Perutusan Hari Wanita Sedunia

PERUTUSAN HARI WANITA SEDUNIA

8hb Mac 2019

Saya mengucapkan Selamat Hari Wanita kepada seluruh kaum wanita khususnya di Negeri Selangor Darul Ehsan, sempena Hari Wanita Sedunia 2019.

Sambutan tahun ini merupakan panggilan kepada seluruh masyarakat untuk mengingati perjuangan dan pengorbanan selama berpuluh tahun untuk menegakkan keadilan bagi semua wanita.

Pada Hari Wanita Sedunia tahun 1917, kira-kira 150,000 wanita telah berkumpul di Znamenskaya Square, Rusia, bagi menuntut hak mengundi mereka untuk turut bersama dalam proses demokrasi. Tujuh hari selepas demonstrasi tersebut, suara mereka berjaya didengar dan wanita berhak mengundi di sana.

Selepas Hari Wanita Sedunia pertama pada tahun 1911, proses menuntut hak wanita menunjukkan bahawa masa depan bagi kaum wanita amat cerah.

Di Malaysia juga, kita telah melihat bahawa proses perkembangan ini dari tahun 1985, dengan adanya Dasar Kebangsaan untuk Wanita. Pencapaian wanita di Malaysia amat membanggakan merentasi pelbagai aspek dari sukan, politik dan pentadbiran, perniagaan dan pendidikan. Wanita terus menjadi peneraju ibarat obor yang menyuluh kepada kejayaan.

Di Selangor, Kerajaan Negeri mengangkat agenda memartabat wanita sebagai keutamaan. Selangor terus berbangga menjadi satu-satunya negeri yang mempunyai 30 peratus penglibatan wanita dalam badan eksekutif iaitu Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, selaras dengan tema Hari Wanita Sedunia tahun ini iaitu #BalanceforBetter. Kerajaan Negeri juga terus menterjemah agenda mengangkat martabat wanita menerusi pelbagai program seperti Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), penubuhan Institut Wanita Berdaya (IWB) dan Pusat Wanita Berdaya (PWB) di setiap 56 DUN di Selangor.

Saya percaya bahawa peranan wanita tidak harus terbatas kepada aspek kekeluargaan sahaja tetapi terus membugar menjadi pembuat keputusan dan pelaksana polisi dalam politik dan ekonomi.

Justeru, pada tahun ini kita telah menunjukkan komitmen melalui dasar Kerja Dari Rumah ataupun ‘Work From Home’, di mana penerima-penerima program Kasih Ibu Smart Selangor boleh terlibat secara aktif dalam membina syarikat mikro sendiri untuk menjana pendapatan, bukan dikekang dari penglibatan ekonomi hanya kerana tanggungjawab menjaga anak.

Dasar inovatif sebegini akan dikembangkan dalam semua aspek kerajaan kerana tema #BalanceforBetter menyeru kita bahawa wanita adalah pemimpin hari ini juga penentu masa hadapan yang lebih cerah.

Melalui pusat-pusat Institut Wanita Berdaya, saya melihat ruang untuk memartabatkan wanita dari segenap aspek bagi mencapai tahap kesaksamaan antara gender dan menolak diskriminasi dari semua aspek.

Pembangunan wanita perlu menjadi asas kepada semua dasar pembangunan negara dari segi politik, ekonomi mahupun sosial untuk memartabatkan peranan wanita di Malaysia.

Selamat Hari Wanita 2019!

YAB Tuan Amirudin Shari Dato’ Menteri Besar Selangor

Perutusan Hari Wanita Sedunia