Kenyataan Media YAB Dato’ Menteri Besar berkenaan Isu Papan Tanda di Selangor

Kenyataan Media

4hb Julai 2019

Pada 28 Mei 2019, Malaysia kehilangan seorang tokoh Sejarawan Negara, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim yang menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Pemergian mendiang telah meningalkan legasinya sebagai seorang nasionalis dan patriot khususnya penglibatan mendiang di dalam merangka Rukunegara, sebagai suatu usaha mengembalikan keharmonian negara pasca peristiwa 13 Mei 1969.

Sebagai seorang sarjana sejarah, sumbangan besar mendiang adalah di dalam pembentukan historiografi Malaysia pada abad 19. Karya-karya utama mendiang seperti The Western Malay States 1850-1873: The Effects of Commercial Development on Malay Politics telah menjadi kanon di dalam penulisan sejarah Malaysia.

Di samping tugasnya sebagai sarjana di Universiti Malaya, mendiang juga adalah seorang intelektual awam yang terlibat aktif memberikan pandangan tentang politik dan isu-isu berkaitan pembinaan negara bangsa dan juga bidang yang sangat diminatinya iaitu sukan bola sepak.

Justeru itu dengan ini saya ingin memaklumkan bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj telah memberi perkenan untuk menamakan semula Jalan Semangat di Petaling Jaya kepada Jalan Professor Khoo Kay Kim sebagai mengenang segala jasa dan bakti mendiang kepada negara.

Kerajaan Negeri juga menetapkan bahawa semua papan tanda jalan Negeri Selangor akan menggunakan Bahasa Melayu sahaja. Ini selaras dengan perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963 / 1967. Perihal ini turut mendapat perhatian DYMM Tuanku yang telah memberi titah dan nasihat agar Kerajaan Negeri Selangor memartabatkan Bahasa Melayu dengan menetapkan hanya Bahasa Melayu digunakan dalam papan tanda rasmi kerajaan negeri termasuk pihak berkuasa tempatan.

Pendirian kerajaan adalah selaras dengan komitmen Pakatan Harapan yang komited mempertahankan beberapa teras utama perlembagaan seperti kedudukan Raja-Raja Melayu, Hak Istimewa Orang Melayu, Islam sebagai Agama Rasmi Persekutuan dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

YAB TUAN AMIRUDIN SHARI
Dato’ Menteri Besar Selangor

Kenyataan Media YAB Dato’ MB Selangor