GergasiMerah

Lupakan kekalahan di Kota Bharu, Amirudin

Pengurus pasukan Selangor, Amirudin Shari menggesa para pemain Red Giants segera melupakan kekalahan 2-1 kepada Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.

Sebaliknya, beliau yang juga Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor mahu para pemain fokus untuk menghadapi perlawanan ke-10 Liga Super bertemu Perak di Stadium Shah Alam, Sabtu ini (2 Mei).

“Biarpun mengalami kekalahan kedua dalam saingan Liga Super musim ini, kita masih lagi pasukan kedua terbaik di belakang pendahulu, PDRM.

“Saya percaya para pemain boleh melupakan kekalahan kepada Kelantan ini dan kita akan teruskan cabaran bagi perlawanan berikutnya bertemu Perak untuk kembali mencatat kemenangan,” kata Amirudin pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.

Selepas tewas aksi sulung Liga Super musim ini kepada Terengganu 2-0 disusuli dua keputusan seri 1-1 dengan Pahang dan Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor cemerlang mencatat lima kemenangan berturut-turut sebelum rekod itu lebur di tangan Kelantan.

“Sebagaimana diperkatakan jurulatih, Mehmet Durakovic, memang ini satu perlawanan yang sukar, lebih-lebih lagi Selangor sudah 13 tahun tak pernah menang di Kota Bharu.

“Kita boleh bertahan sehingga minit ke-73 sebelum mereka menjaringkan gol kedua. Selain itu, terdapat beberapa kesilapan dan peluang dipersiakan.

“Apa pun pemain sudah menunjukkan komitmen lebih daripada seratus peratus dan hanya satu gol memisahkan kedua-dua pasukan,” jelas Amirudin.

 

Baca: http://faselangor.my/berita/lupakan-kekalahan-di-kota-bharu-amirudin