Kenyataan Media berkenaan Majlis Penyerahan Loji Rawatan Air Labohan Dagang

Kenyataan Media

25hb Jun 2019

MAJLIS PENYERAHAN LOJI RAWATAN AIR LABOHAN DAGANG

Kerajaan Negeri Selangor, hari ini mengadakan majlis penyerahan Loji Rawatan Air (LRA) Labohan Dagang, bertempat di Loji Rawatan Air Labohan Dagang, Lot 8378, 42700 Kuala Langat, Banting.

Majlis ini disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor, Yang Amat Berhormat Tuan Amirudin Shari. Majlis menyaksikan penyerahan kunci LRA Labohan Dagang dari pihak kontraktor kepada pihak Kerajaan Negeri dan seterusnya kepada Pengurusan Air Selangor selaku syarikat operator air tunggal di Selangor.

LRA Labohan Dagang direkabentuk dan dimulakan pembinaannya pada bulan Julai 2017 untuk mengeluarkan air bersih sebanyak 200 Juta Liter Sehari (JLH). Pembinaan loji rawatan ini telah menelan kos sebanyak RM425 juta.

Idea Pembangunan Loji Rawatan Air Labohan Dagang dicetuskan selaras dengan kerangka pemodenan industri air di Negeri Selangor yang merupakan satu langkah strategik bagi menangani isu dan persoalan bekalan air yang semakin mencabar. Kalau dulu, empangan kita bina di hulu sungai, tetapi hari ini, dengan pembangunan pesat dan guna tanah yang semakin berleluasa untuk tujuan pembangunan, air di hulu sungai semakin berkurangan.

Loji Rawatan Air Labohan Dagang ini mengaplikasikan pengunaan teknologi hijau dengan kemudahan kaedah Pembangunan takungan air larian di hiliran sungai (Off River Storage (ORS)) yang menghubungkan aliran air loji dari Sungai Langat ke kolam pra-rawatan. Kaedah ini membantu loji terus beroperasi walaupaun berlakunya pencemaran di sungai utama menggunakan konsep pembangunan air dihiliran untuk dijadikan sumber air.

Pembangunan takungan air larian di hiliran sungai boleh memberi kesan kepada budaya rakyat dalam mengamalkan sikap tidak membazir kepada sumber air sedia ada dan pada masa yang sama memupuk semangat cintakan alam sekitar di mana rakyat akan menjadi lebih bertanggung jawab dalam menjaga kebersihan sungai-sungai yang merupakan sebahagian dari sumber air.

Kolam takungan utama yang berkeluasan 110 hektar (ha) ini berupaya menyediakan bekalan air mentah kepada loji air sehingga 75 hari dan dapat mengelakkan henti tugas di loji air sekiranya berlaku kemarau panjang atau pencemaran di Sg. Langat.

Pengoperasian LRA ini akan membolehkan sumber bekalan air bersih ke daerah Kuala Langat yang selama ini dibekalkan oleh LRA Semenyih, LRA Labu dan LRA Sg. Selangor diagihkan ke daerah-daerah lain dan secara langsung akan meningkatkan tahap bekalan air yang lebih baik untuk Negeri Selangor.

LRA yang serba canggih ini beroperasi sepenuhnya secara automatik dan dibina di atas tanah seluas 26 hektar yang merangkumi mukasauk, tangki-tangki pemperosesan air mentah, bangunan kimia, bangunan pentadbiran, bengkel, kolam air terawat, tangki air menara, rumah pam air terawat, bangunan elektrik, kemudahan rawatan enapcemar, Surau serta kuarters untuk kakitangan.

Pembinaan loji ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan negeri dalam memberikan perkhidmatan air terbaik kepada seluruh rakyat Selangor.

YAB TUAN AMIRUDIN SHARI
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Kenyataan Media – Penyerahan Loji Rawatan Air Labohan Dagang