Kenyataan Media berkenaan Penularan Politik Jijik

KENYATAAN MEDIA

26hb Jun 2019

Penularan Politik Jijik Harus Dihentikan

Mutakhir ini, perkembangan politik nasional telah dijejaskan oleh mainan yang jelik dan keji. Penularan video palsu untuk memfitnah seorang Menteri Kanan telah memasuki suatu fasa yang melampau dan memualkan.

Ketika rakyat dan seluruh negara mengharapkan politik yang memberi harapan untuk perubahan dan pembangunan tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Kini, politik menjadi medan fitnah bukannya sebagai wasilah kepada kemaslahatan awam.

Semalam satu lagi video fitnah disebarkan dan turut dimuatnaik ke dalam laman pornografi. Amalan politik sebegini mencemarkan kesucian agama, tradisi dan budaya serta kemaslahatan rakyat khususnya umat Islam di negara ini.

Pertembungan politik seharusnya berlaku dengan sihat dan menawarkan ideaidea yang mengangkat martabat rakyat dan negara bukannya melalui cara desperado yang kotor. Komplot politik jahat yang mengheret rakyat ini seharusnya tidak berlaku lagi di era Malaysia Baharu.

Saya menggesa kepimpinan negara untuk mengambil tindakan yang tegas supaya dalang di sebalik penularan video ini dapat segera diheret ke muka pengadilan. Pihak berwajib juga perlu menyekat penularan video dan memberi amaran keras kepada pihak yang terus-menerus mensensasikan fitnah ini kepada khalayak awam.

Amirudin Shari
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Selangor

Penularan Politik Jijik Harus Dihentikan