Ucapan Penggulungan Sidang Dewan Negeri Selangor Mac 2019

25 MAC 2019

 

UCAPAN PENGGULUNGAN 

PEMBUKAAN

Tuan Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

 

Ahli – Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor berhimpun memohon sembah terima kasih serta menjunjung kasih di atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bagi membuka dengan rasminya Mesyuarat Pertama Pembukaan Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor Yang Keempat Belas.

 

Saya mahu rakamkan penghargaan kepada semua ahli dewan yang mengambil bahagian dalam perbahasan. Pada persidangan kali ini seramai22 Ahli Dewan Negeri telah membahaskan Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

 

Ini membuktikan komitmen kita semua- baik yang berada di pihak kerajaan mahupun pihak pembangkang – terhadap amalan demokrasi berparlimen. Sungguhpun Persidangan Dewan Negeri Selangor yang ke Empat Belas menzahirkan sokongan “super majority” kepada kerajaan, namun ini bukan bermakna suatu “carte blanche” kepada Kerajaan Harapan. Kita menghormati suara dan perbahasan pihak pembangkang terutamanya daripada Sungai Air Tawar.

 

PENUTUP

 

Pada sidang kali ini, antara yang dihujahkan oleh ketua pembangkang kononnya kekalahan PRK Semenyih adalah disebabkan kerajaan negeri tidak berjaya menunaikan janji-janjinya untuk membela rakyat negeri ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada pembangkang kerana mengingatkan kerajaan negeri akan tanggung jawabnya untuk membela nasib rakyat dan mensejahterakan negeri.

Kerajaan Negeri sangat komited untuk melonjakkan kedudukan rakyat dan negeri. Justeru Selangor mencatatkan jumlah pelaburan terbesar sepanjang 25 tahun ini iaitu RM 18.9 billion bersamaan peningkatan 238% berbanding tahun 2017, FDI pula RM 10.837 billion dan sebanyak 18,475 peluang pekerjaan dicipta. InshaAllah kita akan terus berusaha dengan lebih kuat lagi untuk mencipta kekayaan dan mengagihkannya pula untuk dinikmati rakyat negeri ini.

 

Oleh itu izinkan saya mengingatkan Ketua Pembangkang bahawa janganlah takabur dengan kemenangan di Semenyih. Kononnya ianya suatu referendum menolak kerajaan negeri. Tidak elok melatah. Kita di sebelah sini pun pernah memenangi PRK seperti Lunas, Bukit Selambau, Bukit Gantang tatkala menjadi pembangkang. Keadaan waktu itu jauh lebih sukar. Media dikongkong dan kita sering diintimidasi. Kemenangan-kemenangan tersebut tidak menjadikan kita angkuh.

 

Marilah kita menyorot Perjanjian Hudaibiyah yang menyaksikan kesabaran Rasulullah SAW dihina musuh-musuhnya. Ketika membincangkan terma-terma perjanjian dengan pihak musuh, Rasulullah SAW malahan sanggup mengeluarkan perkataan bahawa baginda adalah “Pesuruh Allah” daripada lembar perjanjian dan digantikan dengan sekadar Muhammad Bin Abdullah. Ada sahabat yang marah. Ada sahabat yang tercabar. Ada sahabat yang sedih.

 

Akan tetapi Rasulullah SAW punya perancangan jangka masa panjang yang tersusun dan strategik.

Walaupun dikatakan perjanjian Hudaibiyah itu seolah-olah suatu kekalahan, hakikatnya ia membuka luas jalan kemenangan, kepada Fathul Mekah serta menempa kejayaan panjang kepada Peradaban Islam di kemudian hari.

 

Kerana itu, biarlah pembangkang bersorak terlebih dahulu. Biarlah mereka takabur dengan kemenangan yang sekejap. Pentabiran Negeri Selangor akan terus mencurahkan segenap tenaga untuk memastikan negeri ini tetap unggul sebagai sebuah negeri termaju dan pada masa yang sama meneruskan ikhtiar membela nasib rakyat. InshaAllah dengan bantuan dan dokongan penjawat awam serta rakyat negeri ini, kita akan menjayakan dasar-dasar yang sedia ada seperti Smart Selangor dan dasar-dasar baharu yang dilakar seumpama Klusterisasi dan Penjajaran Program IPR.

Ucapan Penggulungan YAB Dato Menteri Besar