Ucapan Dato’ Menteri Besar Selangor sempena Anugerah Prestasi Cemerlang 2018 dan Anugerah Jasamu Dikenang 2019

 

Terima kasih Saudara dan Saudari Pengacara Majlis;

 

Yang Berhormat Dato’ Mohd Amin bin Ahmad Ahya,

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor;

 

Yang Berhormat Dato’ Nor Azmie bin Diron,

Pegawai Kewangan Negeri Selangor;

Yang Berhormat Dato’ Masri bin Mohd Daud,

Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor;

Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN);

Yang Berusaha Pegawai-pegawai Daerah, Datuk-datuk Bandar dan Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan, Ketua-ketua Jabatan;

YBhg. Dato’/ Datin/ Tuan-Tuan dan Puan-Puan hadirin sekalian;

Yang dihormati dan diraikan penerima-penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2018 dan Anugerah Jasamu Dikenang Tahun 2019 Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor;

 

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormatisekalian.

  1. Terlebih dahulu, marilah kita bersama-sama melahirkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin dan limpah kurniaNya dapat kita bersama-sama bertemu dan berhimpun di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2018 dan Anugerah Jasamu Dikenang (AJD) Tahun 2019 Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Sesungguhnya majlis yang diadakan secara tahunan ini memberi kesempatan kepada saya untuk beramah mesra dengan warga kerja Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor seterusnya meraikan penerima anugerah APC 2018 dan para penerima AJD 2019.
  1. Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2018 dan Anugerah Jasamu Dikenang Tahun 2019 Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang diadakan pada hari ini adalah bertujuan untuk merai dan menyampaikan sijil-sijil kepada warga PSUK Selangor yang telah memberikan perkhidmatan yang cemerlang sepanjang tahun 2018, di samping sijil penghargaan kepada pesara dan bakal pesara di PSUK Selangor. Selain itu, sebagai satu bukti pengiktirafan kita terhadap penjawat awam, penganugerahan AJD juga diberikan kepada penjawat awam yang telah berkhidmat melebihi 25 tahun tetapi kini masih berkhidmat di PSUK Selangor.

 

  1. Majlis APC 2018 dan AJD 2019 ini akan melibatkan penyampaian anugerah kepada 170 orang penerima daripada jabatan-jabatan yang berikut:

 

BIL JABATAN APC 2018 AJD 2019
1. Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor 64 8
2. Perbendaharaan Negeri Selangor 18 9
3. Pejabat Tanah dan Galian Selangor 30 5
4. Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor 10 1
5. Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor 10 5
6. Majlis Sukan Negeri Selangor 6
7. Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Selangor 3 1
JUMLAH 141 29

Para hadirin yang dihormati sekalian,

 

  1. Pada majlis ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada saudara-saudari yang berjaya terpilih sebagai penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pentadbiran SUK Selangor pada tahun ini. Penganugerahan ini adalah sebagai tanda pengikitrafan Jabatan dan Kerajaan terhadap prestasi kerja yang cemerlang yang telah disumbangkan oleh saudara-saudari sekalian. Diharapkan budaya kerja cemerlang ini akan terus dipupuk dan menjadi contoh kepada anggota-anggota lain di Jabatan ini. Besar harapan saya agar anugerah ini akan memberi motivasi dan pembakar semangat saudara-saudari untuk berusaha bersungguh-sungguh meningkatkan prestasi sebagai menghargai pengikitrafan yang telah diberikan.

 

  1. Bagi anggota-anggota yang tidak terpilih menerima anugerah pada tahun ini, bukanlah bermakna saudara-saudari tidak merupakan anggota yang cemerlang. Dalam Mesyuarat Panel Pembangunan Sumber Manusia yang diadakan bagi memilih penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, didapati ramai calon yang layak dan telah menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang. Namun, kita harus faham bahawa dalam pemilihan, pasti ada persaingan untuk menjadi yang terbaik dari kalangan yang baik. Justeru itu, setiap anggota hendaklah sentiasa menanam sikap ingin bersaing secara sihat dan komited dengan tidak mengharapkan pengiktirafan anugerah semata-mata. Keikhlasan dalam bekerja sebenarnya adalah merupakan suatu ibadah. Jika ini difahami, maka ia akan melahirkan keseronokan bekerja di kalangan warga Perkhidmatan Awam.

 

  1. Suka saya mengingatkan bahawa tugas sebagai penjawat awam menuntut pengorbanan yang bukan sedikit demi memastikan penyampaian perkhidmatan adalah perkhidmatan yang terbaik dan berkualiti tinggi. Untuk menyempurnakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan, kita perlu sentiasa mempraktik dan menitik-beratkan beberapa prinsip asas bekerja seperti ketepatan masa, ketepatan fakta, teliti dan terperinci dalam pelaksanaan tugas serta kesanggupan untuk go to the extra miles dalam memenuhi ekspektasi pelanggan. Sekiranya prinsip-prinsip tersebut diamalkan, saya yakin dan percaya bahawa Pentadbiran SUK Selangor mampu menghasilkan modal insan dan sistem penyampaian perkhidmatan yang berkualiti tinggi dan bertaraf world class.

 

YBhg. Dato’/ Datin/ Tuan-Tuan dan Puan-Puan hadirin sekalian;

 

  1. Bagi menentukan prestasi kerja penjawat awam dapat diukur dengan lebih adil dan objektif, Kerajaan telah memperkenalkan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) sebagai salah satu mekanisme pengukuran prestasi kerja penjawat awam. Dalam hal ini, ingin saya mengingatkan agar sistem pemarkahan yang diberi hendaklah berpatutan, wajar, tidak terlalu ekstrem dan memberi gambaran sebenar prestasi pegawai yang dinilai. Ini kerana terdapat kes dimana pegawai yang dinilai diberi markah melebihi 96% atau menghampiri tahap maksimum sedangkan masih terdapat banyak ruang bagi anggota tersebut untuk memperbaiki kelemahan diri dan prestasi kerjanya.

 

  1. Oleh yang demikian, saya berharap supaya setiap penilaian prestasi yang dibuat hendaklah bersifat lebih objektif dan realistik bagi menggambarkan prestasi sebenar anggota berdasarkan kepada pencapaian hasil kerja, pengetahuan, kemahiran, kualiti peribadi serta sumbangan pegawai dalam tahun yang dinilai.

 

  1. Sebagai mengakhiri ucapan saya ini, saya sekali lagi ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada penerima-penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2018 dan Anugerah Jasamu Dikenang Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Adalah menjadi harapan saya agar kecemerlangan ini akan terus dikekalkan dan menjadi pendorong untuk kejayaan lain yang lebih besar pada masa akan datang. Bagi yang tidak terpilih, janganlah berputus asa. Teruskan berusaha, kerana seperti kata Paul Arden, “it’s not how good you are, but it’s how good you want to be”. Bagi pesara dan bakal-bakal pesara pula, ingatan saya adalah supaya tuan-tuan dan puan-puan laluilah masa persaraan dengan langkah yang penuh optimistik dan selamat maju jaya dalam apa jua bidang yang tuan-tuan dan puan-puan ceburi selepas ini.

 

Sekian, Wabilahitaufik Walhidayah Wassalamulaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Teks Ucapan Majlis APC 2018 dan AJD 2019