Kenyataan Media

Penganjuran International Selangor Cyber Games 2015

AlkdcYO8uUNhf6AQS-_1IzrSy9jwY-OPwmybIlqu-0rj

KENYATAAN MEDIA

Pada tahun 2014, julung kalinya Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda & Sukan telah menganjurkan Selangor Cyber Games. Penganjuran SCG 2014 itu telah menarik perhatian ramai pihak kerana buat pertama kalinya Kerajaan Negeri menganjurkan acara e-sukan.

Selangor Cyber Games 2014 telah menghimpunkan 475 orang peserta dengan jumlah hadiah keseluruhan sebanyak RM30, 000 . Acara yang berlangsung pada 13 dan 14 Disember 2014 itu juga dikunjungi seramai hampir 5000 orang ketika acara berlangsung.

Justeru itu pada tahun ini, Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda & Sukan Negeri Selangor melalui Bahagian Pembangunan Generasi Muda, MSN Negeri Selangor akan meneruskan penganjuran acara e-sukan ini dengan skala lebih besar yang diberi nama “International Selangor Cyber Games 2015” pada 9 dan 10hb Mei 2015 di The Strands Mall, Kota Damansara.

Pertandingan kali ini akan menarik penyertaan 8 buah negara iaitu China, Indonesia, Singapura, Korea, Filipina, Brunei, Thailand dan Malaysia. Jumlah hadiah keseluruhan yang ditawarkan juga meningkat menjadi RM217, 000.

Sebanyak 7 acara akan dipertandingkan iaitu International MPGL Dota 2, DOT Arena, Asian Cyber Games DOTA 2, Asian Cyber Games Counter Strike Global Offensive (CSGO), FIFA15 (PS4), F1 Racing Simulator dan juga pertandingan Cosplay.

Peringkat saringan untuk pertandingan ini secara dalam talian telah melibatkan hampir 12, 000 peserta yang merangkumi 2343 pasukan. Keseluruhan peserta yang akan hadir pada hari pertandingan disasarkan seramai 1267 orang dengan jumlah pengunjung seramai 10, 000 orang.

International Selangor Cyber Games 2015 ini dianjurkan dengan kerjasama Mineski Event Team dengan sokongan Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Tourism Selangor, Pusat Khidmat DUN Kota Damansara dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya. Acara ini juga menerima penajaan daripada SteelSeries, Gigabyte, Mineski Infinity, Edollar, Encorp Strand Mall, Dot Arena, Gosugamers, Thundermatch dan Eclub.

Y.B. Tuan Amirudin bin Shari
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor Darul Ehsan.

30hb April 2015
Khamis