Ucapan Dato’ Menteri Besar Sempena Seminar Ekonomi Negeri Selangor

Bismillahirrahmanirrahim.

Yang dihormati saudari Pengacara Majlis

Yang Berbahagia Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin Ketua Perangkawan Malaysia;

Yang Berusaha Tuan Haji Ibrahim Jantan Timbalan Ketua Perangkawan Program Ekonomi Jabatan Perangkaan Malaysia

Yang Berbahagia Datuk Seri-Datuk Seri / Datuk – Datuk ; Penganalisis Ekonomi; wakil agensi, wakil media; sertaTuan/Puan yang dihormati sekalian.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

1. Alhamdulillah, segala pujian dan syukur saya rafak ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita diberi kesempatan untuk hadir dan bertemu dalam “Seminar Ekonomi Negeri Selangor dan Majlis Kick – Off Banci Perdagangan Borong dan Runcit 2019”. Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih dan mengalu-alukan kehadiran tuan-tuan dan puan-puan serta hadirin ke majlis ini yang dianjurkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Selangor.

2. Saya mewakili rakyat negeri Selangor khasnya mengambil peluang ini untuk merakamkan ucapan penghargaan kepada Jabatan Perangkaan Malaysia atas pemilihan negeri Selangor bagi penganjuran majlis kick – off pelaksanaan salah satu banci berskala besar yang dijalankan setiap 5 tahun. Saya dimaklumkan bahawa banci ini meliputi hampir 500 ribu entiti perniagaan yang terlibat dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit yang mana lebih satu perlima atau 22 peratus daripadanya berada di negeri Selangor.

Para hadirin yang dihormati,

3. Keupayaan kewangan yang stabil serta aspek tadbir urus yang kukuh oleh Selangor ternyata memberi impak kepada hasrat merancakkan ekonomi, memberdayakan rakyat dan mensejahterakan negeri. Selangor sebagai Gedung Ekonomi Malaysia terus kekal sebagai penyumbang utama KDNK Malaysia sepanjang hampir 10 tahun dengan sumbangan yang mencecah 23 peratus pada tahun 2017 dan dijangka terus meningkat pada tahun 2018. Sektor Perkhidmatan merupakan pemangkin utama KDNK Selangor menyumbang 60 peratus, diterajui oleh Subsektor Perdagangan Borong dan Runcit dengan sumbangan 21 peratus.

4. Klusterisasi Wilayah yang diperkenalkan oleh negeri Selangor berteraskan potensi dan kekuatan setempat telah mencipta kekuatan ekonomi seterusnya menawarkan peluang pekerjaan baharu kepada rakyat. Sebanyak 52.7 peratus penduduk Selangor mempunyai pekerjaan, dan ini merupakan pencapaian tertinggi berbanding negeri lain sekali gus membolehkan rakyat mengecapi taraf hidup yang lebih baik. Ini dijelmakan melalui purata pendapatan isi rumah yang meningkat daripada RM7,023 pada tahun 2012 kepada RM9,463 pada tahun 2017. Saya yakin dan percaya kesinambungan ini telah melonjakkan kuasa membeli rakyat, seterusnya memacu pertumbuhan sektor Perdagangan Borong dan Runcit di Selangor.

Para hadirin yang dihormati,

5. Negeri Selangor merupakan bumi bertuah yang dianugerahi aset rupa bumi yang menarik membolehkan sumber pelancongan diterokai. Bertunjangkan capaian perkhidmatan pengangkutan yang cekap serta inisiatif strategik hasil usaha Kerajaan Negeri Selangor menyaksikan industri pelancongan di negeri ini terus mapan. Hasil penemuan Survei Pelancongan Domestik 2017 oleh Jabatan Perangkaaan Malaysia melaporkan bahawa Selangor kekal menerima bilangan pelawat domestik tertinggi di Malaysia iaitu seramai 25.5 juta orang atau menyumbang 12.0 peratus pada tahun 2017. Laporan tersebut turut menzahirkan bahawa pelawat domestik paling banyak berbelanja dalam aktiviti membeli-belah iaitu 36.3 peratus, yang turut memberi impak positif kepada pendapatan peruncit di negeri ini.

6. Selangor juga merupakan gerbang utama Malaysia dan menjadi nadi pembangunan negara dari aspek pengeksportan dan pengimportan barangan dengan nilai dagangan berjumlah RM430 bilion atau mewakili 33 peratus dari jumlah dagangan pada tahun 2017. Senario ini telah menjadikan negeri ini sebagai pemangkin utama dalam merancakkan aktiviti pemborongan di Malaysia.

7. Justeru, majlis Kick – Off Banci Perdagangan Borong dan Runcit 2019 yang diadakan di negeri Selangor pada hari ini adalah sangat bertepatan kerana sebagai kuasa ekonomi di Malaysia, pencapaian negeri Selangor adalah ” game changer ” buat seluruh negara. Majlis pada hari ini merupakan suatu wadah penting bertujuan memupuk kesedaran, pendedahan dan kefahaman kepada pertubuhan perniagaan serta komuniti pada keseluruhannya peri pentingnya statistik Perdagangan Borong dan Runcit sebagai peneraju demi pertumbuhan negara yang lebih mapan.

Kepentingan Dan Keperluan Statistik Dalam Memacu Kemakmuran Ekonomi

Para hadirin yang dihormati,

8. Dalam konteks negara, statistik rasmi digunakan untuk membuat keputusan berasaskan bukti, atau ” evidence-based decision making” . Sehubungan itu, ketersediaan statistik yang berkualiti, bertepatan masa serta reliable sangat kritikal dalam membuat polisi baru dan menilai serta memantau keberkesanan polisi sedia ada bagi mencapai matlamat pembangunan negara. Statistik berkait kependudukan misalnya digunakan secara komprehensif bagi merancang penggunaan tanah, perumahan, penyediaan prasarana pendidikan, kesihatan serta infrastruktur lain. Dalam ruang lingkup yang lebih luas, indikator utama seperti KDNK, kadar inflasi, kadar kemiskinan, pendapatan per kapita dan tenaga buruh digunakan bagi pemantauan kemakmuran ekonomi serta kesejahteraan rakyat di peringkat global. Jabatan Perangkaan Malaysia, tidak terkecuali dalam memenuhi keperluan statistik global ini bagi merealisasikan agenda dunia seperti Matlamat Pembangunan Mapan atau lebih dikenali sebagai Sustainable Development Goals, atau SDGs.

Statistik Janaan DOSM Sebagai Sumber Rasmi

9. Jabatan Perangkaan menerbitkan statistik rasmi untuk Negara yang dijadikan rujukan utama di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa. Dalam hubungan ini, umum mengetahui statistik yang dihasilkan adalah berpasak serta bertunjangkan standard dan garis panduan yang ditetapkan dan diiktiraf di peringkat antarabangsa. Justeru, saya amat yakin statistik yang dihasilkan adalah reliable serta comparable atau setara khasnya di gelanggang global. Sehubungan itu, statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan digunakan secara komprehensif dan intensif dalam merencana polisi pembangunan di negeri Selangor.

Keupayaan Statistik Dalam Era Ekonomi Digital dan Lonjakan Industri 4.0

Para hadirin yang dihormati,

10. Bertepatan dengan peredaran masa dan peralihan zaman, dunia kini tertumpu kepada era Data Revolution, Big Data dan Data Analytics. Sehubungan itu, statistik kini bukan sahaja digunakan sebagai alat mengukur prestasi semasa, tetapi ianya telah memasuki fasa yang lebih kompleks. Bidang statistik perlu bergerak seiring dengan beralih kepada penggunaan Artificial Intelligence atau Kepintaran Buatan dalam membuat prediction untuk sebarang kemungkinan senario yang akan berlaku di masa hadapan.

11. Dunia kini juga sedang berdepan Revolusi Perindustrian yang kini telah memasuki peringkat keempat atau juga dikenali sebagai Lonjakan Industri 4.0. Bak kata ahli bijak pandai Greek, “ the only constant is change ”, yakni, antara perkara yang pasti berlaku adalah perubahan. Fasa ini menyaksikan evolusi sistem pengkomputeran dan proses automasi berlaku dengan pesat. Mendepani fenomena ini, statistik mampu membantu kerajaan dan penggubal dasar dalam merencanakan dampak lonjakan industri ini yang memberi faedah kepada pembangunan negara serta rakyat secara holistik.

12. Dalam konteks pelaksanaan banci ini, terdapat beberapa inovasi yang diperkenalkan bagi meningkatkan keupayaan statistik dalam mendepani evolusi yang berlaku dalam ekonomi. Antaranya adalah menerbitkan statistik baharu berkenaan penggunaan ICT dan e-Dagang dalam perniagaan, inovasi dan pembiayaan, penggunaan R&D serta perbelanjaan terhadap alam sekitar. Statistik ini berupaya mengenalpasti revolusi yang dialami oleh peniaga bagi mengukur tahap persediaan mereka khasnya dalam menghadapi Lonjakan Industri 4.0 yang memerlukan perubahan dibuat seiring dengan perkembangan digital untuk kekal berdaya saing.

Statistik Yang Lebih Terperinci Di Peringkat Negeri

Para hadirin yang dihormati,

13. Selari dengan aspirasi Jabatan dalam menyediakan statistik terperinci bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat, saya difahamkan buat julung kalinya, Banci Perdagangan Borong dan Runcit yang dilaksanakan pada tahun ini akan menerbitkan statistik yang lebih terperinci di peringkat small – area . Ini bertujuan mengenalpasti taburan, struktur serta prestasi pemilik perdagangan borong dan runcit di peringkat mikro. Inisiatif yang diusahakan ini bakal memberi gambaran secara holistik prestasi sesuatu lokaliti mengikut pelbagai dimensi dengan paduan statistik sedia ada yang telah diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan seperti kependudukan, guna tenaga, pengangguran, pendidikan, kesihatan dan lain-lain.

14. Pastinya, statistik di peringkat terperinci ini merupakan teras utama bagi perancangan pembangunan serta penilaian keberkesan segala hasrat dan aspirasi Kerajaan umumnya dan Negeri Selangor khasnya bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di negeri ini. Saya sangat yakin usaha membangunkan potensi ekonomi mengikut lokaliti yang diperkenalkan menerusi agenda Klusterisasi atau Gugusan Ekonomi Selangor dalam belanjawan tempoh hari akan dapat direalisasikan dengan jayanya berpaksikan statistik ini.

Jalinan Kerjasama Strategik Bagi Memperkasa Statistik

Para hadirin yang dihormati,

15. Penghasilan statistik yang lebih terperinci hasil garapan banci ini pastinya akan mencetus kerjasama yang lebih erat di kalangan pelbagai agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan di peringkat negeri dan daerah. Dengan ini, suka saya menyeru kepada semua agensi di bawah Kerajaan Negeri Selangor di semua peringkat akar umbi supaya sama-sama menggembleng tenaga dalam memastikan penyusunan statistik yang lebih sistematik bagi memperkasa statistik demi kesejahteraan setiap segmen masyarakat. Penemuan banci ini juga dijangka akan mencetuskan minat pengguna statistik rasmi yang sentiasa dahagakan data di peringkat lokaliti bagi menambahbaik keperluan perancangan dan pembuatan dasar di peringkat small – area .

Statistik Untuk Matlamat Memacu Pembangunan Ekonomi Negeri Selangor

Hadirin yang dihormati,

16. Komitmen Malaysia dalam menyahut agenda pembangunan dunia iaitu SDGs dalam melonjakkan pembangunan negara telah diaplikasikan melalui salah satu fokus dalam RMK-11 iaitu “Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat”. Di peringkat Negeri Selangor pula, bertunjangkan agenda pembangunan bagi tempoh 2016-2025, Kerajaan Negeri Selangor telah menggariskan 12 Smart Selangor Domains yang sejajar dengan 12 matlamat SDG.

17. Justeru, program-program dan perancangan pembangunan ekonomi di Negeri Selangor dapat diukur dan dinilai melalui statistik rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia. Maka, statistik utama terbitan banci ini seperti pendapatan, margin, tenaga buruh dan gaji, harta dimiliki serta penggunaan ICT merupakan indikator yang amat diperlukan bagi merealisasikan aspirasi serta arah tuju polisi negeri Selangor.

Penutup

Para hadirin yang dihormati,

18. Dalam penghasilan statistik banci yang komprehensif ini, sudah pasti ia memerlukan kerjasama kolektif semua entiti dalam ekosistem Statistik Negara. Sayugia saya menyeru sinergi strategik dan berkesan diperkukuhkan antara pertubuhan perniagaan, individu serta agensi kerajaan dan swasta untuk memberi manfaat kepada negara dan rakyat, bukan sahaja untuk generasi masa kini tetapi juga pada masa hadapan.

19. Pada kesempatan ini juga, saya ingin menzahirkan rasa kebanggaan akan pencapaian Jabatan Perangkaan Malaysia yang semakin memantapkan kedudukannya dalam liga statistik antarabangsa dengan penganjuran aktiviti terulung iaitu “The 62nd ISI World Statistics Congress 2019” pada 18-23 Ogos 2019 di Kuala Lumpur Convention Centre. Justeru, saya menyeru penglibatan dan penyertaan aktif oleh para hadirin sekalian dalam persidangan yang berprestij ini yang julung kali diadakan di negara kita.

20. Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin merakamkan sekalung tahniah dan syabas kepada Jabatan Perangkaan Malaysia dan semua pihak yang terlibat dalam usaha menjayakan majlis ini dan adalah menjadi harapan saya agar segala hasil yang disasarkan dapat dicapai dengan jayanya. Suka saya menyeru kepada pihak Jabatan Perangkaan Malaysia serta semua pihak terutama para pemilik perniagaan selaku responden, stakeholder, agensi Kerajaan dan swasta serta komuniti supaya saling ganding-berganding serta lengkap-melengkapi dalam menyokong dan bekerjasama sepenuhnya dalam pelaksanaan banci ini.

Yakinlah bahawa ketersediaan statistik yang relevan membolehkan pengukuran dan pemantauan prestasi sosioekonomi Negara dibuat bagi memacu pertumbuhan ekonomi demi mencapai kemakmuran semua.

Dengan lafaz bismillahirahmanirahim, saya dengan ini merasmikan “Seminar Ekonomi Negeri Selangor dan Majlis Kick – Off Banci Perdagangan Borong & Runcit 2019”.

Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamu’alaikum.Warahmatulllah. Terima kasih.

TUAN AMIRUDIN BIN SHARI
MENTERI BESAR SELANGOR
24 April 2019

Teks Ucapan MB Selangor – Banci