Media

Peristiwa
19/2/24
Selangor
Negara

Sinar Harian: Kombo RM10 antara tarikan jualan Program Madani zon tengah


KUALA LUMPUR - Jualan Agro dan Mega Madani yang diadakan sempena Program Madani Rakyat Zon Tengah pada 23 hingga 25 Februari di Kompleks Sukan Kuala Selangor, menawarkan barangan keperluan pada harga berpatutan antaranya kombo bakul jualan serendah RM10.

Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Pelaburan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohd Taqiuddin Zakaria berkata, jualan tersebut, turut menawarkan 5,000 kampit beras, 1,000 ekor ayam bulat, lebih 300 kilogram hasil laut seperti udang dan ikan serta lima tan buah-buahan.

"Program jualan ini membolehkan pengeluar memasarkan produk terus kepada pengguna serta meningkatkan pendapatan mereka dan pada masa sama, pengguna juga dapat menikmati penawaran harga yang lebih munasabah antara 10 hingga 30 peratus,” katanya dalam Program Selamat Pagi Malaysia di TV1 pada Sabtu.

Mohd Taqiuddin berkata, program jualan itu, merupakan intervensi kerajaan untuk mengukuhkan rantaian bekalan makanan selain menangani kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata, sebanyak 6,346 Jualan Agro Madani diadakan sejak April tahun lepas dengan nilai jualan kini mencecah RM113 juta dan memanfaatkan hampir 2.89 juta isi rumah.

Sekretariat Program Madani Rakyat dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan, program tersebut memberi tumpuan kepada aktiviti yang berkaitan dengan pertanian dan keterjaminan makanan, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta kesejahteraan rakyat, selain pelbagai perkhidmatan yang disediakan agensi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor khususnya.

Program anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan kerajaan Selangor itu merangkumi Selangor, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Majlis penutupan Program Madani Rakyat Zon Tengah akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 25 Februari, yang akan turut dihadiri kepimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan dan negeri.

Program Madani Rakyat merupakan kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan Madani yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Disember tahun lepas. - Bernama

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.