Teks Ucapan Dato’ Menteri Besar Selangor sempena Hari Ulangtahun ke-47 RELA peringkat negeri Selangor

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamuálaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

YBhg Ketua Pesuruhjaya RELA Zulkifli bin Abidin Ketua Pengarah RELA Malaysia

Yberusaha Tuan Nor Zahidi Bin Abdul Rahman Pengarah RELA Negeri Selangor

Ketua-Ketua Jabatan

Pegawai-pegawai kanan Jabatan

Barisan pengurusan tertinggi RELA

Dato’-Dato’, Datin-Datin, Pegawai-pegawai RELA Malaysia, Ahli-ahli Kehormat dan Bersekutu RELA, Anggota-anggota RELA, Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian.

1. Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya jua kita dapat bersama-sama berhimpun pada hari ini untuk meraikan Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-47 Jabatan Sukarelawan Malaysia Peringkat Negeri Selangor. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Ulang Tahun kepada seluruh warga RELA Malaysia di serata pelosok tanah Selangor yang tercinta ini.

2. Sejak penubuhannya pada 11 Januari 1972, RELA Malaysia telah menempuh pelbagai cabaran, dan sehingga ke hari ini masih lagi utuh berdiri dan berkembang dengan majunya. Bermula dengan Pasukan Home Guard, yang mengembleng tenaga sukarelawan di seluruh negara bagi membantu kerajaan menangani masalah pengganas komunis, pasukan ini telah berkembang menjadi sebuah Jabatan yang menguruskan tenaga sukarelawan seramai 3.1 juta anggota. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada seluruh warga RELA Selangor!

3. Tema sambutan Hari Ulang Tahun pada tahun ini iaitu “Dari Rakyat, Bersama Rakyat, Untuk Rakyat” adalah sangat bertepatan dengan peranan dan fungsi RELA Selangor. Kewujudan pasukan ini adalah untuk memberi ruang kepada seluruh warga Malaysia untuk bersama-sama menyumbang bakti kepada masyarakat dan negara dalam mempertahankan tanah air tercinta dan juga menjaga kesejahteraan serta keamanan setempat. Untuk itu, saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga RELA Selangor yang sanggup menyahut seruan dan cabaran ini.

RELA SELANGOR.: PANDANGAN KE HADAPAN

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

4. Kita semakin menghampiri sasaran wawasan negara kita untuk menjadi sebuah negara maju. Namun, walau bagaimana pesat sekalipun kemajuan negara, jika ia tidak diisi dengan masyarakat yang bertanggungjawab dan berpekerti mulia, kemajuan yang kita capai adalah ibarat pokok besar yang lebat daunnya di luar tetapi berlohong di dalam. RELA Selangor mempunyai peranan yang besar dalam mengisi makna sebuah negara maju yang telah lama kita nantikan.

5. Melalui wadah RELA Selangor, jaringan aktiviti kesukarelawanan yang dianjurkan oleh jabatan ini boleh menyemarakkan sifat kebertanggungjawaban dan keprihatinan masyarakat Selangor. Semangat bergotong-royong boleh disemarakkan melalui programprogram Khidmat Bakti RELA. Pelaksanaan pelbagai program yang bertujuan untuk mengekal dan menjamin kesejahteraan penduduk setempat seperti membaik pulih dan membersihkan rumah-rumah ibadat, pusat-pusat tahfiz dan rumah-rumah orang kurang berkemampuan yang daif dan uzur serta bergotong-royong membersihkan sarang-sarang penagihan dadah, pembiakan nyamuk serta kawasan terbiar di kampungkampung dan perumahan awam wajar dirancakkan lagi dengan penglibatan komuniti setempat. Saya percaya sifat kebertanggungjawaban terhadap kesejahteraan masyarakat setempat boleh diterapkan melalui program-program yang dianjurkan oleh RELA.

6. Selain itu, RELA Selangor juga mampu menjadi pemangkin kepada aktiviti-aktiviti pencegahan jenayah bersama komuniti dalam usaha mengurangkan kejadian jenayah. Alhamdulilah, pada tahun lalu, Jenayah Indeks Per 100,000 Penduduk Selangor mencatatkan penurunan sebanyak 11.9 peratus atau 11,949 kes kepada 88,662 kes berbanding nilai ambang yang ditetapkan iaitu 100,611 kes. Saya juga difahamkan bahawa pada tahun lepas anggota-anggota RELA telah berjaya melaksanakan 17,397 rondaan keselamatan secara sukarela di seluruh Selangor dalam usaha mencegah jenayah di kawasan setempat. Ini adalah satu usaha murni yang patut diteruskan dengan penglibatan komuniti setempat untuk bersama-sama menggalas peranan dan tanggungjawab memastikan insiden-insiden jenayah di Selangor ini terus berkurangan.

7. Dalam memelihara kesejahteraan dan keselamatan masyarakat setempat, peranan para pegawai dan anggota RELA Selangor perlu dikembang luaskan lagi dengan penglibatan bersama agensi-agensi lain dalam menguruskan insiden-insiden bencana dan kecemasan. Anggotaanggota RELA berupaya menjadi pasukan yang paling awal tiba di tempat kejadian sebelum ketibaan pasukan Polis, Bomba atau ambulans kerana anggota RELA berada di mana-mana sahaja. Meskipun, telah termaktub dalam Arahan Majlis Keselamatan Negara No. 20 peranan RELA Malaysia dalam pengurusan bencana negara, tanggungjawab tersebut perlu diperluaskan skopnya dalam usaha melicinkan pengurusan mangsa bencana. Justeru, usaha pemerkasaan dan pembangunan keupayaan pegawai serta anggota RELA hendaklah sentiasa ditingkatkan supaya mereka mampu menggalas tanggungjawab dan peranan penting ini.

8. Selain itu, anggota RELA Selangor yang datang daripada pelbagai latar belakang kaum, agama dan budaya adalah rencah utama kekuatan jabatan ini. RELA Selangor merupakan natural melting pot dalam menyatu padukan rakyat Selangor. Saya berharap semangat kekitaan dan amalan perkongsian antara kaum yang telah lama diamalkan oleh jabatan ini akan terus subur supaya perpaduan dan keharmonian negara dapat dikekalkan.

9. Tidak lupa juga penglibatan orang muda dalam aktiviti kesukarelawanan juga perlu ditingkatkan. Mereka ini adalah pewaris negara. Semangat kesukarelawanan haruslah disematkan di sanubari anak-anak muda kita untuk memastikan semangat ini tidak hilang ditelan arus peredaran zaman. Mereka inilah yang akan mengisi dan mencorakkan masa depan negara.

10. Sehubungan ini, saya mengucapkan syabas kepada RELA Selangor yang telah bertapak di institusi pengajian tinggi awam dan swasta di seluruh Selangor menerusi penubuhan Briged RELA Siswa Siswi atau RELASIS. Ini merupakan satu inisiatif yang amat baik dalam usaha untuk melebarkan jaringan aktiviti kesukarelawanan berteraskan keselamatan kepada anak-anak muda kita. Saya berharap Briged RELASIS dapat dikembangkan lagi ke semua institusi pengajian tinggi awam di seluruh negeri Selangor.

PENGHARGAAN KEPADA PEGAWAI DAN ANGGOTA RELA MALAYSIA

11. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggitinggi penghargaan kepada warga RELA di seluruh Selangor kerana bersedia memikul tugas dan peranan kesukarelawanan yang berpaksikan keselamatan ini. Pakaian seragam yang tuan-tuan dan puan-puan sarung itu adalah bukti komitmen anda semua untuk berjuang bersama-sama pasukan keselamatan negara dalam mempertahankan tanah air yang tercinta ini dan berbakti kepada masyarakat. Jika pasukan keselamatan itu tulang belakang keamanan negara, andalah sendinya.

PENUTUP

12. Sekali lagi saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Ulang Tahun RELA yang ke-47 kepada seluruh warga RELA Selangor. Akhir kata, dengan lafaz yang mulia, Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan penuh rasa syukur dan sukacitanya merasmikan Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun RELA ke-47 Peringkat Negeri Selangor.

Wabillahi al-taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.