Ucapan YAB Dato’ Menteri Besar Selangor sempena Majlis Perasmian PERHEBAT ke-54

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Yang Berbahagia Leftenan Jeneral Dato’ Sri Abdul Aziz Ibrahim
Pengerusi PERHEBAT

Yang Berbahagia Leftenan Jeneral Dato’ Suhaimi bin Hj Mohd Zuki
Panglima Markas Angkatan Bersama Mewakili Panglima Angkatan Tentera

Yang Berhormat Tuan Mohd Khairudiin bin Othman
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor

Yang Berbahagia Kapten Datuk Sharuddin bin Omar
Presiden Persatuan Veteran ATM merangkap Ahli Lembaga Pengarah PERHEBAT

Yang Berbahagia Leftenan Jeneral Dato’ Hasagaya bin Abdullah
Timbalan Panglima Tentera Udara mewakili Panglima Tentera Udara

Yang Berusaha Mejar Rosdin bin Mohammad
Pemangku Ketua Pengarah PERHEBAT

Dif-dif Jemputan

Para graduan yang diraikan

Tuan-tuan dan puan-puan

1. Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurniaNya dapat kita bersama-sama meraikan Majlis Konvokesyen PERHEBAT Ke-54.

2. Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada PERHEBAT di atas kesudian mengundang saya bagi menyampaikan sijil kepada graduan yang selepas ini bergelar veteran ATM. Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua graduan kerana menamatkan Latihan Peralihan PERHEBAT dengan jayanya.

3. Ini kali kedua saya menjejakkan kaki ke PERHEBAT setelah kunjungan singkat saya ke sini pada 30 Januari lalu. Saya berkesempatan meninjau bengkel-bengkel latihan dan kemudahan di kompleks yang banyak jasanya di dalam melahirkan ribuan veteran-veteran yang dapat mengembangkan bakat dan kemampuan mereka dalam pelbagai bidang selepas bersara.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

4. Malaysia adalah sebuah negara yang bertuah yang dianugerahkan dengan pelbagai sumber alam dan masyarakat yang berbilang bangsa dan agama. Perbezaan agama dan bangsa ini perlu diuruskan dengan baik berteraskan Perlembagaan dan juga Rukunegara agar keharmonian dan keamanan dapat terus dikekalkan. Tanpa keamanan Malaysia tidak mencapai cita-cita menjadi sebuah negara yang maju yang dapat memberikan kemakmuran bersama kepada seluruh rakyat Malaysia.

5. Begitu juga di Selangor setelah setahun saya menggalas amanah sebagai Menteri Besar Selangor, saya sentiasa mengingatkan diri saya bahawa jawatan ini adalah tanggungjawab (taklif) bukannya kemegahan (tasyrif). Kerana itu saya selalu mengambil pendekatan untuk turun ke bawah untuk memahami dan melihat sendiri permasalahan yang dihadapi oleh rakyat. Alhamdulillah dalam masa setahun ini, saya telah turun ke semua sembilan daerah di Selangor melalui program Jelajah Maju Bersama. Kesempatan untuk bertemu dengan mendengar terus daripada rakyat dalam sesi townhall memberikan kekuatan kepada saya untuk berkhidmat dengan lebih baik.

6. Begitu juga dalam usaha untuk merancakkan perkembangan ekonomi di negeri Selangor. Menerusi pembentangan Belanjawan Negeri Selangor 2019, saya telah meletakkan dasar klusterisasi atau penggugusan ekonomi Selangor kepada 10 gugusan yang telah dikenalpasti. Klusterisasi ini bukan sahaja menumpukan kepada pembangunan di bandar tetapi juga membugar potensi yang ada di luar bandar dan kampung-kampung.

7. Ini kerana saya percaya bahawa seluruh rakyat di negeri Selangor perlu mendapat manfaat daripada limpahan kemajuan ekonomi Selangor seperti mana yang terkandung dalam slogan Selangor Maju Bersama.

8. Kerana itu menyokong penuh peranan dan inisiatif PERHEBAT dalam membimbing bakal pesara dan veteran ATM untuk meningkatkan kemahiran dan ekonomi mereka dalam menghadapi kerjaya kedua selepas tamat perkhidmatan.

9. Saya difahamkan, Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia yang melaksanakan inisiatif persediaan persaraan kepada tentera secara inklusif dan berstruktur bermula semasa dalam perkhidmatan sehingga selepas bersara iaitu melalui kewujudan PERHEBAT.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

10. Saya melihat peranan PERHEBAT amat relevan bersandarkan kepada pencapaian yang dicatat setakat ini. Tahun lalu, 67.6 peratus pelatih PERHEBAT mendapat pekerjaan dan menjadi usahawan selepas 6 bulan tamat latihan. Ia bersamaan dengan 1,014 orang daripada jumlah keseluruhan 1,500 pelatih.

11. Hari ini saya mengumumkan bahawa kerajaan Selangor akan bekerjasama dengan PERHEBAT dengan menawarkan program-program latihan dan penempatan pekerjaan khusus untuk veteran tentera dan keluarga di negeri ini.

12. Kerajaan negeri amat memerlukan sokongan padu daripada syarikat swasta yang beroperasi di Selangor untuk memberi perhatian khusus dengan menawarkan pekerjaan kepada veteran ATM dan keluarga.

13. Saya yakin veteran ATM generasi baharu hari ini memiliki pengalaman dan kepakaran yang tinggi dalam pelbagai bidang daripada sektor pembuatan makanan sehingga ke aeroangkasa.

14. Tentera yang bersara berumur antara 34 ke 42 tahun dan dalam usia yang masih muda mereka mampu menjadi sebahagian tenaga kerja mahir kepada majikan. Kumpulan sasar ini mampu menyumbang kepada perkembangan Revolusi Industri 4.0 negara seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

Tuan-tuan dan puan-puan,

15. Akhir kata, saya mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada semua veteran ATM yang menamatkan Latihan Peralihan PERHEBAT dengan jayanya. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Konvokesyen PERHEBAT Ke 54.

Sekian, Wabillahhitaufik Walhidayah, Wasssalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Terima kasih.

YAB Tuan Amirudin Shari
Dato’ Menteri Besar Selangor

Ucapan YAB Dato’ Menteri Besar Selangor – Konvensyen PERHEBAT 54