Ucapan sempena Majlis Rapat Ramadan Penjawat Awam bersama Dato’ Menteri Besar Selangor

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah rahmat dan kurnia-Nya kita dapat bersama-sama pada hari ini untuk mengadakan Majlis Rapat Ramadan bagi tahun 2019 yang kini telah menjadi tradisi bagi Kerajaan Negeri Selangor.

Terima kasih juga saya ucapkan kepada Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor selaku tuan rumah kerana telah berjaya menyelaras Penganjuran Perhimpunan Rapat Ramadan Penjawat Awam Negeri Selangor pada kali ini.

Kita telah menghampiri pertengahan bulan Ramadan yang penuh Rahmat ini. Selepas mengharungi 12 hari berpuasa, saya berharap semoga Allah S.W.T memberkati ibadah kita dan melimpahkan segala kebaikan yang ada di bulan ini kepada kita semua. Bulan ini adalah bulan penyucian jiwa yang menawarkan pengampunan dosa olehNya.

Pengisian Ramadan wajar dipenuhi dengan penuh keikhlasan dan kesabaran, setiap individu akan mendapat taqwa dan kembali kepada keadaan fitrah yang suci jiwanya. Setiap insan yang bertaqwa akan membina benteng bagi mengawal cabaran nafsu.

Menurut sarjana Islam tersohor yang mengajar di Cambridge Syeikh Abdul Hakim Murad atau nama Inggerisnya Timothy Winter, Ramadan merupakan suatu “disruption” dan “continuation”. Ianya satu disruption kepada kebiasaan kita sebagai hamba Allah Subhanahu wa Taala. Kebiasaan kita yang penuh leka dan lalai terhadap perintah serta laranganNya telah “diganggu”, “disrupted” oleh keberkatan Ramadan. Manakala selepas melalui tarbiyah sepanjang Ramadan adalah menjadi cita-cita kita agar amal itu kekal berterusan pula sehingga kita menemui Ramadan sekali lagi.

Setiap hari kita terbiasa makan dan minum, kita terbiasa dengan mengumpat, kita terbiasa dengan perkara-perkara yang tidak disukai Allah Subhanahu wa Taala. Namun sebulan berpuasa, kita bukan sekadar berlapar, bukan sekadar menahan dahaga di tengah teriknya matahari “global warming”, kita juga dianjurkan meningkatkan amal ibadat kita, selain ibadat wajib, ditambah pula dengan solat tarawih, zikir yang membasahi lidah dan bangun pada waktu malam merayu-rayu keampunan Yang Maha Esa.

“Disruption” pada bulan Ramadan juga menuntut kita melakukan perubahan besar kepada pemikiran kita. Madrasah Ramadan yang telah menyusun semula rutin harian, turut melakukan suatu proses “reformat” terhadap ruh ataupun jiwa kita. Seluruh kehidupan kita pada waktu Ramadan ini sedang melalui proses penjajaran semula; untuk kita kembali kepada fitrah.

Oleh itu Ramadan juga sewajarnya adalah tempoh terbaik untuk kita menghisab kembali atau menginsafi bagaimana kita berinteraksi dengan manusia dan juga dengan alam sekitar.

Marilah kita mengambil peluang ketika Ramadan ini, suatu tempoh di mana Allah Subhanahu wa Taala membuka seluas-luasnya pintu keampunan dan rahmatNya, untuk bertafakur serta menilai semula segala pembaziran yang berlaku di sekeliling kita. Ianya tidak mudah, tidak juga mudah bagi saya dan keluarga, namun kita berusaha perlahan-lahan, bermula dengan mereka yang dekat dengan kita untuk tidak terjerumus dalam pembaziran dan pencemaran alam sekitar. Janganlah membazir ketika membeli juadah berbuka.

Cubalah sebaik mungkin untuk tidak menggunakan bag plastik. Bawalah bekas atau bag dari rumah. Darat dan laut dipenuhi jutaan tan plastik yang kemudiannya dimakan pula ikan-ikan yang kemudiannya kita pula memakan ikan-ikan tersebut. Bahan-bahan kimia yang terkandung dalam plastik-plastik itu akhirnya merebak dalam badan kita. Tidak hairanlah kita sering mendengar ramai yang menderita penyakit barah atau kanser.

Justeru bersempena bulan yang mulia ini, marilah kita bersama-sama berusaha menolak amalan pembaziran dan mengisafi peranan kita sebagai Khalifah di muka bumi. Peranan sebagai khalifatullahi fil ard ini bukan bermakna kita boleh melakukan kerosakan sewenang-wenangnya! Bahkan kitalah bertanggungjawab menghentikan kerosakan tersebut. Al Quran surah Baqarah ayat 30 mengingatkan kita bahawa:
ِ ةَكِئ َ اَ لََمْلِ ل َكُّبَ ر َ الَ ق ْذِإَو يه ِ ف ُدِسْفُ ن ي َ ا م َ يه ِ ف ُلَعْجَتَ وا أ ُ ال َ ق ۖ ًةَ يف ِلَ خ ِضْرَ ْ ي الْ ِ ف ٌلِ اع َ ي ج ِنِ إ َ ون ُمَلْعَ ت َ ا لَ َ م ُمَلْعَ ي أ ِنِ إ َ الَ ق ۖ َكَ ل ُ سِدَقُنَ و َكِدْمَحِ ب ُ حِبَسُ ن ُنْحَنَ و َ اء َ مِ الد ُكِفْسَيَ و Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya: “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuhbunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.

Bertepatan dengan peranan kita sebagai makhluk Allah SWT yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan kebaikan dan menghentikan kemudaratan, makanya besarlah pengharapan saya agar kita dapat melipatgandakan lagi azam dan tekad untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat terutama dalam bulan yang penuh keberkatan ini.

Marilah kita bersama menginsafi dan mensyukuri nikmat keamanan dan keharmonian yang masih dikecapi. Direnung kembali. masih ada lagi saudara-saudara kita yang hidup dalam keadaan bergolak dan serba kedaifan.Negara kita adalah sebuah negara yang prihatin dan sentiasa menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada yang memerlukan, Marilah kita sama-sama mendoakan agar kita sentiasa dilindungi dan diberi kemudahan dalam segala urusan.

Sabda Rasulullah SAW:
“Tidak beriman salah seorang di antara kalian sampai dia mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim dari Anas bin Malik)

Sebagai penjawat awam, kita dipertanggungjawabkan dengan amanah yang akan dipersoalkan kelak. Justeru, setiap daripada kita adalah pemimpin kepada diri kita sendiri, keluarga dan organisasi. Kita harus bertanggungjawab atas setiap tindakan kita lakukan kerana setiap keputusan dan perbuatan akan mendatangkan kesan.

Bagi maksud ini, saya yakin dan percaya bahawa Penjawat Awam di Negeri Selangor mempunyai integriti yang tinggi dalam mentadbir urus Negeri yang kita sayangi ini. Saya menyeru, seluruh warga Perkhidamatan Awam Negeri Selangor menjalankan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh amanah.

Sektor Perkhidmatan Awam adalah tulang belakang pelaksanaan dasar negara dan negeri. Kita tahu bahawa negara-negara maju mempunyai sektor Perkhidmatan Awam yang disegani, berfungsi secara profesional demi kepentingan rakyat. Jadi saya yakin dengan kebolehan dan komitmen penjawat awam negeri ini kita dapat melonjakkan lagi tahap Penyampaian Perkhidmatan Awam ke satu tahap yang lebih tinggi atau sehingga ke world class level.
Saya yakin ketekunan Penjawat Awam Negeri Selangor bukan hanya kerana mengejar imbuhan semata. Keikhlasan dan komitmen warga Perkhidmatan Awam Negeri Selangor adalah berdasarkan tanggungjawab untuk meneruskan kecemerlangan dan melaksanakan tuntutan-tuntutan perubahan yang diingini oleh rakyat selari dengan ikhtiar Kerajaan untuk Merancakkan Ekonomi, Memberdayakan Rakyat dan Mensejahterakan Negeri. Beruntunglah rakyat Negeri Selangor kerana hasil kekayaan Negeri turut diagih bersama rakyat dalam menyediakan perkhidmatan, kemudahan dan infrastruktur terbaik.

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Hasil daripada urusan tanah adalah merupakan penyumbang terbesar pendapatan kepada Negeri ini. Pencapaian kutipan premium sehingga 30 April 2019 adalah sebanyak RM 455,663,264.66 (42.5%) berbanding RM 185,385,939.31 (17%) pada tahun 2018. Terdapat perbezaan peningkatan sebanyak 25.5% dalam tempoh yang sama.

Manakala kutipan cukai tanah semasa termasuk tunggakan sehingga 30 April 2019 berjumlah RM245,323,997.98 dan kutipan cukai petak dan tunggakan berjumlah RM8,079,881.10. Jumlah keseluruhan yang telah dikutip adalah sebanyak RM 253,403,879.08 berbanding RM 250,595,101.63 dalam tempoh yang sama pada tahun 2018.
Berpaksikan agenda Merancakkan Ekonomi, Memberdayakan Rakyat dan Mensejahterakan Negeri, Kerajaan Negeri Selangor telah menggariskan strategi di dalam menguruskan belanjawan negeri melalui strategi berikut

i. Memacu Pembangunan Ekonomi Negeri.
ii. Penjajaran Inisiatif Peduli Rakyat: Dari Pemberian Kepada Pemberdayaan.
iii. Agenda Pencerahan Selangor dan Pembangunan SeniBudaya.
iv. Melestarikan Alam Sekitar
v. Rakyat Bahagia Negeri Sejahtera

Demi mencapai hasrat tersebut, saya menyeru seluruh warga Perkhidmatan Awam Negeri Selangor berganding bahu membantu Kerajaan Negeri dalam merealisasikan strategi yang telah dirancang dalam usaha penjajaran serta peningkatan keberkesanan programprogram peduli rakyat.

BANTUAN KHAS KEWANGAN

Terima kasih saya ucapkan kepada seluruh jentera pentadbiran dan pengurusan tanah khususnya kepada PTGS dan PDT dan seluruh anggota pentadbiran Kerajaan Negeri yang telah bersama-sama bertungkus lumus memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor berada pada tahap yang membanggakan.

Justeru bersempena bulan Ramadan yang mulia ini, saya dengan sukacitanya mengumumkan bantuan khas kewangan yang dipanggil Insentif Mahabbah Selangor sebanyak satu bulan gaji kepada 19 244 penjawat awam Negeri Selangor dan kepada 739 kakitangan Persekutuan yang berkhidmat di Selangor akan menerima RM 1000 akan dibayar pada 7hb Jun 2019. Ini akan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM 33.84 juta. Kerajaan Negeri juga telah membuat keputusan memuktamadkan jumlah bantuan khas kewangan untuk tahun ini adalah sebanyak 3 bulan gaji. Ini bermakna bantuan khas kewangan pada akhir tahun ini adalah penambahan dua bulan gaji berasaskan mata pencapaian prestasi yang diperolehi oleh ketua-ketua jabatan.

Bantuan Khas Kewangan satu bulan gaji juga akan diberikan kepada kakitangan beberapa GLC serta organisasi strategik negeri seumpama UNISEL, Yayasan Hijrah Selangor, Tourism Selangor, Invest Selangor, CCSB Sdn Bhd, Yayasan Warisan Anak Selangor, Inspens, Landasan Lumayan, SSDU Inovations, SmartSel Sdn Bhd, Bukit Beruntung Golf & Country Resort Berhad, Institut Darul Ehsan dan Pusat Jagaan Rumah Puteri Arafiah yang melibatkan jumlah pembayaran sebanyak RM 5, 621, 200.75 (RM 5.621 juta). Jumlah kakitangan yang menerima pemberian ini adalah seramai 1521 anggota kerja.

Sukacitanya lagi saya mengumumkan suatu bantuan khas kewangan Insentif Mahabbah Ramadan yang melibatkan 2053 surau dan 390 masjid di Negeri Selangor Darul Ehsan membabitkan sejumlah RM 4.1715 juta. Petugas masjid kariah terdiri daripada nazir, imam satu dan imam dua, bilal satu dan dua serta siak satu dan siak akan menerima setiap seorang RM 400. Manakala petugas surau pula yang terdiri daripada pengerusi surau, imam satu dan imam dua, seorang bilal dan seorang siak surau akan menerima setiap seorang RM 300. Bayaran ini merangkumi seramai 12 995 petugas masjid dan surau seluruh Selangor.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Bersempena perayaan Aidilfitri yang bakal kunjung tiba tidak lama lagi, saya ingin berpesan kepada seluruh warga Perkhidmatan Awam Negeri Selangor agar sentiasa menjaga kesihatan dan keselamatan khususnya di jalan raya.

Saya mendoakan saudara-saudari pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat untuk berhari raya dalam suasana penuh gembira dan bahagia. Disamping itu, besarlah harapan saya agar semasa kita saling mengunjungi rumah sanak saudara, kesempatan ini diambil untuk menyebar luas dasar-dasar Kerajaan dan kejayaan program-program Kerajaan negeri Selangor yang telah dilaksanakan.

Akhir kata di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh warga Perkhidmatan Awam Negeri Selangor dan berhati-hati ketika memandu untuk pulang ke kampung halaman tercinta.

Sekian. Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Ucapan YAB MB Selangor-Rapat Ramadan Penjawat Awam