Kenyataan Media Pakatan Harapan Selangor

KENYATAAN MEDIA PAKATAN HARAPAN SELANGOR

8 Ogos 2019

Pakatan Harapan Negeri Selangor mengulangi tekad dan keazaman untuk memastikan Negeri Selangor Darul Ehsan terus maju sebagai sebuah Negeri Pintar Terulung menjelang 2025 (Premier Smart State) selain dari mengutamakan agenda memberdayakan rakyat agar berkeupayaan mendepani segala cabaran yang mendatang terutamanya berkaitan dengan pembangunan sosio-ekonomi negeri ini.

Kami bertekad untuk meneruskan usaha menggarap dan melaksanakan polisi-polisi yang akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi negeri serta memastikan kebajikan rakyat terbela. Justeru amatlah mustahak kesentosaan, ketenteraman serta kestabilan negeri ini dipelihara demi aspirasi pembangunan ekonomi negeri dan juga kemaslahatan rakyat.

Oleh kerana itu, Pakatan Harapan Negeri Selangor menzahirkan sokongan padu dan sepenuh keyakinan terhadap YAB Tuan Haji Amirudin Shari sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor serta Pengerusi Pakatan Harapan Selangor. Sokongan dan keyakinan ini juga ditujukan pentadbiran yang diterajui beliau yang berkeupayaan memimpin Negeri Selangor ke satu aras kemajuan yang lebih tinggi sekaligus menjamin kemaslahatan rakyat negeri ini.

Pakatan Harapan Selangor turut menolak sekeras-kerasnya desas-desus yang ditimbulkan akhir-akhir ini terutamanya melibatkan usaha menggantikan Speaker Dewan Negeri Selangor, keretakan hubungan parti komponen dan juga usaha menggugat kepimpinan YAB Tuan Haji Amirudin Shari. Desas-desus ini mempunyai agenda jahat dari musuh politik bagi memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian dalam Pakatan Harapan Selangor. Kami sepakat bagi meneruskan gerak kerja dalam melaksanakan agenda untuk manfaat rakyat dan Negeri Selangor Darul Ehsan.

Dipersetujui Bersama,

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Selangor

8 OGOS 2019 – KENYATAAN MEDIA PAKATAN HARAPAN SELANGOR