Ucapan Perhimpunan Bulanan Ogos 2019

Saudara Pengacara Majlis

 

Yang Berhormat Tuan Ng Suee Lim

Tuan Speaker Dewan Negeri Selangor

 

Yang Berhormat Dato’ Mohd Amin bin Ahmad Ahya

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor

 

Yang Berbahagia Dato’ Mohd Sayuthi bin Bakar

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Petaling Jaya

 

Yang Berbahagia Puan Latheefa Koya

Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

 

Yang Berhormat Dato’ Masri bin Mohd Daud

Penasihat Undang-undang Negeri Selangor

 

Yang Berbahagia Dato’ Nor Azmie bin Diron

Pegawai Kewangan Negeri Selangor

 

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor

 

Yang Berusaha Ketua-ketua Jabatan Negeri Dan Daerah

 

Yang Berbahagia Dato’-Dato’, Datin Paduka seterusnya

Tuan-tuan dan Puan-puan Penjawat Awam Negeri Selangor Yang Dihormati Sekalian.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

 

  1. Segala puji bagi Allah Penguasa Semesta Alam. Maha Kuasa Dia yang memberi kekuasaan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Selawat dan salam atas junjungan termulia, Pemimpin Ulung kita Nabi Muhammad S.A.W. Amma ba’du.

 

  1. Pagi ini saya sangat bersyukur dapat bersama-sama ketua-ketua jabatan kerajaan negeri. Peluang ini jangan disia-siakan agar dasar dan polisi kerajaan negeri dapat diterangkan dengan jelas. Semoga dengan sesi kali ini setiap dari kita yang bernaung di bawah payung Tuanku Sultan mendapat pencerahan berkenaan halatuju ekonomi Negeri Selangor Darul Ehsan.

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

Perubahan dasar pembangunan negeri

 

  1. Penting untuk dirakam di sini betapa tingginya penghargaan pentadbiran ini kepada para penjawat awam. Sejumlah RM33.2 juta telah diperuntukkan khusus buat anda semua, para penjawat awam. Ini menandakan tekad kerajaan dalam memelihara dan menyokong tulang belakang pentadbiran ini.

 

  1. Sudah tentulah, dengan jumlah yang begitu besar, terdapat beberapa expectation atau harapan yang tidak kurang tingginya kepada para penjawat awam. “With great allocation, comes great responsibility” kalau boleh saya sadur daripada cogankata Spiderman.

 

  1. Selangor berada di landasan yang betul. Polisi-polisi pro-rakyat kita sangat terkesan kepada para penduduk di negeri bertuah ini, sehinggakan ia menjadi semacam bentuk template atau acuan kepada negeri-negeri lain di Malaysia.

 

  1. Selangor merupakan Gedung Ekonomi Malaysia. Kita adalah syurga perkilangan. Toyota akan membuka kilang bernilai RM2 bilion di negeri. Kita mempunyai marjin terbesar dalam industri perkhidmatan. IKEA Ketiga Terbesar juga akan dibuka di sini. Tetapi kita perlu faham bahawa masih banyak ruang untuk diperbaiki terutamanya ke arah menjadikan Selangor berteknologi tinggi dan siap siaga untuk Industri 4.0

 

  1. Kita tidak boleh berpuas hati dengan keadaan status quo sekarang. Selangor perlu berubah. Ia perlu menjadi pencetus keajaiban ekonomi dan berada di baris paling hadapan dalam barisan kemakmuran ASEAN.

 

  1. Sebagai pemimpin, menjadi tanggungjawab saya untuk membuat tindakan yang betul bagi kebajikan dan maslahat jumlah terbesar kalangan rakyat. Walaupun langkah yang dilakukan dijangka tidak popular, tetapi bagi memastikan kelangsungan pentadbiran ini, kita bertekad untuk meneruskan polisi-polisi yang betul dalam menjamin masa depan anak cucu kita nanti.

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

  1. Umum mengetahui bahawa satu-satu penyelesaian itu tidak begitu sesuai untuk semua jenis masalah. Begitu juga dengan Selangor. We are in a transition dan corak pentadbiran yang terlalu welfare-heavy harus ditukar daripada pentadbiran kebajikan semata-mata kepada pentadbiran yang menitikberatkan growth (pertumbuhan) dan sustainability (kelestarian).

 

  1. Bukanlah berniat untuk mengkritik kebijakan masa lepas, namun kita harus melihat kesesuaian masa atau relevancy dalam memberikan hak kepada yang berhak tanpa menafikan keselesaan kepada semua.

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

Klusterisasi Ekonomi

 

  1. Benar, Kerajaan Negeri Selangor merintis pentadbiran peduli rakyat. Rizab meningkat ke RM2.3 bilion. Jumlah sebesar RM32.5 juta dimaanfaatkan setakat 2018 untuk skim kesihatan awam. Banyak lagi petikan angka boleh saya sebutkan. Yang saya ingin tekankan adalah ini: Kita hanya dianggap berjaya jika kita berjaya membuktikan betapa pengurusan kewangan yang bertanggungjawab membolehkan kita betul-betul membantu orang yang susah, dan yang mengupayakan mereka yang lain dengan pemberian peluang yang lebih baik.

 

  1. Oleh sebab itu, Kerajaan Negeri bercadang untuk melaksanakan dasar pembangunan negeri yang lebih bertanggungjawab dan lestari bagi menghadapi cabaran mendatang. Antara strategi utama dalam dasar ini seperti yang terkandung dalam dokumen Belanjawan Selangor 2019 ialah klusterisasi ekonomi.

 

  1. Izinkan saya memberi sebuah analogi dalam menjelaskan konsep ini: sekiranya tuan-tuan boleh tinggalkan semua tugas hakiki tuan-tuan dan fokus hanya kepada satu perkara, katakan contohnya menulis kaligrafi. Dari siang ke malam, dari pagi ke petang—setiap hari without fail anda hanya mempersiapkan alat tulis bagi tujuan ini, tidakkah tuan-tuan akan berkemahiran serta mutu kaligrafinya mantap?

 

  1. Mungkin pada awalnya sukar, tetapi setiap usaha, setiap percubaan, setiap kegagalan yang tuan-tuan hadapi menjadikan tuan-tuan lebih dekat dengan impian akhir atau endgame: untuk menjadi pakar kaligrafi Cina.

 

  1. Begitu juga dengan klusterisasi yang dizonkan pihak Kerajaan Negeri. Mengambil kira ‘bakat semula jadi’ yang terpendam dalam sesebuah gugusan yang ada, apa yang diuruskan oleh Kerajaan Negeri hanyalah menjadi pemudahcara dalam menggalakkan serta menyediakan prasarana yang sesuai untuk ekosistem ekonomi yang berkaitan.

 

  1. Faedahnya nanti: setiap gugusan yang sedia kala sudah pun mencapai kemakmuran ekonominya, bakal bertambah economic volume-nya secara berganda. Peluang pekerjaan meningkat, perbelanjaan domestik menjadi meriah dan the rest, they say, will be history.

 

  1. Kalau kita berjaya, Malaysia juga berjaya. Sekiranya kita gagal, ianya hanyalah satu lagi pelajaran berharga buat kita semua. Kita harus mendakap pendekatan ‘berani gagal’ ini, walau pelik didengar. Ia lebih mudah untuk difahami, berbanding gesaan radikal CEO Uniqlo, Tadashi Yanai yang terkenal dengan mantra beliau “Change or Die”.

 

  1. Pokoknya, kita perlukan perubahan paradigma untuk kekal relevan. Yang disebut ‘connectivity’ pada waktu ini contohnya–isunya bukan lagi infrastruktur fizikal semata tetapi kelajuan internet 5G. Perlu diinsafi bagaimana Nokia dittinggalkan jauh ke belakang Apple, atau Friendster dilupakan dengan Facebook. Kalau kita tak bersedia untuk berinovasi, kita akan gagal mendapat pembangunan yang lebih maju daripada apa yang kita nikmati sekarang.

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

Merdeka & erti pengorbanan

 

  1. Saya ingin tarik perhatian kita kepada erti pengorbanan dalam kerukunan hidup bernegara. Mengambil semangat Hari Raya Aidiladha serta Hari Merdeka, marilah kita renung sejenak kepada persoalan nasional yang kita hadapi saat ini.

 

  1. Saya ulang sekali lagi pertanyaan tadi: Apakah erti kenegaraan? Kalau boleh saya jawabkan dengan jujur dalam cara yang paling sederhana. Begini: Jika ikutkan hati, kita mungkin memilih untuk tidak membayar cukai. Mungkin kita mahu hidup bersama-sama kaum kita sahaja tanpa kaum-kaum lain. Kita juga mungkin tidak mahu bahasa lain dituturkan sama sekali. Di situlah letaknya erti bernegara: setiap dari kita perlu berkorban agar kecintaan kepada watan diutamakan berbanding yang lain.

 

  1. Semangat pengorbanan itulah yang ditunjukkan para pejuang kemerdekaan dahulu. Semangat perjuangan itulah yang membolehkan kita menikmati keadaan yang aman dan selesa sekarang. Tanpa pengorbanan, tiada kemerdekaan. Tanpa kemerdekaan, kemajuan tidak bermakna dan hidup menjadi tidak bererti.

 

  1. Dengan itu, saya ingin menggesa tuan-tuan dan puan-puan untuk bersemangat cintakan negara kita. Marilah kita zahirkan patriotisme kita dalam Bulan Kemerdekaan ini. Ayuh kibarkan Jalur Gemilang di rumah, pejabat, kenderaan serta mana-mana sahaja bagi memeriahkan sambutan kemerdekaan kita.
  2. Sebelum berundur diri, kita akui kelemahan yang ada yakni dasar yang kita bawa tidak begitu jelas di dalam benak fikiran anda semua, para tulang belakang pentadbiran ini. Sekarang, kita semua secara kolektif harus mengambil tanggungjawab untuk sedaya-upaya memahami dasar serta polisi ekonomi kerajaan negeri dan menjelaskannya ke bawah.

.

  1. Akhirul kalam, saya mengajak tuan-puan dan diri saya sendiri agar terus berusaha sebaik yang mungkin untuk berkhidmat kepada rakyat. Semoga usaha kita diberkati Yang Maha Kuasa. Wassalam.

Ucapan Perhimpunan Bulanan 2019