Berita

Selamat Hari Pahlawan

Keamanan dan kesejahteraan yang kita kecapi hari ini adalah hasil pengorbanan para perajurit dan pahlawan tanah air. Jasa dan pengorbanan mereka yang tiada galang ganti dalam mempertahankan kedaulatan pertiwi ini harus kita kenang dan sanjung.

Generasi kini seharusnya mengambil iktibar dan teladan dari kisah perjuangan para perajurit dan veteran Angkatan Tentera Malaysia yang sentiasa bermati-matian bagi mempertahankan maruah Malaysia. Kenikmatan yang kita rasai kini tidak seharusnya dipandang remeh kerana ia adalah bukti hasil perjuangan yang tidak kenal erti penat lelah.

Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Pahlawan kepada semua perajurit tanah air dan para veteran yang telah banyak menabur jasa dan khidmat. Sesungguhnya khidmat bakti kalian semua dalam menjaga kedaulatan negara amatlah besar nilainya.

YAB Tuan Amirudin bin Shari
Dato’ Menteri Besar Selangor

Takziah YB Shaharuddin Badaruddin

Alhamdulillah Saya telah menerima berita yang amat mendukacitakan bahawa YB Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan Dan Pembangunan Modal Insan telah meninggal dunia sebentar tadi jam 6.28 petang tadi Hospital Putrajaya. Allahyarham juga merupakan Ahli Dewan Negeri Selangor Kawasan Seri Setia.

Allahyarham merupakan seorang ahli akademik yang terkemuka dan telah banyak berjasa kepada bidang pendidikan. Allahyarham telah menabur bakti selama 30 tahun sebagai pendidik di Universiti Teknologi MARA dan turut merupakan Mantan Timbalan Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL). Jasa dan pengorbanan beliau sebagai ahli akademik dalam mendidik anak bangsa serta merencana polisi pendidikan adalah tidak ternilai.

Allahyarham juga merupakan sahabat rapat saya dan rakan seperjuangan dalam politik. Genap sebulan setelah pemergian Allahyarham Hj. Shuhaimi Shafiei pada 2 Julai lalu, kini saya menerima ujian kehilangan seorang lagi sahabat seperjuangan. Sebagai Naib Presiden Parti KEADILAN, Allahyarham banyak berkongsi pendapat hasil pengalaman luas sebagai aktivis semasa di dalam pergerakan ABIM. Dengan khidmat bakti dan pengorbanan yang telah disumbangkan Allahyarham semasa hayat beliau, pemergian ini adalah satu kehilangan besar buat rakyat dan Kerajaan Negeri Selangor. Semoga Allah swt memberi ganjaran yang baik atas segala jasa dan budi Allahyarham.

Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham YB Prof. Shaharuddin Badaruddin atas pemergian ini. Saya mendoakan semoga ahli keluarga Allahyarham diberi kekuatan dalam mengharungi ujian yang amat berat ini. Semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan golongan yang soleh, dicucuri rahmat Allah swt serta dikurniakan husnul khatimah.

Al Fatihah

YAB Tuan Amirudin Shari
Dato’ Menteri Besar Selangor

Perutusan Eidul Adha 1440 H

EIDULADHA MENGINSAFI PENGORBANAN, MENGUKUHKAN WATAN, MENERUSKAN KECEMERLANGAN.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillah hil Hamd’.

Pertama-tamanya, marilah kita dengan penuh rasa tawadhu’ menggemakan kalimah takbir dan tahmid bagi menyambut hari kebesaran umat Islam pada Hari Raya Eidul Adha yang mulia ini.

Alhamdulilah, Allah SWT masih memberikan kesempatan untuk kita merayakan Eidul Adha yang penuh barakah pada tahun ini. Eidul Adha merupakan detik untuk umat Islam menginsafi nilai pengorbanan yang telah ditunjukkan oleh nabi-nabi dan rasul-rasul terdahulu terutama Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s.

Ibadah korban yang dilaksanakan merupakan lambang semangat pengorbanan yang perlu ada pada setiap umat Islam, yang akan memperoleh keredhaan Allah SWT di dunia dan akhirat.

Kehadiran Eidul Adha di kala Malaysia menyambut Hari Kebangsaan pada tahun ini menuntut kita untuk sama-sama menghayati erti sebenar pengorbanan kepada negara. Eidul Adha membawa makna yang besar dalam kehidupan kita sebagai seorang Muslim di Malaysia. Keamanan dan keharmonian yang kita kecapi kini adalah hasil perjuangan dan pengorbanan generasi terdahulu. Sayugia diinsafi, kita seharusnya memainkan peranan penting dalam memastikan pengorbanan mereka tidak sia-sia dan mengangkat martabat agama Islam sebagai Agama Persekutuan agar dijunjung tinggi.

Sebagai negeri contoh yang menjadi ikutan di Malaysia, Selangor sentiasa meletakkan agenda memartabatkan institusi agama Islam sebagai matlamat utama pentadbiran. Matlamat ini adalah jelas, bagi memastikan agama Islam terus makmur berkembang dengan syumul di samping menghormati adat dan ikutan agama lain. Bagi tahun 2018, Kerajaan Negeri Selangor telah mengagihkan sejumlah 1,200 ekor lembu di seluruh negeri Selangor bagi tujuan korban sempena Eiduladha. Ini adalah bertepatan dengan konsep Maju Bersama, di mana hasil negeri diagihkan untuk dinikmati oleh rakyat.

Di kesempatan ini, saya mewakili seluruh saf kepimpinan Kerajaan Negeri Selangor ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Eidul Adha kepada semua umat Islam di seluruh dunia khususnya Muslimin dan Muslimat di negeri Selangor Darul Ehsan.

YAB DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
TUAN AMIRUDIN SHARI

Merdeka

AlhamdulillahAlhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan keizinanNya kita dapat meraikan sambutan Hari Kebangsaan ke 61 pada kali ini. Tarikh keramat 31 Ogos membawa kita merenungi kembali makna kemerdekaan. Kira-kira pada detik ini 61 tahun yang lalu, bendera Union Jack telah diturunkan buat kali terakhir di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad menandakan berakhirnya pemerintahan British di tanah air kita. Detik ini adalah permulaan buat sebuah negara yang kini mempunyai penduduk sejumlah 32 juta orang yang berbilang kaum, agama, etnik dan kepercayaan.

Apakah makna sebenar Hari Kebangsaan bagi kita rakyat Malaysia khususnya penduduk Selangor, negeri yang berbilang kaum dan budaya, pusat pembangunan ekonomi Malaysia? Hari Kebangsaan adalah hari yang signifikan bukan sahaja diisi dengan perarakan, percikan bunga api dan juga kibaran bendera sahaja namun ia adalah simbol kebebasan dan pengorbanan yang harus kita insafi.

Perjalanan 61 tahun ini bukanlah tanpa darah, keringat dan air mata. Perjuangan para perajurit kita menuntut dan mempertahankan keamanan serta kedaulatan negara adalah tunjang makna Hari Kebangsaan. Kebebasan yang dikecapi ini tentunya memberi makna yang sangat besar buat kita semua. Kebebasan yang harus kita pertahankan dengan sepenuh jiwa raga demi masa depan anak cucu bangsa Malaysia.

Tema ‘Sayangi Malaysiaku’ yang merupakan tema sambutan Hari Kebangsaan kali ke 61 tahun ini adalah manifestasi semangat rakyat Malaysia pasca 9 Mei 2018. Kebebasan yang dinikmati selama 61 tahun ditambah dengan kejayaan menumbangkan rejim kleptokrat adalah bukti kesepaduan rakyat Malaysia yang cintakan negara dan bangsa. Alhamdulillah, peralihan kuasa yang berlaku dengan aman dan sejahtera adalah asas prinsip demokrasi berparlimen serta Raja Berpelembagaan yang diamalkan Malaysia. Kini, marilah sama-sama kita mengembleng tenaga merancakkan pembangunan ekonomi negara serta memfokuskan kepada agenda pentadbiran untuk kembali membawa nama Malaysia ke persada dunia.

Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke 61. Sayangi Malaysiaku !

YAB DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
TUAN AMIRUDIN SHARI

Perutusan Maal Hijrah 1440 H

Peristiwa Hijrah Rasulullah SAW dari Kota Mekah ke Kota Madinah adalah antara detik terpenting dalam sejarah peradaban Islam. Peristiwa Hijrah ini menuntut kita sebagai umat Islam untuk menghayati dan menginsafi pengorbanan Rasulullah SAW meninggalkan keluarga, sahabat serta tempat lahir Baginda SAW untuk pergi ke suatu tempat atas niat untuk menyebarkan syiar Islam.

Menitip era Malaysia Baru ini, marilah sama-sama kita eratkan ukhuwah dan mengukuhkan tekad untuk membangunkan negara serta memakmurkan negeri. Hijrah itu menuntut kita berkorban dan berusaha untuk berubah ke arah yang lebih baik.

Selamat Menyambut Tahun Baru 1440 Hijriyyah. Semoga tahun baru ini disambut dengan penuh keazaman bagi memperbaharui tekad demi kebaikan. Salam Maal Hijrah.

YAB DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
TUAN AMIRUDIN SHARI

Hari Keputeraan Agong

Mewakili Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat Negeri Selangor Merafak Sembah dan Menjunjung Kasih Setinggi-Tinggi Ucapan Tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong XV sempena Ulangtahun Hari

Keputeraan Rasmi Baginda. Semoga Allah SWT Merahmati Sultan Muhammad V. Daulat Tuanku.

YAB DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
TUAN AMIRUDIN SHARI

Perutusan Hari Malaysia 2018

Kepada seluruh rakyat Malaysia dari Perlis hinggalah ke Sabah saya ucapkan Selamat Menyambut Hari Malaysia. Tanggal 16hb September setiap tahun kita meraikan pembentukan Malaysia yang dimetrai pada tahun 1963 itu. Bersempena tarikh yang amat bermakna ini, marilah kita bersama-sama menghayati semangat “Bersekutu Bertambah Mutu”. Ternyata Persekutuan ini bukanlah semata-mata gabungan negeri-negeri bahkan juga ikatan kukuh rakyat negara ini demi untuk Maju Bersama di era Malaysia Baharu.

YAB DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
TUAN AMIRUDIN SHARI

Asian Para Games 2018

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Maju Jaya kepada semua atlet Malaysia di Asian Para Games yang bermula semalam. Semoga membawa kemenangan dan mengharumkan nama Malaysia di persada sukan Para dunia. All the best !!!

#AsianParaGames2018

YAB DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
TUAN AMIRUDIN SHARI

Perutusan Deepavali 2018

Vanakkam, En Iniya Deepavali Nal Vaalthukkal.
.
Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Deepavali kepada seluruh rakyat Selangor yang menyambut perayaan ini, khususnya buat masyarakat yang beragama Hindu dan Sikh. Semestinya, sambutan perayaan Deepavali atau ‘Diwali’ begitu bermakna buat semua rakyat Malaysia kerana ia dianyam kukuh tema pengakhiran kegelapan dan kemenangan cahaya serta terbitnya sinar baharu.

Justeru ia mengingatkan saya kepada judul koleksi surat-surat Raden Adjeng Kartini yang berjudul Habislah Gelap Terbitlah Terang. Difahamkan judul itu dipilih kerana diilhami ayat al-Quran yang bermaksud “Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya.”

Ternyata agama mendorong kita untuk melakukan kebaikan. Kebaikan mahukan kita meraikan cahaya dan meninggalkan kegelapan. Begitu juga perayaan seperti ini mengingatkan kita kepada kekuatan Negeri Selangor iaitu suatu masyarakat majmuk dan rencam adat budayanya.

Oleh kerana itu Selangor sentiasa dijuluki negeri emas Malaysia, “Golden State of Malaysia”, bukan sahaja kerana kemajuan fizikalnya akan tetapi juga sebagai negeri aman tenteram tempat rakyatnya berteduh mencari rezeki.

Deepavali juga membawa pengertian kejayaan ilmu pengetahuan serta kesedaran yang mengatasi keburukan dan keangkuhan. Kisah yang sering kali diceritakan mengenai sejarah Deepavali melibatkan peristiwa epik Ramayana, di mana Rama berusaha menyelamatkan isteri kesayangannya Sita dan kembali untuk memerintah kerajaan mereka dengan prinsip ‘adil’. Dan waktu mereka kembali, seluruh bandar Ayodhya dinyalakan dengan cahaya yang menjadikan Deepavali dikenali sebagai ‘Festival of Lights.

Pun demikian tidak usah dilupakan kisah kesetiaan Laxamana dan Hanuman yang setia bersama Rama melawan Ravana. Kisah mereka ini merupakan pengajaran kepada kita untuk tetap setiap di landasan perjuangan demi melaksanakan perubahan yang menyeluruh. Sekian lama kita berjuang janganlah pula kilauan kekuasaan mengelabui mata kita. Mandat yang diperolehi pada pilihanraya umum itu merupakan suatu tanggungjawab besar kepada pentadbiran Negeri Selangor.

Mandat yang diperolehi pada pilihanraya umum itu merupakan suatu tanggungjawab besar kepada pentadbiran Negeri Selangor. Makanya saya berikrar bahawasanya Kerajaan Negeri Selangor akan sentiasa berusaha memastikan kebajikan serta kemaslahatan seluruh masyarakat termasuklah masyarakat India dijamin dan dibela. . InsyaAllah dengan bertunjangkan cita-cita Maju Bersama, Kerajaan Negeri Selangor akan menggarap program-program pemerkasaan masyarakat India agar mereka dapat bersama-sama menikmati kemakmuran negeri ini. . Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada seluruh masyarakat Hindu dan Sikh. Semoga perayaan kali ini dalam era Malaysia Baharu dapat kita hayati dengan penuh kebahagiaan bersama keluarga dan rakan taulan kita semua.

YAB DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
TUAN AMIRUDIN SHARI

Selamat Berkongres

Selamat Berkongres saya ucapkan kepada semua anggota Parti KEADILAN Rakyat sempena Kongres Nasional yang bermula pada pagi ini.

Semoga kita akan bersama-sama membingkai muafakat bagi melaksanakan agenda Reformasi demi rakyat Malaysia ‘Memaknai Demokrasi, Menterjemah Reformasi’.

YAB DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
TUAN AMIRUDIN SHARI