Tuan-tuan, puan-puan dan para peserta.

1. Saya ingin mengambil kesempatan dalam ucapan saya yang pendek ini untuk mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat untuk menjayakan Selangor Cyber Games buat pertama kalinya. Daripada tim urusetia, pihak penaja, Mineski,, Encorp The Strands, pihak MBPJ dan juga sudah tentu para peserta yang hadir pada hari ini.

2. Kita merasa bangga kerana pada hari ini juga bersama-sama dengan kita adalah pasukan-pasukan yang telah mengharumkan nama negara di kejohanan e-sukan di peringkat antarabangsa seperti Invasion, Team Malaysia dan juga G-Guard.

3. Ada pihak yang mempersoalkan kenapa kerajaan negeri perlu menyokong aktiviti e-sukan ini. Saya tidak menafikan adanya unsur yang tidak sihat dikaitkan dengan online games ataupun sebarang e-sukan yang lain. Tetapi pada saya ada banyak aspek positif lain yang perlu ditonjol di dalam bidang ini.

4. Online Games telah menjadi sebuah industri yang begitu besar di serata dunia. Menurut satu laporan majalah Forbes, menjelang tahun 2017 industri game dunia dijangka akan bernilai keseluruhannya sebanyak RM286 bilion.

5. Justeru itu, ini menunjukkan bahawa banyak peluang dan potensi dapat dikembangkan di dalam bidang ini. Bukan sahaja hanya bermain permainan online ini untuk mendapat hadiah tetapi juga banyak yang boleh dipelajari dari aspek pengurusan dan perniagaan. Selain itu juga kita juga perlu menggalakkan kreativiti sehingga kita mampu menghasilkan permainan-permainan digital online mahupun apps yang berkualiti.

6. Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan YAB Mohamed Azmin Ali mengangkat konsep Negeri Pembangunan atau development state yakni sebuah konsep kemajuan secara holistic. Kerajaan Negeri juga akan sentiasa melaksanakan program-program dan dasar yang dapat mengembangkan potensi generasi muda dan belia dalam pelbagai bidang kreatif sesuai dengan perkembangan teknologi dan peredaran zaman.

7. Sebelum saya mengakhiri ucapan saya mewakili Kerajaan Negeri Selangor mengucapkan tahniah dan selamat bersaing di dalam kejohanan Selangor Cyber Games 2014 ini. Terima kasih.

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*