Kenyataan Media berkenaan Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi

KENYATAAN MEDIA
25 Julai 2019
Selaras dengan tekad bagi memberdaya rakyat negeri Selangor menerusi agenda pendidikan yang holistik, Kerajaan Negeri Selangor telah membuka semula permohonan bagi Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT) atau lebih dikenali dengan Hadiah Masuk Universiti.
Mahasiswa yang telah mendaftar untuk sesi pengajian boleh memohon Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi berjumlah RM1,000 daripada Kerajaan Negeri Selangor bermula hari ini. Syarat kelayakan dari segi pendapatan minimum isi rumah juga telah *dinaikkan* daripada RM3,000 ke bawah kepada RM5,000 ke bawah.
Penambahbaikan program Hadiah Pengajian IPT ini berasaskan tekad Kerajaan Negeri Selangor agar lebih ramai pelajar dan keluarga yang akan menerima manfaat dari hasil Kerajaan Negeri.
Kerajaan Negeri Selangor sentiasa prihatin dengan masa depan anak-anak yang bakal melanjutkan pelajaran sekaligus menjadi pemimpin masa hadapan. Oleh itu program berasaskan agenda pendidikan seperti Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dan Hadiah Masuk Universiti, TVET dan Peduli Siswa akan terus ditambah baik demi manfaat rakyat negeri Saelangor.
Mahasiswa boleh memohon bagi menerima Hadiah Masuk Universiti ini di laman sesawang rasmi : hpipt.selangor.gov.my . Tarikh tutup permohonan ialah pada  27 Ogos 2019.
YAB Tuan Amirudin Shari
Dato’ Menteri Besar Selangor