Kenyataan Media berkenaan Fi dan Cukai Petak

Kenyataan Media

19hb Jun 2019

Selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor yang berkuatkuasa pada 1 Jun 2018, pengenaan fi dan kadar cukai petak bagi skim pembangunan berstrata secara berkomputer telah dilaksanakan di seluruh Negeri Selangor. Ini menjadikan Negeri Selangor selaku negeri pertama di Malaysia yang menjalankan kutipan cukai petak bermula 1 Jun 2018.

Pelaksanaan cukai petak bagi skim pembangunan berstrata bertujuan untuk membantu rakyat negeri Selangor menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi oleh pemilik hartanah berstatus strata dengan Perbadanan Pengurusan (MC) yang melibatkan urusan cukai. Ini lebih memudahkan pemilik petak untuk melakukan sebarang urusan jual beli bagi hartanah berskim strata, di samping mewujudkan akses langsung antara pemilik hartanah membayar cukai secara terus kepada Pejabat Tanah dan Daerah.

Bersempena bulan Syawal ini, Kerajaan Negeri Selangor melalui MMKN Bilangan 11 Tahun 2019 telah memutuskan untuk mengecualikan denda bayaran cukai petak yang akan dilaksanakan bagi tempoh tiga (3) bulan bermula dari 1 Jun 2019 lepas sehingga 31 Ogos 2019. Sehubungan dengan itu, rakyat Negeri Selangor terutamanya pemilik hakmilik strata digesa untuk merebut peluang ini sebelum 31 Ogos 2019 bagi menggelak dari dikenakan fi denda lewat.

Pengumuman ini adalah satu bentuk insentif dan hadiah hari raya kepada semua rakyat Negeri Selangor yang memiliki hakmilik strata, disamping menggalakkan pembayaran cukai petak demi kelangsungan pembangunan negeri yang holistik selaras dengan agenda Selangor Maju Bersama.

YAB TUAN AMIRUDIN SHARI
Dato’ Menteri Besar Selangor

Kenyataan Media – Fi & Cukai Petak