaha Ketua-ketua Jabatan;

Yang Berusaha Ketua-Ketua Pengarang, Wartawan dan Warga Media yang hadir pada malam ini;

Yang Berbahagia TanSri-Tan Sri, Dato’-Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian.

1. Assalamualaikum warahmatullah hibarakatuh, selamat malam dan salam sejahtera.

2. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Invest Selangor di atas jemputan kepada saya untuk menyampaikan ucapan pada malam ini.

3. Alhamdulillah dan syukur kita kehadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat kita bersama-sama pada Majlis “Malam Penghargaan Media Invest Selangor Berhad 2019”

4. Sesungguhnya saya merasa amat bertuah pada malam ini, kerana dapat berhimpun di majlis ini bersama-sama rakan media yang selama ini telah banyak memberikan bantuan dan sokongan kepada kerajaan negeri Selangor dan Invest Selangor Berhad selaku sebuah agensi milik penuh Kerajaan Negeri Selangor yang bertanggungjawab sebagai pemudah cara dalam urusan berkaitan pelaburan di dalam negeri Selangor bagi pelaburan sedia ada dan yang berpotensi.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

5. Saya berpendapat bahawa media cetak, media elektronik atau media digital/online telah banyak memberikan sumbangan dan impak yang positif di dalam usaha-usaha mempromosikan pembangunan ekonomi kepada negara Malaysia secara amnya dan negeri Selangor khasnya. Ianya di mana peranan dan sumbangan pihak media adalah penting dan amat diperlukan bagi menyebarkan maklumat dan berita terkini bukan sahaja di dalam negara bahkan ke seluruh dunia. Dalam revolusi industri 4.0, pihak media memainkan peranan yang penting dalam revolusi ini dengan memperkenalkan pelbagai media seperti saluran maklumat melalui media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain.

6. Justeru itu, Kerajaan negeri Selangor sangat mengharapkan supaya pihak media dapat memberikan kerjasama dalam menyiarkan laporan yang positif, sahih dan seimbang serta menjaga sensitiviti dari pelbagai sudut keagamaan, bangsa, kaum dan ekonomi. Pihak media juga mempunyai peranan yang penting dalam usaha untuk memupuk semangat perpaduan yang erat dan mengekalkan keamanan yang berterusan di kalangan rakyat.

7. Hubungan yang akrab dan saling memerlukan antara satu sama lain di antara pihak media dan kerajaan negeri hendaklah diteruskan walaupun kita mempunyai tanggungjawab yang berbeza tetapi dengan matlamat yang sama demi membangunkan sebuah negara yang makmur dan sejahtera. Kerajaan negeri juga senantiasa mengamalkan dasar terbuka untuk menerima cadangan daripada pihak media dalam memastikan pembangunan negeri ini terus dilaksanakan demi kemajuan negeri.

Hadirin sekalian,

8. Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan syabas di atas ulang tahun kali ke-20 kepada pihak pengurusan dan kakitangan Invest Selangor Berhad pada 1 Jun 2019 yang lalu. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Invest Selangor kerana telah mencapai kejayaan dimana prestasi pelaburan Negeri Selangor bagi tahun 2018 secara keseluruhannya, adalah sangat baik dan bersejarah untuk Negeri Selangor dan Invest Selangor Berhad. Kejayaan Prestasi Pelaburan bagi tahun 2018 ini berikutan peningkatan yang diperolehi bukan sahaja melebihi sasaran tetapi juga merupakan rekod tertinggi sejak 30 tahun yang lalu.

9. Daripada statistik Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi tahun 2018, negeri Selangor telah berjaya menarik sejumlah RM18.947 billion pelaburan dalam dan luar negara berbanding sebanyak RM5.592 bilion pada tahun 2017. Pencapaian yang tinggi ini merupakan peningkatan sebanyak 238% berbanding tahun sebelumnya dan ini merupakan pencapaian tertinggi di dalam sejarah negeri Selangor.

10. Jumlah pelaburan ini adalah berdasarkan 241 projek perkilangan yang diluluskan di Selangor bagi tahun 2018, berbanding sebanyak 202 projek perkilangan yang diluluskan pada tahun 2017. Jumlah projek yang diluluskan ini merupakan yang tertinggi di dalam Negara bagi tahun bagi tahun 2018 berbanding negeri-negeri lain. Ianya juga merupakan peningkatan sebanyak 19% dari segi bilangan projek.

11. Sebagai makluman Tuan-Puan, Negeri Selangor juga tetap menjadi pilihan utama pelabur dari segi penempatan projek pelaburan mereka. Di mana, negeri Selangor sekali lagi memperkukuhkan kedudukannya sebagai penjana ekonomi utama apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi negeri Selangor meningkat sebanyak 6.8% kepada RM323 billion pada tahun 2018, menyumbang kepada 23.7% kepada KDNK negara.

12. Saya berharap Invest Selangor Berhad akan terus mempertingkatkan lagi usaha untuk menarik pelaburan ke negeri Selangor dan diharap berganding erat dengan pihak media di dalam mempromosikan aktiviti-aktiviti berkaitan pelaburan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

13. Antara inisiatif-inisiatif baru yang sedang dimuktamadkan adalah: a) Pelan Hala Tuju khusus bagi Industri Halal Negeri Selangor “Selangor Halal Action Plan” yang merupakan inisiatif kerajaan Negeri Selangor melalui Invest Selangor dalam merangka strategi serta kaedah terbaik untuk mempertingkatkan dan menambah baik ekosistem industri Halal di Negeri Selangor berdasarkan penyelidikan dan pembangunan (R&D), Industri 4.0, piawaian, pensijilan, pembiayaan dan lain-lain.

b) Pelan Tindakan Khas Hala Tuju Industri Aeroangkasa Negeri Selangor “Selangor Aerospace Action Plan” juga merupakan satu inisiatif oleh Kerajaan Negeri Selangor yang telah dicadangkan oleh Majlis Aeroangkasa Selangor menerusi Invest Selangor dalam merangka strategi serta kaedah terbaik bagi memperkasakan dan menambah baik ekosistem industri aeroangkasa di Negeri Selangor.

14. Seterusnya, Kerajaan Negeri Selangor melalui Invest Selangor juga akan menubuhkan Pelan Tindakan Khas Hala Tuju Industri Biotech Negeri Selangor “Selangor Biotech Action Plan” yang akan dilaksanakan dalam masa yang terdekat sejajar dengan pembangunan industri bioteknologi yang menjana pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor.

Hadirin yang dihormati sekalian,

15. Semoga dengan program seperti ini boleh dijadikan medium pertemuan untuk mengeratkan lagi hubungan di antara kita bersama-sama membangunkan negeri ini demi kesejahteraan rakyat. Mudah-mudahan hubungan yang erat ini juga akan berterusan di masa-masa akan datang.

16. Akhir kata, saya, sekali lagi mewakili kerajaan negeri ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada rakan media sama ada media cetak, media elektronik dan media digital/online yang sentiasa memberi kerjasama baik terhadap kerajaan Negeri Selangor dan Invest Selangor. Semoga rakan-rakan media akan terus sukses dan cemerlang di dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

17. Sekian, Wabillahi taufik wal-hidayah wassalamualaikum warah matullahi wabarakatuh. Terima kasih.

YAB Tuan Amirudin Shari
Dato Menteri Besar Selangor

Ucapan Dato MB Selangor_Malam Penghargaan Media Invest Selangor 2019