Ucapan Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Debat IPT 2019 Piala Dato’ Menteri Besar Selangor

  1. Terlebih dahulu marilah kita merafakkan rasa syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah berkat dan keizinan daripada-Nya, dapatlah kita bersama-sama di majlis perasmian Majlis Perasmian Pertandingan Debat Institut Pengajian Tinggi 2019 Piala Dato’ Menteri Besar Selangor yang diadakan buat julung-julung kalinya ini.

 

  1. Syabas dan tahniah kepada Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Universiti Selangor (UNISEL) dan Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) serta semua ahli jawatankuasa perlaksana yang bertekad dalam menjayakan penganjuran program ini yang sememangnya sangat signifikan dengan keperluan mahasiswa dan mahasiswi pada masa kini.

 

  1. Kurang lebih dua puluh tahun yang lalu saya juga seperti mahasiswa-mahasiswa yang ada pada hari ini, merasa cukup bersemangat menjadi sebahagian daripada pasukan debat universiti. Ketika itu saya aktif bersama-sama dengan teman yang lain menggerakkan pasukan debat Universiti Putra Malaysia (UPM).

 

  1. Sudah tentu banyak pengalaman dan pengetahuan yang berharga yang dapat saya kumpulkan daripada dunia debat universiti. Apatah lagi di saat politik dengan gerakan mahasiswa di kampus dan juga tercetus gerakan Reformasi yang mencorakkan arah tuju politik negara sehingga ke hari ini.

 

  1. Jika saya menyorot kembali semua itu, sudah pasti pengalaman dan pendedahan itu yang mencorakkan diri saya sehingga ke hari ini. Dunia debat membolehkan kita untuk menajamkan akal dan fikiran dalam menangani pelbagai isu dan topik yang dibangkitkan. Debat juga memberikan kita satu set disiplin yang mengharuskan kita untuk melakukan kajian dan juga pencarian maklumat yang sahih tentang sesuatu hal.

 

  1. Hujahan yang dibentangkan di dalam sesuatu debat tidak boleh berlandaskan andaian, sentimen apatah lagi maklumat yang tidak tepat. Pendebat mestilah membina bongkah-bongkah hujahnya dengan analisa yang rasional dan juga fakta-fakta yang sahih bukannya sesuatu yang dipetik dari langit begitu sahaja.

 

  1. Jika tidak apa yang disebutkan itu hanyalah menjadi retorika kosong yang tidak mengandungi kebenaran. Mungkin sedap didengar di telinga tetapi tidak masuk ke pemikiran apatah lagi hati pendengar.

 

  1. Walaupun sudah lama meninggalkan dunia debat universiti namun memasuki bidang politik ini juga mempunyai cabaran yang tidak jauh bezanya. Di dalam politik demokrasi seorang pemimpin sentiasa berhadapan dengan hujah-hujah yang menyokong dan membantahnya.

 

  1. Mungkin ramai pemimpin yang suka apabila sesuatu perkara yang dilakukannya itu mendapat sokongan dan tidak suka apabila perkara yang sebaliknya berlaku. Namun apakah semua bantahan itu tidak baik dan semua sokongan itu baik?

 

  1. Sudah tentu tidak. Ada juga sokongan yang diberikan berdasarkan sentimen dan kepentingan-kepentingan tertentu seperti untuk membodek pemimpin misalnya. Begitu juga dengan bantahan jika dibuat secara rasional dapat memberikan kebaikan untuk menyelesaikan sesuatu isu atau masalah.

 

  1. Inilah kelebihannya politik demokrasi di mana perdebatan yang sihat ini dapat sentiasa menjadi ukuran semak dan imbang kepada pentadbiran dan pemerintahan negara ini.

 

  1. Di sinilah peranan rakyat yang dapat menyuarakan pandangan, idea dan kritikan mereka sekaligus turut sama mencorakkan arah tuju negara ini. Demokrasi bukanlah semata-mata pilihanraya lima tahun sekali tetapi penglibatan di semua peringkat melalui media yang bebas dan juga pandangan-pandangan dari dunia akademik.

 

  1. Kemajuan demokrasi sesebuah negara juga akan menjadi lebih baik jika ahli-ahli akademik dan sarjana dapat berperanan sebagai “public intellectual” atau intelektual awam yang selalu menyampaikan pandangan dan kritikan melalui tulisan ataupun ucapan mereka.

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

  1. Baru-baru ini saya sempat menonton rakaman debat pusingan terakhir calon presiden Indonesia menjelang dua hari lagi pilihanraya presiden Indonesia yang akan diadakan Jokowi dan Probowo.
  2. Walaupun kehebatan berdebat tidak menjadi jaminan kemenangan kerana ada elemen atau pembolehubah yang lain juga yang menentukan untung nasib dalam pilihanraya. Namun saya percaya acara seperti itu dapat memberikan perspektif kepada mereka yang rasional untuk membuat penilaian.

 

  1. Begitu juga di zaman Malaysia Baharu ini. Perubahan yang sedang dilakukan di peringkat Kerajaan Persekutuan menunjukkan perkembangan yang sangat positif. Walaupun masih ada di kalangan rakyat yang masih pesimis namun saya percaya dengan penerangan yang baik beserta fakta dan bukti yang mungkin mengambil sedikit masa, kita dapat memulihkan keyakinan mereka.

 

  1. Di peringkat Kerajaan Negeri pula, kita akan meneruskan dasar-dasar peduli rakyat di samping meningkatkan lagi kemajuan ekonomi negeri Selangor menerusi upaya untuk menarik pelaburan dan juga meneroka sumber-sumber pendapatan baru.

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

  1. Saya dimaklumkan bahawa tema pertandingan debat pada kali ini iaitu Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0). Saya yakin melalui perbahasan yang telah dibincangkan dalam pertandingan debat pada kali ini telah memberi banyak ilmu dan pendedahan berkaitan IR 4.0.

 

  1. Seperti mana yang kita sedia maklum IR4.0 iaitu kemunculan teknologi ‘siber-fizikal’ seperti ‘robotik’, ‘kecerdasan buatan’, ‘data raya’, ‘industrial internetof things’ dan beberapa teknologi terkini yang akan digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang.

 

  1. Kaedah berkomunikasi cara baru dengan kecanggihan sistem ICT, struktur organisasi pelbagai negara dan pelbagai sistem dunia yang semakin terkait di antara satu sama lain. Oleh itu, mahasiswa khususnya perlu peka dan terbuka kepada cabaran persekitaran teknologi IR4.0.

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

  1. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan tahniah kepada semua pemenang dan kepada yang kurang bernasib baik jadikan ini sebagai platform penambaikan pada masa akan datang.

 

  1. Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada jawatankuasa penganjur kerana berjaya mengadakan program yang sangat bermanfaat ini.

 

  1. Saya sesungguhnya akan sentiasa menyokong penuh program-program yang mampu memberi impak terhadap pembangunan pelajar di universiti ini. Dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, saya dengan ini merasmikan Program Pertandingan Debat IPT 2019 Piala Dato’ Menteri Besar .

Teks Ucapan Majlis Perasmian Penutup Debat IPT