Ucapan YAB Dato’ Menteri Besar Sempena Sambutan Hari Wesak 2019 Peringkat Negeri Selangor

UCAPAN YAB MENTERI BESAR SELANGOR DI SAMBUTAN HARI WESAK PERINGKAT NEGERI SELANGOR

PADA 2.30 PETANG, 26HB MEI 2019 DI AUDITORIUM MBSA, SHAH ALAM.

Terima kasih kepada Saudara Pengerusi Majlis.

 

Yang Berhormat Tuan Hee Loy Sian, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Hal EhwalSelain Islam Negeri Selangor;

 

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor;

 

Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri;

 

Yang Berusaha Pegawai-pegawai kerajaan negeri;

 

Yang Berusaha Encik Loka Ng Sai Kai,

Pengerusi Selangor Buddhist Development Committee;

 

Yang dihormati para pemimpin pertubuhan Agama Buddha

 

Para Pemimpin Masyarakat;

 

Seterusnya Dato’-Dato’, Datin-Datin, Wakil-Wakil Media, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian.

Assalamualaikum, Salam sejahtera kepada semua dan selamat menyambut Hari Wesak kepada semua penganut Agama Buddha.

 

Pada petang ini kita bersama-sama meraikan hari yang paling penting untuk penganut beragama Buddha, iaitu Hari Wesak. Saya difahamkan hari Wesak memperingati tiga peristiwa penting dalam kehidupan Gautama Buddha iaitu Kelahirannya, Pencerahan Penuh (Enlightenment) dan Kemangkatannya (Maha-Parinibbana).

 

Saya difahamkan masyarakat agama Buddha telah menyambut Hari Wesak sepanjang minggu lepas dan saya percaya sambutan tahun ini telah dijalankan dengan meriah dan tenteram seperti tahun-tahun lepas dengan kerjasama dan bantuan banyak pihak.

 

Hadirin yang dihormati,

 

Ajaran Buddha memberikan perhatian yang amat penting terhadap ciri-ciri kesederhanaan dan keharmonian dalam kehidupan seseorang insan. Saya rasa ciri-ciri sebegini yang juga wujud di dalam ajaran agama-agama utama di dunia ini mestilah didekati dan diamalkan demi kesejahteraan dan kedamaian sejagat.

 

Agama Buddha menitikberatkan sifat keamanan serta menolak sebarang kekerasan dan kelakuan ekstrem yang boleh memudaratkan masyarakat dan mengancam keamanan negara.

 

Menyedari masyarakat kita yang terdiri dari pelbagai kepercayaan dan latar belakang sosio-budaya, di sini saya ingin menyarankan agar kita harus menjauhi dan menyingkir amalan ekstremis yang tidak bertanggungjawab yang boleh menimbulkan suasana yang tidak tenteram dalam kalangan masyarakat kita yang ingin hidup dengan harmoni serta saling menyayangi antara satu sama lain; tidak kira kaum, bangsa mahupun agama.

 

Kesentosaan dan keamanan yang wujud di Selangor ini haruslah kita hargai dan menjadi tanggungjawab kita untuk memastikannya berterusan demi generasi yang akan datang. Ini mengingatkan saya kepada pesan-pesan yang terkandung dalam salah satu daripada tiga Pali Canon iaitu Abbidhamma Pitaka. Dalam buku kedua Abbidhamma Pitaka iaitu Buku Vibhanga, perihal 293, kita diberitahu bahawa demi memperolehi maqam kebaikan makanya perlu ada absence of hatred, ditiadakan kebencian, dan untuk itu kita perlu membuang sifat membenci dan berniat jahat.

 

Justeru amatlah mustahak rakyat Negeri Selangor menghayati pesan-pesan baik sebegini bagi memastikan kebencian tidak membelenggu kita, bagi memastikan kemarahan tidak membakar kita serta bagi memastikan kejahatan tidak menguasai kita.

 

Saya amat bangga kerana pihak Kerajaan Negeri telah berjaya menganjurkan sambutan Hari Wesak peringkat negeri secara terus menerus sejak tahun 2011 hingga hari ini, bagi meraikan dan menghormati masyarakat beragama Buddha di negeri Selangor.

Di sini juga saya ingin tekankan bahawa budaya memupuk perasaan kasih-sayang dan hormat-menghormati antara satu sama lain harus kita amalkan dalam kehidupan harian kita agar masyarakat boleh bersama-sama bergerak maju ke depan.

Kerajaan Negeri Selangor sedar dan prihatin dengan keperluan serta cabaran yang dihadapi oleh masyarakat agama Buddha. Saya difahamkan keperluanmasyarakat agama Buddha terutamanya dari segi keperluan tanah dan prasarana rumah ibadat telah meningkat sejak 40 tahun kebelakangan ini disebabkan peningkatan penganut dan anak-anak muda yang menyertai program keagamaan, pendidikan dan kebajikan keagamaan yang diuruskan oleh pertubuhan-pertubuhan agama Buddha di negeri ini.

Sehubungan dengan itu,pihak kerajaan negeri sejak tahun 2008 telah menubuhkan sebuahJawatankuasa Hal Ehwal Selain Islam yang juga turut dianggotai oleh wakil-wakil dari pertubuhan agama selain Islam termasuk dari agama Buddha.

Jawatankuasa ini bermesyuarat sekurang-kurangnya 6 kali setahun bagi membincangkan dan menyelesaikan perkara-perkara berkaitan permohonan tanah dan hal ehwal berkaitan rumah ibadat selain Islam agar ia dapat diuruskan dengan lebih efisyen dan berkesan.

Kerajaan Negeri juga telah memberi peruntukan kepada pelbagai pertubuhan agama untuk membaik pulih rumah-rumah ibadat dan menjalankan aktiviti keagamaan masyarakat selain Islam.

Padatahun 2019, pihak Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM6 juta bagi bantuan kewangan kepada rumah-rumah ibadat selain Islam di negeri Selangor termasuklah kepadaTokong, Kuil, Gereja dan Gudwara yang diselaraskan oleh Jawatankuasa Hal Ehwal Selain Islam.

Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pemimpin dan penganut agama Buddha di atas segala peranan dan program yang telah dijalankan di negeri Selangor. Akhir kata, saya mengucapkan terima kasih kepada semua terutamanya para pegawai kerajaan Negeri dan pihak pertubuhan agama Buddha yang telah bersama-sama menjayakan program malam ini.

Oleh itu, dengan sukacitanya saya merasmikan Sambutan Hari Wesak Peringkat Negeri Selangor Tahun 2019.Selamat Menyambut Hari Wesak.

Sekian. Terimakasih.

Ucapan YAB Menteri Besar Wesak 2019