Ucapan Pelancaran Smart Selangor Bus Stop, Aplikasi SITS dan Trek Basikal Shah Alam

Terima kasih saudara pengacara majlis

Bismillah hirrahman nirrahim…

Yang saya hormati ……………………

 

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

 

Pertama sekali, saya ingin memanjat kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama di majlis pelancaran Smart Selangor Bus Stop, Aplikasi Selangor Intelligent Transport System atau lebih dikenali sebagai SITS dan juga Trek Basikal Shah Alam bertempat di Dataran Plaza Perangsang, Shah Alam pada pagi yang penuh bermakna ini.

 

Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin mengucapkan syabas kepada Smart Selangor Delivery Unit dan Majlis Bandaraya Shah Alam atas pelancaran inisiatif-inisiatif ini yang pasti akan memberi banyak manfaat kepada rakyat Selangor khususnya.

 

Untuk pengetahuan umum, aplikasi Selangor Intelligent Transport System ini membolehkan para pengguna mengenalpasti hentian Bas Smart Selangor yang terdekat di samping menyemak jangkaan waktu ketibaan bas yang seterusnya. Malahan, jadual perjalanan bas Smart Selangor juga turut dipaparkan untuk kemudahan pengguna.

 

 

 

Kewujudan aplikasi ini bertepatan dengan aspirasi Smart Selangor untuk memberi kemudahan serta menaiktaraf hidup rakyat dengan menggunakan teknologi sebagai asas sokongan sejajar dengan visi Selangor untuk menjadi sebuah Smart State terunggul di ASEAN pada tahun 2025.

 

Hadirin sekalian,

 

Kerajaan Negeri terus komited untuk memberi kemudahan kepada rakyat Selangor dengan mewujudkan Smart Selangor Bus Stop. Hentian bas pintar dan unik ini mencerminkan beberapa ciri-ciri utama yang perlu dimiliki oleh sebuah bandar pintar seperti mesra pengguna, infrastruktur selesa dan yang paling utama, kewujudan lapisan digital.

 

Bagi perlaksanaan lapisan digital, ia diupayakan  menerusi penggunaan beberapa komponen seperti sensor, aplikasi, jaringan yang pantas serta platform untuk memastikan tahap perkhidmatan awam menjadi lebih cekap dan pantas.

 

Selain itu, ciri-ciri penting tersebut juga membolehkan pengumpulan data dilakukan seperti jumlah bilangan pengguna, pengguna semasa waktu puncak, demografi pengguna, ketepatan waktu ketibaan bas dan beberapa lagi ciri keselamatan untuk menjamin keselesaan pengguna.

 

Melalui data tersebut, unjuran waktu perjalanan dan penjadualan yang lebih tepat dari semasa ke semasa juga dapat dilakukan sekaligus memastikan perkhidmatan ini menjadi lebih efisyen.

 

Hadirin sekalian,

 

Majlis Bandaraya Shah Alam telah menyambut baik dasar menggunakan basikal sebagai salah satu “’mode’ pengangkutan awam. Pembinaan trek basikal di Pusat Bandar Shah Alam  sepanjang 15km ini meliputi Seksyen 14 dan Seksyen 2 yang bermula pada penghujung 2018.

 

Pembinaan trek basikal ini juga bertujuan untuk memberi kemudahan ‘first mile’ dan ‘last mile’ di samping melaksanakan salah satu pelan tindakan bandaraya rendah karbon Shah Alam 2030. Ini secara tidak langsung dapat mempromosikan gaya hidup sihat dikalangan warga Shah Alam.

 

Malah, ia juga berperanan dalam mengintegrasikan pengangkutan awam di Shah Alam khusus dalam pengurusan pengangkutan awam di Pusat Bandar, terutamanya apabila LRT siap kelak. Penyediaan infrastruktur ini sangat penting dalam menggalakkan orang ramai untuk berbasikal.

 

Jesteru, perlaksanaan inisiatif-inisiati ini telah membuktikan kerajaan negeri sentiasa peka dengan keperluan rakyat dalam memberi kemudahan yang terbaik. Dikesempatan ini juga saya berharap rakyat  dapat menggunakan segala kemudahan yang telah diwujudkan dengan sebaik mungkin serta menghargainya demi kebaikan bersama.

 

Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Smart Selangor Smart Bus Stop, Aplikasi Selangor Intelligent Transport System dan Trek Basikal Shah Alam.

 

Sekian, terima kasih.

 

Ucapan Pelancaran Smart Selangor Bus Stop SITS Trek Basikal