Ucapan Dato’ Menteri Besar Selangor sempena Pelancaran Program Sayangi Generasiku

Yang Berhormat, Barisan Exco Kerajaan Negeri Selangor

Yang Berhormat, Puan Juwairiyah binti Zulkifli Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Bukit Malawati

Yang Dihormatkan Dato Muhammad Yaakub bin Dato Hj Ismail Datuk Penggawa Paduka Mahabijaya Orang Besar Daerah Kuala Selangor

Yang Berbahagia En.Muhammad Faizal bin Abdul Raji
Pegawai Daerah Kuala Selangor Merangkap Pengerusi PEMADAM Daerah Kuala Selangor

Yang Berbahagia Puan Rahilah binti Rahmat
Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor

Yang Berbahagia Pn Hjh Marpuaton binti Sastero
Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Selangor

Yang Berusaha Ketua-ketua Jabatan Agensi Kerajaan Daerah Kuala Selangor

Yang Berusaha En. Zainal bin Kasim
Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Selangor

Yang Berusaha Pengetua-pengetua Sekolah Menengah Daerah Kuala Selangor

Yang Dihormati Ahli Jawatankuasa PEMADAM Daerah Kuala Selangor

En. Sarifuddin bin Yusof
Yang Dipertua PIBG SMK Kuala Selangor

Para guru SMK Kuala Selangor

Dan para hadirin yang dikasihi sekalian.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah s.w.t atas limpah kurnia-Nya, kita semua masih lagi dapat menikmati hidup dengan aman serta merdeka di bumi Malaysia yang tercinta ini. Pada petang ini, kita dapat berkumpul bersama-sama dalam memeriahkan dan menjayakan majlis Pelancaran “Kempen Sayangi Generasiku” anjuran PEMADAM Kuala Selangor bertempat di SMK Kuala Selangor.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada ahli jawatankuasa PEMADAM Kuala Selangor, barisan pentadbir dan pendidik SMK Kuala Selangor serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program “Sayangi Generasiku”. Mudah-mudahan kerjasama erat ini akan berterusan pada masa-masa akan datang sebagai satu wadah untuk memerangi dadah dan meningkatkan jati diri bangsa dan negara kita.

Pelbagai pembangunan telah kita kecapi, pelbagai kejayaan telah kita rasai dan pelbagai cabaran juga telah kita atasi demi menjadikan kita bangsa Malaysia yang matang dan berani menghadapi apa jua rintangan yang mendatang. Namun demikian kejayaan yang dinikmati pada hari ini tidak akan berkekalan sekiranya negara terus dibelenggu dengan masalah sosial khasnya penagihan dadah.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

Kita sedia maklum bahawa Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) khususnya di Selangor memainkan peranan aktif membantu polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menangani isu penyalahgunaan dadah di negeri ini. Masalah penyalahgunaan dadah perlu ditangani dengan lebih berkesan dengan pembabitan PEMADAM secara lebih menyeluruh bagi membantu pihak berkuasa. Masalah ini perlu ditangani kerana jika kita membiarkannya ia akan membarah dan mengagalkan segala usaha Kerajaan Negeri untuk menjadikan negeri ini sebagai Smart Selangor.

Sesungguhnya dalam memacu pembangunan negara, kerajaan tidak lupa untuk memastikan rakyat Malaysia terhindar daripada pelbagai masalah sosial yang boleh membawa kepada kejatuhan moral seperti masalah penagihan dadah. Oleh hal yang demikian, saban tahun kerajaan melalui Agensi Antidadah Kebangsaan, Kementerian Dalam Negeri menganjurkan Sambutan Hari Antidadah Kebangsaan. Sambutan Hari Antidadah Kebangsaan yang disambut pada 19 Februari setiap tahun bertujuan untuk memperingatkan masyarakat Malaysia akan peranan dan tanggungjawab kita berhadapan dengan ancaman bahaya dadah kepada negara.

Peranan dan tanggungjawab perlu dipikul secara bersama bagi memastikan komuniti tempat tinggal kita selamat dan bebas daripada permasalahan dadah. Justeru itu, ahli masyarakat tidak seharusnya meletakkan tanggungjawab memerangi penyalahgunaan dadah hanya di bahu kerajaan semata-mata. Ini kerana pencegahan awal perlu dimulakan di peringkat masyarakat setempat untuk menggerakkan aktiviti kemasyarakatan yang berupaya menghindari berlakunya masalah dadah, sosial dan jenayah dalam masyarakat. Saya menyeru warga sekolah terutamanya menanamkan kesedaran dalam diri anak-anak didik agar mereka mempunyai kesedaran tentang bahaya dadah sekiranya tidak dibendung sejak dari awal, ibarat melentur buluh biarlah dari rebungnya dan cegah sebelum parah.

Penglibatan seluruh anggota masyarakat dalam membanteras penagihan dadah sangat penting kerana ia adalah elemen utama dalam menjayakan misi negara bebas dadah. Ibu bapa dan keluarga adalah entiti paling kecil dalam masyarakat yang perlu memainkan peranan paling serius dalam memastikan anak-anak mereka tidak terlibat dengan gejala dadah. Masalah dadah boleh menimpa sesiapa sahaja, ia merentas status dan latar belakang serta kepercayaan seseorang. Kejayaan membanteras masalah dadah juga memerlukan pendekatan yang seimbang dan menyeluruh dengan dasar yang relevan berdasarkan amalanamalan terbaik.

Akhir kata, marilah kita bersama-sama berganding bahu menjadikan komuniti kita selamat dari ancaman dadah dan anak-anak kita dapat membesar dan menjadi generasi yang berdaya saing serta berjaya.
Pasang pelita di malam raya, Cantik berhias di halaman rumah; Dadah durjana perosak bangsa, Wajib dibanteras selamatkan ummah.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan program ‘Sayangi Generasiku’ pada petang ini.
Sekian. Wabillahitaufiq wal hidayah, Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

YAB Tuan Amirudin Shari
Dato’ Menteri Besar Selangor

Sayangi Generasiku