Hari Keputeraan Agong

Mewakili Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat Negeri Selangor Merafak Sembah dan Menjunjung Kasih Setinggi-Tinggi Ucapan Tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong XV sempena Ulangtahun Hari

Keputeraan Rasmi Baginda. Semoga Allah SWT Merahmati Sultan Muhammad V. Daulat Tuanku.

YAB DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
TUAN AMIRUDIN SHARI

Perutusan Hari Malaysia 2018

Kepada seluruh rakyat Malaysia dari Perlis hinggalah ke Sabah saya ucapkan Selamat Menyambut Hari Malaysia. Tanggal 16hb September setiap tahun kita meraikan pembentukan Malaysia yang dimetrai pada tahun 1963 itu. Bersempena tarikh yang amat bermakna ini, marilah kita bersama-sama menghayati semangat “Bersekutu Bertambah Mutu”. Ternyata Persekutuan ini bukanlah semata-mata gabungan negeri-negeri bahkan juga ikatan kukuh rakyat negara ini demi untuk Maju Bersama di era Malaysia Baharu.

YAB DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
TUAN AMIRUDIN SHARI

Asian Para Games 2018

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Maju Jaya kepada semua atlet Malaysia di Asian Para Games yang bermula semalam. Semoga membawa kemenangan dan mengharumkan nama Malaysia di persada sukan Para dunia. All the best !!!

#AsianParaGames2018

YAB DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
TUAN AMIRUDIN SHARI

Perutusan Deepavali 2018

Vanakkam, En Iniya Deepavali Nal Vaalthukkal.
.
Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Deepavali kepada seluruh rakyat Selangor yang menyambut perayaan ini, khususnya buat masyarakat yang beragama Hindu dan Sikh. Semestinya, sambutan perayaan Deepavali atau ‘Diwali’ begitu bermakna buat semua rakyat Malaysia kerana ia dianyam kukuh tema pengakhiran kegelapan dan kemenangan cahaya serta terbitnya sinar baharu.

Justeru ia mengingatkan saya kepada judul koleksi surat-surat Raden Adjeng Kartini yang berjudul Habislah Gelap Terbitlah Terang. Difahamkan judul itu dipilih kerana diilhami ayat al-Quran yang bermaksud “Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya.”

Ternyata agama mendorong kita untuk melakukan kebaikan. Kebaikan mahukan kita meraikan cahaya dan meninggalkan kegelapan. Begitu juga perayaan seperti ini mengingatkan kita kepada kekuatan Negeri Selangor iaitu suatu masyarakat majmuk dan rencam adat budayanya.

Oleh kerana itu Selangor sentiasa dijuluki negeri emas Malaysia, “Golden State of Malaysia”, bukan sahaja kerana kemajuan fizikalnya akan tetapi juga sebagai negeri aman tenteram tempat rakyatnya berteduh mencari rezeki.

Deepavali juga membawa pengertian kejayaan ilmu pengetahuan serta kesedaran yang mengatasi keburukan dan keangkuhan. Kisah yang sering kali diceritakan mengenai sejarah Deepavali melibatkan peristiwa epik Ramayana, di mana Rama berusaha menyelamatkan isteri kesayangannya Sita dan kembali untuk memerintah kerajaan mereka dengan prinsip ‘adil’. Dan waktu mereka kembali, seluruh bandar Ayodhya dinyalakan dengan cahaya yang menjadikan Deepavali dikenali sebagai ‘Festival of Lights.

Pun demikian tidak usah dilupakan kisah kesetiaan Laxamana dan Hanuman yang setia bersama Rama melawan Ravana. Kisah mereka ini merupakan pengajaran kepada kita untuk tetap setiap di landasan perjuangan demi melaksanakan perubahan yang menyeluruh. Sekian lama kita berjuang janganlah pula kilauan kekuasaan mengelabui mata kita. Mandat yang diperolehi pada pilihanraya umum itu merupakan suatu tanggungjawab besar kepada pentadbiran Negeri Selangor.

Mandat yang diperolehi pada pilihanraya umum itu merupakan suatu tanggungjawab besar kepada pentadbiran Negeri Selangor. Makanya saya berikrar bahawasanya Kerajaan Negeri Selangor akan sentiasa berusaha memastikan kebajikan serta kemaslahatan seluruh masyarakat termasuklah masyarakat India dijamin dan dibela. . InsyaAllah dengan bertunjangkan cita-cita Maju Bersama, Kerajaan Negeri Selangor akan menggarap program-program pemerkasaan masyarakat India agar mereka dapat bersama-sama menikmati kemakmuran negeri ini. . Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada seluruh masyarakat Hindu dan Sikh. Semoga perayaan kali ini dalam era Malaysia Baharu dapat kita hayati dengan penuh kebahagiaan bersama keluarga dan rakan taulan kita semua.

YAB DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
TUAN AMIRUDIN SHARI

Selamat Berkongres

Selamat Berkongres saya ucapkan kepada semua anggota Parti KEADILAN Rakyat sempena Kongres Nasional yang bermula pada pagi ini.

Semoga kita akan bersama-sama membingkai muafakat bagi melaksanakan agenda Reformasi demi rakyat Malaysia ‘Memaknai Demokrasi, Menterjemah Reformasi’.

YAB DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
TUAN AMIRUDIN SHARI

Terima Kasih Anggota KEADILAN

Alhamdulillah dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah SWT. Terima kasih saya ucapkan kepada semua anggota KEADILAN yang telah memberi sokongan dan dukungan.

Marilah kita bersama membingkai muafakat yang utuh bagi melaksanakan agenda Reformasi demi negara Malaysia yang tercinta.

YAB DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
TUAN AMIRUDIN SHARI

Perutusan Maulidur Rasul 1440 H

Rasulullah S.A.W. adalah junjungan besar pilihan Allah SWT sebagai Nabi dan Rasul yang terakhir. Nabi Muhammad SAW telah membawa ajaran Islam yang menyinari bumi ini. Ajarannya telah sempurna seperti dalam firman Allah SWT:
“Pada hari ini telah Aku sempurnakan agamamu untukmu, dan telah Aku cukupkan nikmatku bagimu, dan telah Aku redhai Islam sebagai agamamu.”
(Surah al-Ma’idah: 3).
.
Marilah bersama-sama kita memperingati jasa dan pengorbanan Rasul Junjungan Muhammad SAW dengan memperbanyakkan selawat ke atas Baginda SAW dan mengamalkan Sunnah Rasulullah SAW. Semoga cinta dan kasih kita kepada ajaran dan peribadi Baginda SAW akan terus subur di dalam hati dan nurani kita semua.

Salam Maulidur Rasul 1440 Hijriah

YAB DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
TUAN AMIRUDIN SHARI

Perutusan Ramadhan 1438H

Segala puji bagi Allah SWT dengan segala rahmat dan kasih sayangNya yang menghadirkan kepada kita kesempatan kali ini untuk bertemu lagi dengan Ramadhan, bulan yang penuh dengan barakah dan maghfirah, bulan yang memberikan seribu makna untuk hambaNya.

Imam Al-Ghazali berpesan kepada kita di dalam Kitab Asrar Saum (rahsia-rahsia puasa) dalam Ihya’ Ulumuddin bahawa tujuan utama puasa tidak lain tidak bukan adalah untuk membersihkan hati dan memupuk kembali tujuan hidup hanya kepada Allah.

Al-Ghazali juga menghuraikan bagaimana puasa ini adalah ibadah yang berbeza daripada ibadah lain. Beliau memetik sebuah hadis qudsi yang menyebut “Tiap-tiap perbuatan baik, pahalanya sepuluh kali, sampai kepada tujuh ratus kali, kecuali puasa. Kerana puasa itu adalah untukKu dan Aku akan membalasnya.”

Marilah sama-sama kita mengambil kesempatan yang agung ini untuk meningkatkan kefahaman dan amalan kita dari segenap aspek. Semoga Ramadhan kali ini dapat menjadi medan yang terbaik untuk memulihkan kerohanian kita dan menjadikan kita manusia yang berjiwa besar dan bersikap mulia.

Akhir kalam, saya mewakili keluarga besar Parti Keadilan Rakyat, Kerajaan Negeri, Pusat Khidmat Parlimen & DUN, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Ahli-ahli Majlis, Pusat Wanita Berdaya (PWB) dan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) mengalu alukan semua untuk hadir bersama memeriahkan program-program ihya ramadhan yang diaturkan sepanjang bulan barakah ini. Semoga kita peroleh kerahmatan, keampunan dan pembebasan dari neraka.

Ramadhan Kareem!

YB Amirudin Bin Shari
EXCO Kerajaan Negeri Selangor / ADN Batu Caves

Perlantikan Zainal Abidin Hassan Sebagai Jurulatih Selangor

Kenyataan Media
31 Disember 2015

 

 

PENGUMUMAN ZAINAL ABIDIN HASSAN SEBAGAI JURULATIH DAN PATRICK RONALDINHO WLEH SEBAGAI PEMAIN IMPORT PASUKAN SELANGOR FA BAGI MUSIM 2016

Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) telah memuktamadkan kontrak bagi melantik Zainal Abidin Hassan pada minggu ini sebagai jurulatih skuad bolasepak Selangor yang baru bagi tempoh kontrak dua tahun.

Perlantikan Zainal Abidin Hassan adalah setelah mengambil kira pengalaman dan pencapaian beliau selaku jurulatih sejak hampir 14 tahun yang lalu.

Zainal Abidin Hassan akan memulakan tugas rasmi beliau selaku jurulatih pasukan Selangor esok dan akan mengemudi latihan pasukan bermula 5 Januari 2016. Kehadiran Zainal Abidin Hassan juga diharap dapat meningkatkan prestasi dan keupayaan kem kejurulatihan Selangor bagi menghadapi musim 2016 yang mencabar.

Berhubung kedudukan Mehmet Durakovic, kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan bersama bahawa kontrak beliau ditamatkan lebih awal dengan bayaran penebusan kontrak. Walaupun FAS menawarkan peranan baru kepada Mehmet Durakovic untuk membimbing bakat-bakat muda di Selangor, namun beliau memilih untuk berehat sementara bersama keluarga buat masa ini. FAS akan mencari masa yang sesuai bagi menyelaraskan semula penglibatan Mehmet Durakovic untuk pembangunan masa depan bolasepak Selangor. Kami mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan atas daya usaha dan bakti selama beliau berada di dalam pasukan ini.

Selain itu, beberapa muka baru pembantu jurulatih telah turut dipilih bagi membantu Zainal Abidin Hassan. Mereka terdiri daripada K. Gunalan selaku Penolong Jurulatih,
Azlisham Ibrahim sebagai Jurulatih Penjaga Gol dan Norhudahiroshi Razak sebagai Jurulatih Kecergasan

FAS juga telah menandatangani secara rasmi Patrick “Ronaldinho”@ Wleh selama setahun sebagai pemain import ketiga kami. Patrick yang berusia 25 tahun musim depan adalah bekas pemain PKNS FC bagi musim 2013-2015 turut bersama Sime Darby FC pada tahun 2012. Kemasukan Patrick diharap dapat memperkemaskan lagi serangan pasukan Selangor yang akan turut dibantu penyerang tempatan.

FAS juga dalam proses penilaian akhir untuk mengikat pemain import keempat yang berasal dari Amerika Latin bagi posisi penyerang. Diharap dengan perkembangan terbaru ini, pasukan Selangor dapat kembali fokus untuk latihan pra-musim dan tentunya kami menagih sokongan padu berterusan dari seluruh rakyat Selangor dan pendokong sukan bolasepak serata tanahair

Amirudin Bin Shari
Pengurus
Pasukan Liga Super Selangor

Exco Le Tour Selangor 2015

Exco Le Tour Selangor 2015 adalah program jelajah ke 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor oleh YB Amirudin bin Shari, Exco Pembangunan Generasi Muda & Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor.

Program ini akan dijayakan oleh jawatankuasa-jawatankuasa tetap di bawah YB Exco dengan kerjasama PBT-PBT di seluruh negeri Selangor.

Pelbagai program sukan, kebudayaan dan keusahawanan telah dirancang untuk rakyat Selangor mengetahui dengan lebih dekat dasar Kerajaan Negeri menerusi portfolio-portfolio berkenaan.

‪#‎Selangor‬
‪#‎GenS‬
‪#‎SelangorPlus‬
‪#‎KotaSeni‬