Ucapan YAB Dato’ Menteri Besar Selangor sempena Majlis Pelancaran Dasar Perumahan Mampu Milik Negara

Para tetamu kehormat,

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera.

 

 

  1. Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT, atas berkat rahmat-Nya dapat kita bersama-sama pada pagi ini dimajlis pelancaran Dasar Perumahan Mampu Milik Negara dan Standard Perumahan Kebangsaan, anjuran bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Kerja Raya, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Construction Research Institute of Malaysia (CREAM) dan Sime Darby Property Berhad.

 

  1. Pelaksanaan sebuah dasar yangmemberi fokus kepada pembangunan perumahan mampu milik amat diperlukan, agar usaha-usaha pembangunanperumahan mampu milik dapat diselaraskan menjadi lebih sistematik, praktikal, moden dan memenuhi kehendak rakyat.

 

  1. Jalinan kerjasama yang utuh antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri Selangor dan pemaju hartanah Sime Darby Property menunjukkan bahawa semua pihak menuju ke arah pencapaian satu matlamat, iaitu untuk meningkatkan standard kualiti perumahan mampu milik bagi keselesaan masyarakat di Selangor dan negara ini.

 

Para hadirin sekalian,

 

  1. Memiliki kediaman adalah satu keperluan yang paling utama bagi semua. Namun, pemilikan rumah dapat menjadi satu kesukaran disebabkan harga yang tidak mampu dicapai.

 

  1. Disebabkan oleh masalah ini serta kos sara hidup yang semakin meningkat, permintaan terhadap rumah mampu milik sentiasa didengari daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

 

  1. Bagi membantu meningkatkan pemilikan rumah mampu milik oleh kumpulan penerima yang layak, dana sejumlah RM50 juta telah diperuntukkan pada tahun ini bagi membolehkan golongan B40 untuk memiliki kediaman Rumah Selangorku menerusi pembiayaan Skim Smart Sewa.

 

  1. Peruntukan dana tersebut diadakan kerana Kerajaan Negeri menyedari bilangan penolakan tawaran Rumah Selangorku yang berlaku, terutamanya bagi pemohon yang tidak berjaya untuk mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.

 

  1. Setakat Mac tahun ini, hampir 50,000 tawaran bagi Rumah Selangorku telah diluluskan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor. Namun, kira-kira 35 peratus pemohon Rumah Selangorku berdepan masalah pembiayaan pinjaman perumahan daripada institusi kewangan, disebabkan pelbagai isu seperti tunggakan PTPTN dan kad kredit.

 

  1. Kelompok ini tidak harus ketinggalan untuk mendapatkan kediaman kerana mereka merupakan kumpulan yang telah disasarkan sebagai benefisiari perumahan mampu milik yang dibangunkan Kerajaan Negeri Selangor.

 

  1. Melalui skim yang disebutkan tadi, sehingga kini sebanyak 341 unit rumah telah disewakan dengan kadar sewaan bermula daripada RM450 sebulan sehingga RM700 sebulan.

 

  1. Sebanyak 101 unit telah disiapkan pada awal tahun ini dan bakal disewakan dalam masa terdekat, manakala sebanyak 541 unit dijangka dapat disiapkan pada pertengahan tahun ini hingga awal tahun hadapan.

 

  1. Selain skim tersebut, Menteri Besar Selangor Incorporated dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC)merangka rancangan pembangunan menyeluruh untuk membina rumah mampu milik di seluruh kawasan RAC di Selangor.

 

  1. MBI Selangor dan RAC akan bekerjasama dalam membangunkan aset-aset ini yang memberi tumpuan kepada pembangunan berorientasikan transit (TOD) termasuk rumah mampu milik.

 

  1. Bertujuan untuk membinakomuniti yang mampan, pembangunan tersebut akan menyediakan pembangunan perumahan yang sesuai dan mampu dimiliki sertamenyediakan jaringan hubungan yang baik, meningkatkan pembangunan ekonomi di sekitar pusat TOD dan bagi komuniti sekitar pada masa yang sama.

 

  1. Inisiatif bersama inijuga mencerminkan sokongan kerajaan persekutuan dalam merealisasikan visi negeri Selangor untuk menjadi Negeri Pintar menjelang 2025, yang menghubungkan kemudahan pengangkutan awam bersepadu bersamaperumahan mampu milik.

 

Para hadirin sekalian,

 

  1. Pembinaan rumah mampu milik sama sekali tidak menjanjikan keuntungan yang besar kepada pemaju. Pihak Kerajaan Negeri amat berterima kasih dan mengalu-alukan kesediaan pihak pemaju swasta seperti Sime Darby Property, untuk bersama-sama dengan pihak Kerajaan Negeri menjayakan insentif perumahan mampu milik Rumah Selangorku yang lebih berkualiti dan dilengkapi kemudahan yang mencukupi, secara besar–besaran di Negeri Selangor.

 

  1. Rumah Lestari D3 Sime Darby Property, dengan Harmoni Elmina 1 yang dilancarkan di Elmina Westadalah bukti komitmen dan usaha inovatif syarikat itu dalam menyampaikan perumahan berkanun yang lebih baik di negeri Selangor.

 

  1. Saya menyeru kepada para pemaju hartanah yang lain terutamanya di Selangor

untuk menjadikan D3 tanda aras baharu dalam pembangunan perumahan mampu milik, sebagai inspirasi untuk merangka lebih banyak lagi kaedah-kaedah pembangunan dan rekabentuk perumahan bagi menjana industri pembangunan hartanah yang lebih progresif.

 

  1. Semoga segala hasrat yang ingin dicapai melalui dasar dan standard yang dilancarkan, serta usaha pembangunan perumahan mampu milik di Selangor dan serata negara direstui Allah SWT dan mencapai kejayaan.

 

  1. Sekian terima kasih. Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Ucapan Dasar Perumahan Mampu Milik Negara