Kenyataan Media

PEMBENTANGAN BELANJAWAN NEGERI SELANGOR 2019 OLEH YAB TUAN AMIRUDIN SHARI

Saksikan Pembentangan Belanjawan Negeri Selangor 2019 oleh YAB Dato Menteri Besar Selangor bermula jam 3 petang, Jumaat 23 November 2018.

Ikuti pembentangan secara langsung di laman berikut :

FB Amirudin Shari
https://www.facebook.com/amirudinbinshari/

Youtube TV Selangor

Radio Selangor FM
100.9FM
#Selangor19

PERLANTIKAN DYTM RAJA MUDA SELANGOR SEBAGAI PRESIDEN FAS YANG BARU

4 JULAI 2018 / 20 Syawal 1439H

Kerajaan Negeri Selangor ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah al Haj, Raja Muda Selangor yang sah dilantik sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang baru semalam. Sesungguhnya pelantikan DYTM Tuanku adalah tepat pada ketika FAS memerlukan kepimpinan yang lebih kuat dan mampu melonjak kembali imej pasukan “The Red Giants” sebagai antara pasukan terkuat rantau ini.

Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri Selangor turut akan memberi sokongan padu terhadap apa juga urusan yang melibatkan pengurusan pasukan Selangor FA termasuk membenarkan penggunaan Stadium Shah Alam sebagai gelanggang tuan rumah untuk pasukan Selangor FA bagi perlawanan-perlawanan akan datang.

Di atas perkara tersebut, pengurusan FAS bolehlah mula berbincang dengan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLPP) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkenaan urusan jadual perlawanan. Pasukan Selangor FA juga telah mula berlatih di Padang SUK sebagai persediaan Final Shopee Piala FA 2018 dan akan terus menggunakan padang tersebut sebagai lokasi latihan pasukan.

Pastinya lebih banyak bantuan dan sokongan yang boleh dibincangkan untuk kecemerlangan Selangor pada masa hadapan. Justeru, Kerajaan Negeri Selangor dan seluruh rakyatnya mendoakan agar Allah SWT memberikan kekuatan kepada DYTM Raja Muda Selangor bagi mengemudi FAS ke satu dimensi yang baru. Ayuh bersatulah, berikan sokongan padu pada Final Shopee Piala FA 2018 Selangor menentang Pahang. Kekalkan mentaliti juara dan semoga Piala FA berjaya dibawa pulang ke Negeri Selangor.

YAB Tuan Amirudin Shari
Dato’ Menteri Besar Selangor

UCAPAN TAKZIAH BUAT AHLI KELUARGA YB EDDIEN NG TIEN CHEE ADUN BALAKONG

20 Julai 2018 / 7 Zulkaedah 1439H.

Saya menyatakan rasa dukacita atas pemergian Ahli Dewan Negeri Selangor Kawasan Balakong, Yang Berhormat Eddie Ng Tien Chee. Beliau dikhabarkan terlibat dengan kemalangan maut pada awal pagi semalam. Ng Tien Chee, atau lebih dikenali sebagai Eddie Ng merupakan Ahli Dewan Negeri (ADN) yang berkhidmat dengan penuh dedikasi untuk penduduk Balakong serta komited mewakili suara mereka dalam Dewan Undangan Negeri Selangor sepanjang tempoh beliau berkhidmat sebagai ADN bermula tahun 2013.

Dari awal saya mengenali mendiang, Sdr Eddie tidak lekang dengan senyuman dan sentiasa sedia membantu sesiapa sahaja yang memerlukan pertolongan.

Beliau juga giat aktif dalam Pakatan Harapan Selangor menerusi Unit Tindak Parti Tindakan Demokratik (DAP). Pemergian Saudara Eddie sudah pasti kehilangan yang amat besar buat Pakatan Harapan dan kekosongan yang ditinggalkan beliau sudah pasti turut dirasai oleh penduduk di kawasan Balakong dan rakyat Negeri Selangor Darul Ehsan.

Kehilangan ini merupakan yang kedua dalam tempoh tidak sampai sebulan selepas pemergian ADUN Sungai Kandis, Allahyarham Hj Mat Shuhaimi Shafie pada 2 Julai lalu. Kedua-dua Ahli Dewan Negeri ini telah banyak memberi khidmat kepada rakyat dan negeri.

Saya mengucapkan takziah kepada isteri, anak-anak dan keluarga mendiang Saudara Eddie dan berharap mereka tabah menghadapi ujian ini.

YAB Tuan Amirudin Shari
Dato’ Menteri Besar Selangor

PERLANTIKAN YAB DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR KE-16

19 JUN 2018

Bismillahirahmanirahim

Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana dilantik untuk memegang amanah sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor Darul Ehsan yang ke-16.

Saya menjunjung kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Selangor Darul Ehsan. Kasih dan amanah Tuanku ini akan patik junjung di atas batu jemala patik dengan teguh dan kukuh sesuai dengan sumpah dan ikrar patik dalam menerima jawatan ini.

Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Dato’ Seri Azmin Ali yang memberikan teladan terbaik sepanjang perkhidmatannya sebagai Dato Menteri Besar Selangor selama 3 tahun 4 bulan. Sesungguhnya asas tata kelola dan pentadbiran kreatif beliau akan membantu melonjakkan Negeri Selangor ke aras yang lebih tinggi.

Di sini juga saya mengucapkan terima kasih atas kepada YAB Datuk Seri Wan Azizah, Presiden KEADILAN dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum KEADILAN serta seluruh Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor atas dokongan dan kepercayaan untuk saya mengemudi pentadbiran Negeri Selangor. Tidak dilupakan juga, sokongan utuh rakan-rakan Pakatan Harapan.

Pentadbiran Negeri Selangor akan memastikan kesinambungan pentadbiran yang peduli rakyat, telus dan berintegriti. Saya berazam untuk meneruskan kecemerlangan Negeri Selangor sebagai Negeri Pintar Serantau atau Regional Smart State dengan kerjasama strategik Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan YAB Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dengan penuh rasa rendah diri dan tangan yang terbuka saya ingin mengajak anggota perkhidmatan awam Negeri Selangor, pihak korporat dan swasta, parti-parti politik dan terutama sekali rakyat Negeri Selangor untuk menggembleng tenaga memajukan Negeri Selangor yang tercinta ini.

Amirudin bin Shari
YAB Dato’ Menteri Besar
Negeri Selangor Darul Ehsan

Perlantikan Zainal Abidin Hassan Sebagai Jurulatih Selangor

Kenyataan Media
31 Disember 2015

 

 

PENGUMUMAN ZAINAL ABIDIN HASSAN SEBAGAI JURULATIH DAN PATRICK RONALDINHO WLEH SEBAGAI PEMAIN IMPORT PASUKAN SELANGOR FA BAGI MUSIM 2016

Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) telah memuktamadkan kontrak bagi melantik Zainal Abidin Hassan pada minggu ini sebagai jurulatih skuad bolasepak Selangor yang baru bagi tempoh kontrak dua tahun.

Perlantikan Zainal Abidin Hassan adalah setelah mengambil kira pengalaman dan pencapaian beliau selaku jurulatih sejak hampir 14 tahun yang lalu.

Zainal Abidin Hassan akan memulakan tugas rasmi beliau selaku jurulatih pasukan Selangor esok dan akan mengemudi latihan pasukan bermula 5 Januari 2016. Kehadiran Zainal Abidin Hassan juga diharap dapat meningkatkan prestasi dan keupayaan kem kejurulatihan Selangor bagi menghadapi musim 2016 yang mencabar.

Berhubung kedudukan Mehmet Durakovic, kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan bersama bahawa kontrak beliau ditamatkan lebih awal dengan bayaran penebusan kontrak. Walaupun FAS menawarkan peranan baru kepada Mehmet Durakovic untuk membimbing bakat-bakat muda di Selangor, namun beliau memilih untuk berehat sementara bersama keluarga buat masa ini. FAS akan mencari masa yang sesuai bagi menyelaraskan semula penglibatan Mehmet Durakovic untuk pembangunan masa depan bolasepak Selangor. Kami mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan atas daya usaha dan bakti selama beliau berada di dalam pasukan ini.

Selain itu, beberapa muka baru pembantu jurulatih telah turut dipilih bagi membantu Zainal Abidin Hassan. Mereka terdiri daripada K. Gunalan selaku Penolong Jurulatih,
Azlisham Ibrahim sebagai Jurulatih Penjaga Gol dan Norhudahiroshi Razak sebagai Jurulatih Kecergasan

FAS juga telah menandatangani secara rasmi Patrick “Ronaldinho”@ Wleh selama setahun sebagai pemain import ketiga kami. Patrick yang berusia 25 tahun musim depan adalah bekas pemain PKNS FC bagi musim 2013-2015 turut bersama Sime Darby FC pada tahun 2012. Kemasukan Patrick diharap dapat memperkemaskan lagi serangan pasukan Selangor yang akan turut dibantu penyerang tempatan.

FAS juga dalam proses penilaian akhir untuk mengikat pemain import keempat yang berasal dari Amerika Latin bagi posisi penyerang. Diharap dengan perkembangan terbaru ini, pasukan Selangor dapat kembali fokus untuk latihan pra-musim dan tentunya kami menagih sokongan padu berterusan dari seluruh rakyat Selangor dan pendokong sukan bolasepak serata tanahair

Amirudin Bin Shari
Pengurus
Pasukan Liga Super Selangor

Kenyataan Media: Selangor Fokus Hadapi Saingan Piala Malaysia 2015

Rancak kedengaran desas-desus rombakan pasukan Liga Super Selangor bagi menghadapi musim 2016 yang akan datang. Berita pertukaran jurulatih dan pencarian pemain import serta tempatan mendapat tempat yang lebih utama di media cetak dan media sosial berbanding aksi Piala Malaysia itu sendiri.

Menyedari khabar angin perpindahan adalah sebahagian asam garam bolasepak, pengurusan Liga Super Selangor tidak berniat untuk memberi sebarang respon kerana fokus menghadapi saingan Piala Malaysia 2015 adalah lebih utama berbanding perkara yang lain.

Media terutamanya, diminta lebih berhati-hati dan sensitif dalam memainkan isu pertukaran dan perpindahan jurulatih serta pemain. Pengurusan Liga Super Selangor berharap agar semua pihak menghormati kedudukan Mehmet Durakovic selaku jurulatih pasukan. Untuk rekod, Mehmet masih mempunyai baki kontrak selama satu tahun bersama Persatuan Bolasepak Selangor.

Sebarang spekulasi yang membabitkan pertukaran jurulatih dan pemain boleh merencatkan persiapan mental pasukan Liga Super Selangor dalam menghadapi baki perlawanan Kumpulan C.

Justeru, Mehmet dan pasukan kendaliannya perlu diberi ruang dan peluang untuk membuktikan kebolehan mereka untuk mara ke peringkat yang seterusnya. Sokongan dari para penyokong setia Selangor amatlah diperlukan. Semoga kita dapat mengakhiri musim 2015 dengan kejayaan yang gemilang.

Amirudin Shari
Pengurus Pasukan Liga Super Selangor

‪#‎MerahKuningLambangKebanggaan‬
‪#‎RedGiants‬
‪#‎SelangorPlus

Kenyataan Media: Kejohanan Sukan Selangor (SUKSES) 2015

Kejohanan Sukan Selangor (SUKSES) merupakan acara sukan dwi-tahunan yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS). Kejohanan Sukan Selangor (SUKSES) yang pertama telah diadakan pada tahun 1995 dan pada tahun 2015 ini telah memasuki edisi ke-11 dengan daerah Petaling tampil selaku juara bertahan apabila muncul juara keseluruhan pada edisi 2014. Selain pihak MSNS, Persatuan-persatuan Sukan Negeri turut akan membantu dari segi teknikal dan pertandingan kejohanan. Manakala sukan yang tidak mempunyai Persatuan Sukan Negeri ataupun sukan-sukan khas pihak MSNS akan menganjurkan sepenuhnya.

Objektif SUKSES ini diadakan adalah untuk menggalakkan usaha pembangunan sukan peringkat akar umbi di setiap daerah di Negeri Selangor dengan menyediakan kejohanan tahunan sebagai kayu pengukur kepada atlet yang telah menjalani latihan sepanjang tahun di bawah program pembangunan sukan disetiap daerah. Secara tidak langsung dapat melahirkan lebih ramai atlet yang berpotensi untuk diketengahkan diperingkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Sehubungan dengan itu, SUKSES dengan secara tidak langsungnya memupuk semangat kesukanan dan gaya hidup sihat dalam kalangan belia.

Sembilan daerah yang mengambil bahagian untuk SUKSES 2015 serta 13 acara sukan yang akan dipertandingkan:

Senarai Kontinjen

1. Petaling
2. Klang
3. Gombak
4. Sabak Bernam
5. Kuala Selangor
6. Kuala Langat
7. Hulu Selangor
8. Hulu Langat
9. Sepang

13 Jenis Sukan yang Dipertandingkan

1. Badminton
2. Bola Sepak
3. Bola Tampar
4. Boling Padang
5. Karate-do
6. Lumba Basikal
7. Memanah
8. Olahraga
9. Pencak Silat
10. Petanque
11. Sepak Takraw
12. Taekwondo
13. Tenpin Bowling

 

Acara olahraga merupakan sukan yang menawarkan jumlah pingat emas terbesar iaitu sebanyak 37 pingat. Keseluruhan pingat yang ditawarkan adalah sebanyak 602 pingat.

Pihak Berkuasa Tempatan ( PBT ) turut akan terlibat sebagai penganjur di peringkat daerah bagi venue-venue yang telah ditetapkan :

Untitled 2

Manakala jumlah keseluruhan bagi pegawai adalah 468 manakala atlit yang terlibat adalah 2709 menjadikan jumlah keseluruhan pegawai dan atlit seramai 3177 orang.

Untitled

Secara konklusinya, Kejohanan SUKSES yang bermula dari 3 hingga 20 September dianjurkan dengan tujuan dan harapan ke arah membentuk kecemerlangan dan kegemilangan sukan di Negeri Selangor khususnya dan Negara amnya.

“SELANGOR PENERAJU KECEMERLANGAN SUKAN”

Kenyataan Media: Hadiah Sastera SelangorKini 2015

IMG_0172

 

 

Jawatankuasa Tetap Kebudayaan Negeri Selangor dengan kerjasama pengurusan akhbar SelangorKini telah mengambil inisiatif untuk mewujudkan lembaran seni dan budaya di dalam akhbar tersebut sejak minggu pertama bulan Disember 2014. Inisiatif ini direncanakan bertujuan untuk menawarkan tulisan bernilai sastera dan mempunyai kandungan pemikiran bermutu kepada rakyat Selangor saban minggu.

Setelah hampir lapan bulan ruangan seni dan budaya tersebut diwujudkan, pelbagai respons positif diterima baik daripada pembaca mahupun kelompok penulis. Ruangan tersebut telah membuka peluang kepada penulis-penulis muda dan juga yang telah mapan untuk menghantar karya mereka di dalam bentuk cerpen, puisi dan juga esei.

Sehubungan dengan itu, selari dengan perancangan awal kewujudan ruangan seni dan budaya itu, saya mengumumkan bahawa Jawatankuasa Tetap Kebudayaan Negeri Selangor 2015 dengan kerjasama akhbar SelangorKini akan mengadakan Hadiah Sastera SelangorKini 2015.

Hadiah Sastera SelangorKini 2015 akan memberi penghargaan kepada 5 tulisan terbaik dalam tiga kategori iaitu cerpen, puisi dan esei yang telah terbit di dalam SelangorKini. Seorang pemenang untuk setiap kategori akan menerima hadiah berjumlah RM5000 manakala 4 karya yang lain akan menerima hadiah saguhati RM1000.

Karya-karya yang terbit dari bulan Disember 2014 hingga bulan Oktober 2015 layak untuk dinilai bagi Hadiah Sastera SelangorKini 2015. Pihak Jawatankuasa Tetap Kebudayaan Negeri Selangor akan memilih panel hakim yang bebas dan mempunyai kepakaran di dalam bidang masing-masing. Senarai panel hakim untuk setiap kategori akan diumumkan di dalam masa terdekat di dalam akhbar SelangorKini.

Y.B. Tuan Amirudin bin Shari
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor Darul Ehsan.

Ini Bukan Semboyan Tanah Air

Berikut adalah beberapa sebab yang saya serahkan untuk penilaian penyokong bolasepak Malaysia khususnya Selangor Darul Ehsan berikutan keputusan saya tidak melepaskan pemain Selangor mewakili Malaysia XI menentang Liverpool FC;

1. Panggilan FAM bukan semboyan bola sepak tanah air yang boleh mengembalikan kegemilangan dan maruah bola sepak Malaysia. Malah kami telah menghantar beberapa pemain Selangor menentang Totenham Hotspurs dan mendapati tiada sebarang manfaat kepada pembangunan bola sepak Malaysia mengambil kira prestasi skuad Harimau Malaya ketika kelayakan Piala Dunia, Piala Asia dan juga Sukan Sea.

2. Perlawanan ini adalah kelolaan syarikat penganjur bukannya FAM dimana sejumlah wang dibayar pada Liverpool FC. Syarikat penganjur dan FAM akan menerima keuntungan dari tiket dan hak. Mengapa kita perlu dahulukan kepentingan ‘syarikat penganjur’ daripada kepentingan pembangunan bola sepak negara?

3. Perlawanan ini tiada kena mengena dengan ranking FIFA. Kami akan menghantar pemain kita mewakili negara sekiranya ianya penting dan demi menjaga maruah bola sepak negara.

4. Kami mahu fokus kepada persiapan Liga Super dan tidak mahu ‘jeopardize’ sebarang persiapan serta memastikan semua pemain fokus dan cergas bagi menghasilkan permainan berkualiti.

5. Kita mahu memperbetulkan persepsi dikalangan masyarakat. Bola sepak bukan ‘alat dagangan’ yang boleh dibeli dengan wang ringgit. Pemain bukan taksub dengan wang ringgit, mereka bermain kerana maruah.

Amirudin Shari
Pengurus Pasukan Selangor