Kenyataan Media berkenaan Penangguhan Kemaskini Kasih Ibu Smart Selangor

KENYATAAN MEDIA
31hb Mei 2019
Penangguhan Kemaskini Kasih Ibu Smart Selangor
Pada 26 April 2019, Kerajaan Negeri Selangor telah mengumumkan langkah mengemas kini maklumat penerima Inisiatif Kasih Ibu Smart Selangor (KISS). Langkah ini adalah perlu bagi memastikan bantuan KISS diterima golongan yang benar-benar memerlukan. Langkah mengemas kini maklumat penerima ini juga adalah perlu setelah hampir dua tahun pelaksanaan KISS.
Proses mengemas kini maklumat penerima oleh pihak Selcare akan mengambil masa selama sebulan. Dalam tempoh pengemaskinian ini, penggunaan kad KISS akan dibekukan sementara bagi membantu pihak Selcare mengemas kini maklumat dengan lebih tepat.
Tarikh mengemas kini kad KISS yang telah dicadangkan akan bermula dari 1 Jun 2019 sehingga 1 Julai 2019. Walau bagaimanapun, sebagai sebuah negeri yg peduli rakyat dengan mengambil kira tarikh Hari Raya Aidilfitri yang dijangkakan pada 5 Jun 2019, Kerajaan Negeri bersetuju untuk menangguhkan tarikh mengemas kini kepada 15 Jun 2019 sehingga 15 Julai 2019. Ini bagi membolehkan para penerima bantuan KISS menggunakan kad KISS sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.
Setelah proses pengemaskinian ini selesai, penerima KISS yang tersenarai di dalam eKasih atau senarai penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) boleh terus menggunakan kad KISS dengan jumlah manfaat yang sama. Kerajaan Negeri Selangor telah membelanjakan RM 107 juta bagi manfaat KISS sejak pelaksanaannya pada tahun 2018 dan akan terus komited meneruskan inisiatif ini.
YAB Tuan Amirudin Shari
Dato’ Menteri Besar Selangor