Kenyataan Media berkenaan Sesi Libat Urus RMKe12 bersama Kementerian Ehwal Ekonomi

KENYATAAN MEDIA
9 OGOS 2019
SESI LIBAT URUS BERSAMA KEMENTERIAN EHWAL EKONOMI  BAGI PENYEDIAAN RANCANGAN MALAYSIA KEDUA BELAS DALAM RANGKA MENJADIKAN SELANGOR NEGERI PINTAR TERULUNG
Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi telah mengadakan sesi libat urus penyediaan Rancangan Malaysia Kedua Belas, 2021-2025 (RMKe-12)   bersama Kerajaan Persekutuan yang telah dipengerusikan bersama oleh YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan YAB Tuan Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor. Sesi libat urus kali ini adalah negeri yang kelapan setelah beberapa negeri lain seperti Perak, Johor dan Pulau Pinang.
Mesyuarat pagi ini dimulakan dengan perkongsian tentang prestasi Selangor dan bagaimana kerjasama erat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor dapat melonjakkan Selangor sebagai sebuah negeri pintar terulung ke peringkat yang lebih tinggi. Sebagai sebuah negeri utama yang menjadi pengemudi atau enjin utama ekonomi Malaysia, kemajuan serta kemakmuran Selangor amatlah penting untuk kemajuan Malaysia amnya dan Selangor khususnya.
Mesyuarat kali ini turut mengenalpasti lima industri utama di Selangor yang memerlukan sinergi antara Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan dengan Kerajaan Persekutuan iaitu sains hayat, jentera dan kejuruteraan, elektrik dan elektronik, makanan & minuman serta pengangkutan & peralatan selaras dengan pendekatan Klusterisasi Ekonomi yang diilhami Dato’ Menteri Besar Selangor.
Pembangunan serta perancangan RMKe-12 yang dirangka dalam sesi libat urus ini merupakan suatu ‘game changer’ yang bakal membuka lebaran baru buat ekonomi negara, sekaligus melimpahkan kemakmuran ekonomi buat semua.
Kerajaan Negeri Selangor berharap beberapa inisiatif dan projek misalnya yang membabitkan pembangunan infrastruktur seperti Jalan Bertingkat yang menghubungkan North Port dengan Pulau Indah, Jajaran WCE Banting – KLIA – Tanjung Sepat, Pulau Indah Ring Road Fasa ke 3, penggantian paip air di kawasan Bio Bay, dana yang membabitkan Selangor Maritime Gateway, solusi kepada pemilikan rumah mampu milik, peningkatan kapasiti jalur lebar di seluruh Selangor, beberapa projek pengurusan banjir termasuklah Pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir dan Subang Airport Regeneration 2025 akan dipertimbangkan dan diluluskan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.
Kerajaan Negeri Selangor ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YB Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato Seri Azmin Ali atas inisiatif Sesi Libat Urus ini yang menekankan prinsip federalisme dan perana Kerajaan Negeri dalam pembentukan dasar Kerajaan Persekutuan.
Turut hadir di sesi libat urus ini ialah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin bin Ahmad Ahya, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Saiful Anuar bin Lebai Hussen, Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Pegawai-pegawai Kerajaan Negeri Selangor dan Jabatan Persekutuan di Selangor.
YAB TUAN AMIRUDIN SHARI
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR