Mabuk Diskusi & Diskusi Mabuk

Apa yang menarik dan menambat hati aku ke Jalan Telawi, selain suasananya yang senantiasa hidup, disamping aneka pilihan makanan, pakaian, tempat berhibur (semuanya agak mahal) , adalah kawan-kawan yang mabuk diskusi.

Mabuk atau lebih tepatnya juga khayal, berbincang yang dibawah langit juga sampai ke atas sana. Jumaat lalu ada diskusi anjuran IKD, membincang Agenda Ekonomi Baru, yang menjemput ahli akademik dan politik. Agak menarik dan mencerahkan (tetapinya ianya terlalu formal dan mengkakukan), sesudah tamat acara malam itu kira-kira jam 12 sampai jam 5.00 pagi kami berkumpul di Telawi. Ada diskusi lanjut yang lebih lebar dan dalam, yang paling penting santai, pada aku, ianya lebih mencerahkan dan mendebarkan. Ada juga yang tidak faham apa nikmatnya diskusi ini sehingga kami lupa hendak pulang rumah. Hinggalah mereka menuduh kami di awang-awangan, tidak tahu tidur malam (maka tidak produktif), tiada hala tuju dan sebagainya. Nampaknya hanya orang berfikir sahaja tahu nikmat menemukan sesuatu setelah diuji dan ditekan oleh orang lain. Berfikir yang berseorangan boleh menjerumuskan kita pada angan-angan. maka perlunya rakan tanding, lalu jadilah diskusi.

Tak pula rasanya kami ini istimewa, sebabnya masih banyak ilmu harus dikaji dan cari, cumanya kalau salah beritahu mana salahnya, apa yang betul, mana yang silap, bukan terus label dan bingkaikan manusia. Sabtu nanti kami teruskan pesta mabuk diskusi kami dengan diskusi lagu mabuk & dewi, sila lihat bawah;

Apresiasi ‘Mabuk’ dan ‘Dewi’

Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT) dengan hormatnya mengundang anda ke acara diskusi warong seperti maklumat berikut:

Sesi 1
Kritik Seni: Apresiasi lagu “Mabuk” (Spider) dan “Dewi” (Dewa)

Tarikh: 23 Jun 2007 (Sabtu)
Jam: 8 malam
Tempat: Restoran tom yam Bangsar Seafood, Bangsar Utama, KL (depan pejabat Malaysiakini.com & dekat stesen LRT Bangsar)
Pendiskusi: Mazir Ibrahim, pencipta lagu & pemuzik

Sesi 2
Diskusi Buku (Siri 4 & akhir) On the Medieval Origin of the Modern State (karya Joseph Strayer)

Tarikh: 23 Jun 2007 (Sabtu)
Jam: 9:30 malam
Tempat: Restoran tom yam Bangsar Seafood, Bangsar Utama, KL (depan pejabat Malaysiakini.com & dekat stesen LRT Bangsar)

Mesyuarat untuk perbincangan buku berikutnya The Enlightenment (Pencerahan) karangan Dorinda Outram, terbitan Cambridge University Press.

>>> Sila bawa wang RM10 untuk kos fotokopi buku The Enlightenment karangan Dorinda Outram. Buku tersebut boleh dilihat di sini (edisi pertama). Isu-isu yang mahu kita bahaskan daripada buku ini seperti berikut.

Untuk pengenalan awal, pembaca boleh juga melawat blog ini Pencerahan Telawi untuk memahami perkembangan salon Paris, gerakan intelektual Pencerahan edisi Perancis dan politik golongan philosophes.

Sila sebarkan seluas mungkin & iklankan di blog-blog Sdr/ri. Terima kasih.

>>> Maklumat lanjut, e-mel kepada faomar@yahoo.com

Samy Vellu Terus Di Desak

Semalam saya bersama-sama teman-teman AMK, yang diketuai Timbalan Ketua AMK, Faris Musa (sam di Jakarta), dihadapan Balai Polis Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Maudu` kami adalah untuk  meneruskan desakan agar siasatan disegerakan oleh pihak berwajib menyiasat apa yang sebenarnya berlaku, sehingga perbelanjaan seabnayak kira-kira RM 2 Billion (Smart Tunnel), tidak dapat menyelesaikan apa yang dirancang. Ikuti di sini. Kami juag desak agar Samy segera dipecat akibat kegagalan tersebut.

Sebelum itu pada 28 Feb lalu, Ketua AMK, Shamsul telah mendedahkan beberapa perkara dalam perjanjian konsesi pembinaan Smart Tunnel, Samy bising, ugut dan marah. Tapi apa yang kami dedahkan menjadi nyata.

Dengan keadaan bocor sana-sini, retak, air hujan melimpah imej Kementerian Kerja Raya tercalar, malahan imej Malaysia juga boleh merudum. Petang semalam sewaktu lepas pulang dari balai polis, bertemu sahabat di jalan telawi, belum sempat melabuhkan punggung ke kerusi seorang dari mereka berkata ; “kalau lepas election nanti aku tengok samy masih menang dan jadi menteri, aku tak boleh nak kata apa lah”

Membelah Sentimen Perkauman & Ketutupan

Pandangan saya mengenai buku May 13, tulisan Dr Kua Kia Soon menjana pandangan yang agak meriah. Sebahagian besar mempertikai, secara bertele-tele sehingga ke sampai ke Singapura dan negara asing untuk mempertahan politik diskriminasi tersebut. Saya tidak menyebut hipotesis Dr Kua sebagai muluk, tetapi saya mengajak satu wacana yang bebas dan terbuka untuk kejadian 13 Mei. Ternyata banyak maklum balas yang berjela, mungkin tanpa disedari menyerlah sikap anti-kebebasan, bersendi sentimen chauvanis.

Inilah sebenarnya citra politik Malaysia, politik perkauman-tertutup. Selalu menganggap diluar ruang selesa kita sebagai salah, merosak, jahat dan kejam. Kebebasan menjadi begitu, menyeramkan dan berdosa.

Negara kita akan menjejak umur 50 tahunnya, bagi wilayah timur negara Sabah dan Sarawak pula bakal meraikan tahun ke 44 bersama Malaysia. Sepanjang tempoh ini kita telah melalui detik-detik bermakna yang membentuk citra dan akal budi kita di Malaysia.

Tahun 1969 telah menjadi tarikh penting perubahan lanskap sosio-politik negara. Lantaran kejadian tersebut, Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) digubah pemerintah, ianya telah terlalu banyak mencorak landasan politik negara yang mengamal diskriminasi berasaskan kaum, postive discrimination, bilang Dr Mahathir, mempertahankan dasar terbabit. Beliaulah antara yang paling lantang menghentak Tunku Abdul Rahman, supaya lebih melayu dalam polisinya — surat beracun kata Tunku.

DEB & DKK yang berakar dari peristiwa tersebut membentuk corak fikir masyarakat, yang terperangkap dengan kecurigaan pada kaum lain. Bagi melayu bangsa lain tidak boleh diberi muka, peristiwa membawa penyapu dan slogan biadap yang dikatakan menghalau bumiputera keluar dari Malaysia, tidak wajar berulang. Justeru mereka ini kalau diberikan tempat, akan memilih rakan sekaum mereka dan perlahan-lahan akan meminggirkan melayu dari arus perdana. Oleh itu kita kena bantu melayu, melayu dahulu, tidak mengapa jika tidak berdaya saing, tidak berkualiti dan korup. Ianya masih terus-terusan ditanam lebih-lebih lagi dalam propaganda BTN di kursus-kursus mereka.

Bagi kaum lain khususnya tionghua, mereka telah mengalami pengalaman perit ditanah kelahiran mereka, mendapat layanan dasar kerajaan yang kurang memihak seperti bantuan pelajaran dan tempat dalam institusi awam, telah menyebabkan mereka merasa terhimpit. Kehimpitan ini menimbulkan maklumbalas yang berlawanan dan timbulah sentimen keutamaan kaumnya dan membenci kaum melayu. Masalah berbeza pula di Borneo, walaupun mereka dianggap bumiputera, tetapi taraf hidup mereka terus miskin dan merana dan timbullah sentimen anti-federalisme yang kuat menyubur.

Arus Reformasi 98, sedikit sebanyak menyentak kepercayaan ini. Reformasi bermula dengan alasan mendasar, Keadilan dan demokrasi. Tetapi permaksudan reformasi dan terasnya keadilan mula mencapah-capah dan pelbagai. Tidak dapat tidak sebahagianya melanggar sentimen chauvanis kaum- agama. Landasan ini telah menjadikan parti Keadilan dan reformasi bermain diluar rel politik negara. Ini kerisauan besar Umno dan BN.

Cabaran keadilan sebenarnya adalah menguatkan arus ini, arus 1998-1999 yang sering dijulang-julang sebahagian pendokong keadilan sebenarnya ialah arus spontan atau jadi-jadian. Ianya penuh kerencaman, ada sebahagianya akibat kemarahan. Oleh itu arus perjuangan bagi keadilan ialah menjadikannya arus kebebasan-tanpa perkauman-rasional dalam jati diri rakyat Malaysia.

Seusai Kongres

Kongres Parti keadilan Rakyat, baru sahaja selesai, bersamanya juga dua tiang parti keadilan; Angkatan Muda dan Wanita dapat melaksanakan kongres dengan selamat dan berjaya melaksanakan pemilihan dalam parti. Demokrasi terus subur dalam keadilan.  

Seperti biasa tekanan yang diterima oleh Parti keadilan memang cukup getir, Majlis Perbandaran Seremban, tidak membenarkan syiar parti seperti bendera, poster dan banting di pamerkan kepada umum. Inilah demokrasi ala Malaysia yang cukup melucukan dan memalukan. Namun laporan akhbar ada sedikit peningkatan, tapi masih dibayangi laporan yang tidak seimbang.

Kongres kali ini menampakkan Keadilan telah mula menerima budaya pertandingan dengan waras. Walau masih berlaku kempen dan usaha mengelakkan pertandingan kerana bimbang berlakunya perpecahan, lebih-lebih lagi dengan tanda-tanda pilihanraya umum ke 12 semakin jelas. Namun sebagai parti yang cuba melatih pertandingan yang matang dan sihat, pimpinan parti meneruskan juga pemilihan.

Hasilnya agak baik, nampak ada usaha dikalangan perwakilan dan mereka yang bertanding cuba menerima kemenangan dan kekalahan dengan tenang. Dan permuafakatan telah berjaya dibentuk paling tidak 80% kadarnya. Nampak lebih bermakna selepas berkempen dan bertanding yang menang dan kalah dapat dimuafakatkan. Inilah beza Keadilan dengan parti lain.

Inilah yang pernah saya sebutkasn sebagai salah satu budaya politik baru yang cuba dibawa oleh Keadilan dan reformasi. Kerajaan sering menuduh pembangkang tiada kerja lain selain membantah dan membangkang. Saya akui wujud juga budaya itu, membantah dan membangkang tidak tentu arah, namun perlu juga ditanya kembali kepada kerajaan apakah layanan dan sikap mereka kepada pembangkang baik.

Kalau hendak buat kongres atau mesyuarat pun ditegah dengan bermacam helah, permit dilarang, nak berkempen dalam pilihanraya perlu permit polis, dan berbaris-baris lagi yang tak perlu disebutkan lagi, ini menunjukkan sikap kerajaan lebih tidak berguna dan jijik. Mereka teleh menghimpit oposisi dan yang tidak sebulu kedinding dan mengatakan mereka ini tidak berguna.

Selepas kongres juga menampakkan harapan pemerintah untuk melihat pengaruh Anwar luntur juga musnah, walau Pendaftar Pertubuhan (ROS) digunakan untuk melarang Anwar aktif 

Anwar telah mengulangi lagi komitmenya, dan pimpinan pusat telah mula memanggilnya sebagai ketua, selain Dr Wan Azizah sebagi presiden,  Kini hanya terletak kepada jentera keadilan untuk dengan seberapa segera menyiapkan diri menghadapi pilihanraya.

Bagi AMK memang banyak perlu dilakukan, lebih-lebih lagi Shamsul, sebagai ketua AMK yang baru telah menyatakan komitmennya untuk menyebar dan promosi bukan hanya batang tubuh dan karisma Anwar tetapi membincangkan lontaran ideanya di peringkat bawah. selain memperkukuh jawatankusa akar umbi, negeri dan pusat agar lebih kompeten.

Ini satu lagi cabaran yang besar, yang perlu digendung oleh AMK dan parti.

13 Mei Harus Jadi Hak Awam

Tarikh ini seperti tidak banyak makna, tanpa Mei ianya menjadi angka “suwey” bagi kepercayaan sesetengah orang,  tapi bagi Malaysia memberi terlalu banyak erti khususnya, kesan kejadian pada tarikh tersebut di tahun 1969 telah membenihkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) & Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK).

Dua dasar tersebut telah banyak mengubah lanskap sosio-politik Malaysia. Ditambah perisa oleh dasar tidak demokratik Dr Mahathir, hari ini kita sedang menuai hasilnya, agak menakutkan dan juga menyeramkan.  Prejudis kaum dan agama yang berpanjangan dalam sanubari dan mula menunjukkan riak apinya.

Pagi 13 Mei 2007 ,  bersempena tarikh tersebut, Dr Kua Kia Soon antara pengasas badan pembela hak asasi, Suaram melancarkan buku terbarunya yang dikatakan sebagai koleksi bahan-bahan yang terselindung dalam fakta 13 Mei 1969.

Buku ini menambahkan versi punca kejadian 13 Mei. Tunku Abdul Rahman Putra, dan versi rasmi kerajaan yang mengaitkan peristiwa 13 Mei menjalar dari perarakkan Parti Gerakan dan DAP selepas kemenangan luar biasa Gerakan dan DAP juga pembangkang lain disamping hasutan dan kerja bawah tanah Komunis. Kali ini Kua berdasarkan beberapa laporan diplomat dan wartawan asing menyebut ianya adalah mainan politik kapitalis melayu yang mahu mengguling Tunku Abdul Rahman. Ini adalah suatu kudeta lebih kurang begitu maksud Kua Kia Soon.

Versi ini agak memeranjatkan, ada juga yang tidak setuju, tapi yang menyedihkan tindakan kerajaan khususnya kepada 3 senator yang membangkitkan cadangan mengharamkan buku ini. Saya juga masih tidak yakin hujah Kua, tapi langkah merampas dan cubaan mengharamkan (lihat di malaysiakini) buku ini juga adalah tindakan haram bagi sebuah negara demokratik. 

Pagi tadi saya bersama teman-teman Fathi, Hasmi, Ammar, Anam dan Firdaus juga bersama teman-teman lain Wakil CIJ, Lee Ban Chen, Lee Khai Loon (Y4C) telah membuat kenyataan media membantah tindakan tersebut.

Bagi saya 13 Mei telah menyebabkan kita tertawan (tertakluk) dengan dasar perkauman yang menyakitkan realiti kehidupan kita hari ini. Kejadian 13 Mei harus dibuka dan disebutkan secara yakin, yakni fakta dan cerita yang sebenarnya harus didedahkan. Bukan sebagai jembalang yang menakutkan orang yang mahu bersuara sedikit berbeza dengan norma. Ia bukan hak rasmi kerajaan ia hak awam.

Kenyataan Media KsJT

18 Mei 2007

Bantahan terhadap Rampasan Buku tentang 13 Mei

Rampasan buku ‘May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of
1969’ karangan Dr Kua Kia Soong oleh pihak Kementerian Keselamatan
Dalam Negeri beberapa hari lalu sangat memprihatinkan kami.

Apatah lagi terdapat desakan daripada beberapa pihak di Dewan Negara
agar buku ini diharamkan.

Langkah-langkah seumpama ini bukan sahaja boleh dianggap tidak
demokratik, tetapi juga tidak mempunyai sikap yang beradab dalam kehidupan
masyarakat yang terbuka dan menghargai perbezaan pandangan.

Kami berasa sangat kesal terhadap tindakan seumpama ini yang kami
anggap sudah ketinggalan zaman.

Walaupun topik “rusuhan kaum 13 Mei” sering dikatakan isu sensitif
tetapi ia tidak wajar ditutup daripada dibincangkan secara terbuka. Usaha
menyemak semula fakta-fakta sejarah dan memberikan tafsiran-tafsiran
baru berdasarkan kajian terkini haruslah sentiasa digalakkan, bersesuaian
dengan perkembangan arus maklumat dunia dan ke arah mematangkan bangsa
Malaysia yang kini berusia 50 tahun sejak merdeka.

Kami berpendapat, masanya sudah tiba untuk masyarakat Malaysia
membahaskan isu-isu sejarah seumpama ini agar ia boleh dijadikan tauladan dan
sempadan kepada kita bagi mengorak langkah membina bangsa Malaysia yang
bersatu, progresif, berbudaya ilmu dan bertoleransi.

Kami juga bimbang, selagi isu “rusuhan 13 Mei” tidak dibuka untuk
dikaji dengan mendalam, dan selagi ia enggan dibincangkan secara ilmiah
seumpama buku ‘May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of
1969’, maka tragedi malang ini akan selama-lamanya boleh diperalatkan
untuk menimbulkan buruk sangka dan keresahan antara kaum di negara ini.

Selama ini, ingatan “13 Mei” sering diperalatkan oleh orang politik —
baik pemimpin parti kerajaan atau pemimpin parti pembangkang — dan
juga kumpulan-kumpulan Islam setiap kali apabila muncul perbahasan tentang
isu-isu yang melibatkan pergeseran kepentingan kaum dan agama.

Tanggal ’13 Mei” telah dijadikan momok, telah dijadikan lembaga jahat,
untuk menakut-nakutkan orang ramai daripada membahaskan isu-isu penting
tertentu. Tarikh “13 Mei” telah disebut-sebut sebagai amaran, khususnya
kepada kaum bukan Melayu dan penganut agama bukan Islam.

Sebab itu, kami yang bertandatangan di bawah, yang sebahagian besar
kumpulan aktivis, penulis, seniman, dan wartawan muda Melayu berasa
terpanggil agar isu “13 Mei” dibenarkan dibincangkan secara terbuka, ilmiah
dan tenang.

Sekian, terima kasih.

Kenapa BN Mahu Keadilan & Anwar Terpadam Dari Sejarah

gambar ijok

 Berkuburnya Keadilan atau juga disebut berakhirnya PKR dan Anwar. Minggu lalu topik ini menjadi tajuk kegemaran media Malaysia. Sebagai melanjutkan “analisis” pilihanraya kecil Ijok jangkaan kematian Keadilan dan kehilangan pengaruh Anwar menjadi pilihan dengan alasan undi BN meningkat dalam pilihanraya tersebut walau Anwar turun banyak kali ke Ijok dan kempen paling hangat juga bermatian-matian pembangkang. Dengan juga memadamkan beberapa kenyataan, beza kenaikan undi keadilan dan Bn hanyalah kira-kira  200 undi sahaja sedangkan belanja BN mencecah hampir 100 juta, 1111 hilang dari daftar pemilih, pertambahan pengundi baru yang mencurigakan, kehadiran orang mati mengundi, keganasan gerak gempur Pemuda Umno dan berbagai-bagai lagi taktik umum BN.  

Semua parti oposisi pernah kalah dalam jeda antara pilihanraya ke 11 hingga pilihanraya ke 12 ini. Namun Ijok adalah peluang paling besar untuk BN, Umno dan sekutunya  menutup telinga dan fikiran rakyat (khususnya melayu) terhadap Parti Keadilan, Anwar Ibrahim dan sebenarnya lebih jauh lagi gagasan reformasi. Serangan luar biasa ini, telah memukau sebahagian rakyat dengan olahan “futuristik” Zam, RTM, TV3, Utusan, Berita Harian dan konco-koncunya. Tak mengapa bagi mereka bagi Cina dan bangsa lain untuk tahu, tapi nehii untuk Melayu.

Kalau dituruti sejarah, layanan kerajaan kepada PKR selalu tidak menyebelah. Ini kerana bukan  Keadilan tidak berdaftar atau membuat aktiviti surversif, tapi mereka melihat Reformasi, Keadilan dan Anwar Ibrahim tidak lagi bermain dengan tema dan lenggok politik perkauman dan anti demokrasi amalan BN. Kenyataan ini amat ditakuti dan tidak dapat diterima oleh BN dan pemegang ideologi rasis dan ketutupan seperti mereka. Sebahagian besar darinya adalah mereka yang duduk di jawatan tinggi kerajaan. Mungkin juga pimpinan SPR berfikrah sedemikian. Agaknya lah.

Sebab itu mereka akan cuba menutup pintu segalanya, termasuk laporan mesyauarat agung, dasar, permit akhbar, ceramah kerana langkah politik yang dimulai pada reformasi telah membuka gelanggang baru politik Malaysia. Semua bangsa telah mula menyedar akan pentingnya keadilan, kebebasan dan demokrasi. Amalan perpecahan perkauman tidak lagi laku.

Namun sebenarnya mereka telah mengali lobang baru untuk menutup lobang. Sebelum ini mereka black-out keadilan dan Anwar dari media, namun ceramah Anwar tetap ramai kunjunganya selain serangan di internet dan dunia siber, Anwar telah menyubur ke bawah,  mereka terpaksa menutupnya dengan membalas, dan pintu lain terbuka. Jadi kepada Zam teruskan menyerang.   

   

Sesudah Ijok

Agak lama tidak mengarang, semuanya gara-gara Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri, Ijok.  Bermula dengan hari-hari sebelum penamaan calon sehingga cuti  Hari Pekerja barulah dapat melepaskan urusan yang berkaitan dengan Ijok.

Perkara yang sudah memang telah berlalu. Tapi ianya masih punya banyak cerita yang dilalui sepanjang kempen di Ijok. Akan cuba di ungkapan berdikit-dikit mulai esok, Tapi ada beberapa perkara bermain di minda

1. Parti Keadilan & Anwar Ibrahim adalah yang paling digeruni pemerintah dan BN akan cuba mematikannya dengan apa jua cara

2.SPR mati maruah dan kreadibiliti.

3.Pemuda Umno jadi tempat latih gangster

4.RTM melengkapkan usaha membodohkan rakyat (khususnya Melayu)

akan diulas satu persatu      

Bersedia Ke Ijok

Dalam minggu ini Ijok menjadi tajuk penting khususnya untuk cakap-cakap politik. Ijok bakal menyaksikan pilihanraya kecil setelah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dato` K Sivalingam, meninggal dunia di Chennai India.

Semalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Keadilan Rakyat telah menetapkan akan bertanding di Ijok. Teman-teman pembangkan Pas & DAP juga telah menyatakan sokongan untuk membantu KeADILan dalam pilihanraya kecil Ijok.

Malam semalam (15 April 2007) Angkatan Muda telah melancarkan Skuad Keadilan Selangor, di Ijok dan sekaligus menunjukkan api sepak mula pilihanraya yang tertanda dengan pada tarikh 19 April ini telah berkelip.  Sebelum itu pada sebelah petang  Pemuda BN juga telah mengumpul dari seluruh negara pasukan jerit mereka untuk menandakan mereka telah sedia gempur.

Marilah ke Ijok melawat, menikmati pertembungan demokrasi dan duit.  

Pelancaran Jentera AMK Pilihanraya Ijok & Skuad Keadilan Selangor

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat dengan kerjasama AMK Negeri Selangor akan mengadakan majlis pelancaran Jentera Pilihanraya Kecil Ijok & Skuad Keadilan Selangor mengikut maklumat berikut

Tarikh: 15 April 2007

Masa: 8.45 malam

Tempat : Bilik Gerakan Parti Keadilan Rakyat Ijok

No 2 Simpang 4, Ijok

(Rumah Haji Miskun)

Majlis tersebut dijangka akan diisi dengan ceramah utama dari Azmin Ali (Naib Presiden & Pengerusi Biro Pilihanraya ) dan Tan Sri Dato Khalid Ibrahim (Pengerusi Perhubungan Negeri Selangor).

Selain itu Sdr Shamsul Iskandar, Pemangku Ketua Angkatan Muda bersama Exco-Exco Angkatan Muda Pusat & Selangor akan turut berucap untuk memulakan gerak kerja rasmi AMK dalam pilihanraya kecil Ijok.

Kami Juga menjemput seluruh rakyat khususnya disekitar kawasan Ijok dan Selangor untuk bersama menjayakan majlis ini.

Sekian terima Kasih.

 

Amirudin Shari

Timbalan ketua Penerangan

Angkatan Muda Keadilan

www.amk.keadilanrakyat.org

Machap: BN menang, majoriti merosot 481 undi (mstar)

ALOR GAJAH: Barisan Nasional menang besar kali ini berdepan DAP dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap tetapi jumlah majoritinya merosot sebanyak 481 undi.

Calon Barisan, Lai Meng Chong mendapat 5,533 undi, menewaskan calon DAP Liou Chen Kuang yang hanya meraih 1,452 undi.

Bagaimanapun majoriti 4,081 yang diperolehi Lai hari ini menurun berbanding calon Barisan dalam pilihan raya umum 2004, mendiang Datuk Wira Poh Ah Tiam sebanyak 4,562.Berikut keputusan lengkap:

Jumlah pengundi: 9,623

Lai Meng Chong (BN): 5,533
Liou Chen Kuang (DAP): 1,452

Jumlah mengundi: 7,151
Peratus: 74.3
Undi rosak: 166
Majoriti: 4,081

Penyandang: Datuk Wira Poh Ah Tiam (BN)
Undi diperolehi: 5,847 (pilihan raya 2004)
Majoriti: 4,562

Sebelum keputusan rasmi itu diumumkan, dalam satu sidang media, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Kamaruzaman Mohd Noor berkata sebanyak 74.22 peratus pemilih keluar mengundi di semua 19 saluran di lapan pusat mengundi apabila ditutup pukul 5 petang tadi.

“Ini adalah peratusan mengundi yang amat tinggi dalam satu-satu pilihan raya kecil.

“Ia cuma perbezaan kecil jika dibandingkan peratusan mengundi pada pilihan raya umum 2004 sebanyak 74.33 peratus (dari 9,889 pengundi),” katanya kepada pemberita di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi pilihan raya kecil berkenaan di Kompleks Japerun Machap.

Beliau berkata analisis SPR mendapati golongan warga emas yang mengundi di saluran satu mencatat peratusan mengundi yang paling tinggi iaitu sebanyak 80 peratus.

Katanya pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Menggong mencatatkan peratusan pengundian paling tinggi sebanyak 85.5 peratus, manakala peratusan pengundian paling rendah dicatatkan di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Machap sebanyak 51.4 peratus.

Pada pandangan SPR, katanya, tiga faktor utama menyumbang kepada peratusan mengundi agak tinggi iaitu kerjasama erat antara jentera parti Barisan Nasional (BN) atau DAP yang pergi ke setiap lokaliti di lapan kawasan mengundi bagi membantu pemilih menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Faktor kedua ialah peningkatan tahap kesedaran di kalangan pengundi untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing dan faktor cuaca cerah, katanya.

Beliau berkata SPR juga ingin melahirkan penghargaan kepada polis yang berkawal dan menjaga keselamatan sehingga tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Poh pada 15 Mac lepas.

Pemilih berdaftar DUN Machap terdiri daripada 45 peratus pengundi Cina, 38 peratus Melayu, 15 peratus India dan dua peratus kaum lain.

Daripada jumlah itu, 9,515 adalah pemilih awam manakala 108 lagi adalah pemilih pos.